Bilangan 31:1-54

  • Pembalasan terhadap orang Midian (1-12)

    • Bileam dibunuh (8)

  • Arahan tentang segala sesuatu yang dijarah (13-54)

31  Yehuwa berfirman kepada Musa,  “Balaslah+ kejahatan orang Midian+ terhadap orang Israel. Selepas itu, engkau akan meninggal dan dikebumikan seperti nenek moyangmu.”+  Kemudian Musa berkata kepada umat Israel, “Para lelaki dalam kalangan kamu harus bersedia untuk berperang dengan orang Midian. Kamu harus melaksanakan pembalasan Yehuwa terhadap orang Midian.  Suruhlah 1,000 orang lelaki daripada setiap suku Israel untuk maju berperang.”  Maka 1,000 orang lelaki daripada setiap suku Israel+ dipilih untuk berperang. Jumlah lelaki yang bersedia untuk berperang ialah 12,000 orang.  Selepas itu, Musa menyuruh mereka pergi bersama Imam Pinehas+ anak Eleazar. Imam Pinehas membawa peralatan-peralatan suci dan trompet-trompet untuk memberikan isyarat.+  Mereka menyerang orang Midian seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa. Mereka membunuh semua lelaki Midian.  Mereka juga membunuh lima orang raja Midian, iaitu Ewi, Rekem, Zur, Hur, dan Reba. Selain itu, mereka juga membunuh Bileam+ anak Beor.  Tetapi orang Israel membawa semua perempuan dan kanak-kanak orang Midian sebagai tawanan. Mereka juga mengambil semua ternakan dan harta benda orang Midian. 10  Mereka membakar semua kota dan perkhemahan orang Midian. 11  Kemudian mereka mengambil semua barang rampasan itu, termasuk orang tawanan dan ternakan, 12  lalu membawa semuanya kepada Musa, Imam Eleazar, dan segenap umat Israel, yang sedang berkhemah di padang gurun Moab,+ di kawasan berhampiran Sungai Yordan, dekat Yerikho. 13  Kemudian Musa, Imam Eleazar, dan semua pemimpin orang Israel, pergi ke luar perkhemahan untuk berjumpa dengan mereka. 14  Tetapi Musa menjadi marah terhadap para ketua pasukan tentera, iaitu mereka yang menjadi ketua atas 1,000 orang dan atas 100 orang, yang baru kembali dari medan pertempuran itu. 15  Musa berkata kepada mereka, “Mengapa kamu membiarkan semua perempuan itu hidup? 16  Perempuan-perempuan itulah yang telah disuruh oleh Bileam untuk menggoda dan menyebabkan orang Israel bertindak tidak setia+ kepada Yehuwa di Peor,+ sehingga segenap umat Yehuwa ditimpa wabak.+ 17  Sekarang, bunuhlah semua kanak-kanak lelaki dan semua perempuan yang bukan dara lagi. 18  Tetapi janganlah bunuh semua perempuan yang masih dara.+ 19  Kamu harus tinggal di luar perkhemahan selama tujuh hari. Pada hari ketiga dan hari ketujuh, sesiapa sahaja yang telah membunuh orang atau menyentuh mayat+ mestilah menyucikan diri.+ Orang yang ditawan juga harus menyucikan diri. 20  Kamu juga harus menyucikan semua pakaian dan apa-apa sahaja yang dibuat daripada bulu kambing, kulit, atau kayu.” 21  Imam Eleazar berkata kepada mereka yang baru balik dari pertempuran, “Inilah hukum yang telah diberikan oleh Yehuwa kepada Musa: 22  ‘Semua emas, perak, tembaga, besi, timah putih, timah hitam, 23  dan segala sesuatu yang tahan api, harus dilalukan di atas api agar semua itu dapat dimurnikan. Semua itu juga harus disucikan dengan air.+ Tetapi segala sesuatu yang tidak tahan api harus dibersihkan dengan air. 24  Pada hari ketujuh, kamu harus membasuh pakaian kamu agar menjadi tahir. Kemudian barulah kamu boleh masuk ke kawasan perkhemahan.’”+ 25  Selepas itu Yehuwa berfirman kepada Musa, 26  “Engkau, Imam Eleazar, dan para ketua suku, harus menghitung dan mencatat segala sesuatu yang dijarah, termasuk ternakan dan orang tawanan. 27  Bahagikanlah barang jarahan itu menjadi dua bahagian. Sebahagian akan diberikan kepada mereka yang pergi berperang dan sebahagian lagi kepada orang Israel yang lain.+ 28  Kemudian, daripada bahagian yang diberikan kepada para askar yang pergi berperang, ambillah seorang tawanan daripada setiap 500 orang tawanan. Buatlah demikian juga dengan lembu, keldai, bebiri, dan kambing, yang dijarah. Berikanlah semua itu sebagai sumbangan untuk Aku, Yehuwa. 29  Ya, ambillah semua itu dan berikannya kepada Imam Eleazar sebagai sumbangan untuk Aku, Yehuwa.+ 30  Daripada bahagian yang diberikan kepada orang Israel yang lain pula, ambillah seorang tawanan daripada setiap 50 orang tawanan. Buatlah demikian juga dengan lembu, keldai, bebiri, kambing, dan semua ternakan lain, yang dijarah. Berikanlah semua itu kepada orang Lewi+ yang menjalankan tugas berkaitan dengan khemah suci milik Aku, Yehuwa.”+ 31  Maka Musa dan Imam Eleazar melakukan semuanya seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa. 32  Inilah barang jarahan yang telah diambil oleh orang yang pergi berperang: 675,000 ekor bebiri dan kambing, 33  72,000 ekor lembu, 34  dan 61,000 ekor keldai. 35  Anak-anak dara+ yang ditawan pula berjumlah 32,000 orang. 36  Separuh daripada bebiri dan kambing yang diberikan kepada para askar berjumlah 337,500 ekor. 37  Maka daripada jumlah ini, sumbangan yang diberikan kepada Yehuwa ialah 675 ekor. 38  Separuh daripada lembu yang diberikan kepada para askar pula ialah 36,000 ekor, dan sumbangan yang diberikan kepada Yehuwa ialah 72 ekor. 39  Separuh daripada keldai yang diberikan kepada para askar pula ialah 30,500 ekor, dan sumbangan yang diberikan kepada Yehuwa ialah 61 ekor. 40  Separuh daripada anak-anak dara yang ditawan itu berjumlah 16,000 orang, dan 32 orang daripada mereka diberikan kepada Yehuwa. 41  Musa mengambil semua sumbangan yang diberikan kepada Yehuwa itu lalu menyerahkannya kepada Imam Eleazar,+ seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa. 42  Kemudian, Musa memberikan separuh daripada barang jarahan itu kepada orang Israel yang lain, 43  iaitu 337,500 ekor bebiri dan kambing, 44  36,000 ekor lembu, 45  dan 30,500 ekor keldai. 46  Anak-anak dara yang diberikan kepada mereka pula berjumlah 16,000 orang. 47  Selepas itu, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa, Musa mengambil satu daripada setiap 50 orang tawanan dan ternakan, lalu memberikan semuanya kepada orang Lewi+ yang bertugas di khemah suci Yehuwa.+ 48  Kemudian para ketua pasukan tentera, iaitu mereka yang menjadi ketua atas 1,000 orang+ dan atas 100 orang, datang menghadap Musa. 49  Mereka berkata kepada Musa, “Kami sudah menghitung semua askar di bawah pengawasan kami dan tiada seorang pun yang hilang.+ 50  Oleh itu kami ingin memberikan persembahan kepada Yehuwa untuk memohon pengampunan dosa. Kami akan mempersembahkan barang perhiasan emas, gelang kaki, gelang tangan, cincin, anting-anting, dan barang perhiasan lain, kepada Yehuwa.” 51  Maka Musa dan Imam Eleazar menerima semua emas dan barang perhiasan itu. 52  Emas yang diberikan oleh mereka yang menjadi ketua atas 1,000 orang dan atas 100 orang sebagai sumbangan kepada Yehuwa ialah kira-kira 200 kilogram.* 53  Semua askar telah mengambil barang jarahan untuk diri mereka sendiri. 54  Musa dan Imam Eleazar menerima semua emas yang diberikan oleh mereka yang menjadi ketua atas 1,000 orang dan atas 100 orang, lalu membawanya ke khemah pertemuan. Emas itu menjadi suatu tanda peringatan bagi umat Israel di hadapan Yehuwa.

Nota Kaki

Harfiah, “16,750 syekel.” Lihat Lampiran B14.