Bilangan 30:1-16

  • Ikrar yang dibuat oleh seorang lelaki (1, 2)

  • Ikrar yang dibuat oleh seorang gadis atau seorang isteri (3-16)

30  Musa berkata kepada para ketua+ suku orang Israel, “Inilah perintah Yehuwa: 2  Jika seorang lelaki berikrar+ atau berjanji kepada Yehuwa untuk melakukan sesuatu atau untuk tidak melakukan sesuatu, lalu dia mengangkat sumpah+ sebagai jaminan kata-katanya, dia tidak boleh memungkiri janjinya.+ Dia mesti melakukan segala yang dikatakannya.+ 3  “Jika seorang gadis yang masih tinggal di rumah bapanya berikrar atau berjanji kepada Yehuwa untuk melakukan sesuatu atau untuk tidak melakukan sesuatu, 4  dia mesti menunaikan segala yang dikatakannya. Hal ini demikian kerana bapanya telah mendengar tentang ikrar itu dan tidak melarangnya daripada menunaikannya. 5  Tetapi jika bapanya mendengar tentang ikrar itu dan melarangnya daripada menunaikannya, dia tidak perlu melaksanakan apa yang dikatakannya. Yehuwa akan mengampuninya kerana bapanya telah melarangnya daripada menunaikan ikrarnya.+ 6  “Tetapi jika gadis itu berikrar untuk melakukan sesuatu atau berikrar tanpa membuat pertimbangan terlebih dahulu, dan pada kemudian hari gadis itu berkahwin, 7  dia mesti menunaikan segala yang dikatakannya. Hal ini demikian kerana suaminya telah mendengar tentang ikrarnya itu* dan tidak melarangnya pada hari dia mendengar tentang ikrar itu. 8  Tetapi jika suaminya mendengar tentang ikrar itu dan melarangnya pada hari itu juga, maka semua ikrar yang dibuat olehnya akan dibatalkan, termasuk ikrar yang diucapkannya tanpa membuat pertimbangan terlebih dahulu. Yehuwa akan mengampuninya kerana suaminya telah melarangnya daripada menunaikan ikrarnya.+ 9  “Tetapi jika seorang balu atau seorang wanita yang sudah bercerai berikrar untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu, dia mesti menunaikan segala yang dikatakannya. 10  “Jika seorang wanita yang sudah berkahwin berikrar atau berjanji untuk melakukan sesuatu atau untuk tidak melakukan sesuatu, 11  dia mesti menunaikan segala yang dikatakannya. Hal ini demikian kerana suaminya telah mendengar tentang ikrarnya itu, dan tidak melarangnya daripada menunaikan janjinya. 12  Tetapi jika suaminya mendengar tentang ikrar itu dan melarangnya pada hari itu juga, maka semua ikrar yang diucapkannya akan dibatalkan.+ Yehuwa akan mengampuninya kerana suaminya telah melarangnya daripada menunaikan janjinya. 13  Suaminya boleh menyetujui atau membatalkan ikrar yang dibuat olehnya, baik ikrar untuk melakukan sesuatu mahupun ikrar untuk tidak melakukan sesuatu. 14  Tetapi jika suaminya mendengar tentang ikrar yang dibuat olehnya dan tidak melarangnya pada hari itu juga, maka dia harus melakukan segala yang dikatakannya. Suaminya telah mendengar tentang ikrar itu dan tidak melarangnya pada hari dia mendengar tentang ikrar itu, maka hal itu bermaksud bahawa suaminya sudah menyetujui ikrar yang dibuat olehnya. 15  Tetapi jika suaminya membatalkan ikrar yang dibuat olehnya pada kemudian hari, suaminya harus menanggung akibat kesalahannya.+ 16  “Demikianlah peraturan yang diberikan oleh Yehuwa kepada Musa mengenai ikrar yang dibuat oleh seorang isteri dan mengenai apa yang boleh dilakukan oleh suaminya, atau mengenai ikrar yang dibuat oleh seorang gadis yang masih tinggal bersama bapanya dan mengenai apa yang boleh dilakukan oleh bapanya.”

Nota Kaki

Atau “ikrarnya untuk melakukan sesuatu atau untuk tidak melakukan sesuatu.”