Bilangan 35:1-34
35 Yehuwa berfirman kepada Musa di padang gurun Moab, di kawasan berhampiran Sungai Yordan,+ dekat Yerikho. Dia berfirman,
2 “Beritahulah orang Israel bahawa daripada tanah yang diterima oleh mereka, mereka harus memberi orang Lewi beberapa buah kota sebagai tempat tinggal.+ Mereka juga harus memberikan padang rumput di sekitar kota-kota itu kepada orang Lewi.+
3 Kota-kota itu akan menjadi tempat tinggal orang Lewi, dan padang-padang rumput itu adalah untuk ternakan dan semua binatang lain yang dipelihara oleh mereka.
4 Padang-padang rumput yang diberikan kepada orang Lewi itu harus berukuran kira-kira 450 meter* ke segala arah, diukur dari setiap sisi tembok kota.
5 Kamu harus mengukur kira-kira 450 meter dari tembok kota di bahagian timur, barat, utara, dan selatan. Dengan demikian, ukuran dari satu sisi ke sisi lain padang rumput itu ialah kira-kira 900 meter,* tidak termasuk kota yang berada di tengah-tengah semua padang rumput itu.
6 “Kamu harus memberikan enam buah kota perlindungan kepada orang Lewi.+ Dengan itu, jika ada sesiapa yang membunuh orang dengan tidak sengaja, orang itu dapat melarikan diri ke kota-kota tersebut.+ Selain itu, kamu juga harus memberikan 42 buah kota lain kepada mereka.
7 Maka jumlah kota yang harus kamu berikan kepada orang Lewi ialah 48 buah kota, berserta padang-padang rumput di sekeliling kota-kota itu.+
8 Kamu harus memberikan kota-kota itu daripada tanah yang diberikan kepada kamu.+ Setiap suku harus memberikan kota berdasarkan keluasan tanah warisan yang diberikan kepada mereka. Suku yang besar harus memberikan banyak kota, dan suku yang kecil harus memberikan sedikit kota.”+
9 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa,
10 “Beritahulah orang Israel, ‘Apabila kamu menyeberangi Sungai Yordan dan masuk ke tanah Kanaan,+
11 kamu harus memilih beberapa buah kota yang senang didatangi sebagai kota perlindungan. Dengan itu, jika ada sesiapa yang membunuh orang dengan tidak sengaja, orang itu dapat melarikan diri ke kota-kota tersebut.+
12 Kota-kota itu akan menjadi tempat perlindungan bagi orang itu supaya dia tidak dibunuh oleh orang yang berhak menuntut pembalasan.*+ Orang itu tidak boleh dihukum mati sebelum dia diadili di hadapan umum terlebih dahulu.+
13 Itulah tujuan bagi enam buah kota perlindungan yang dipilih itu.
14 Kamu harus memilih tiga buah kota di sebelah timur Sungai Yordan+ dan tiga buah kota lagi di tanah Kanaan+ sebagai kota-kota perlindungan.
15 Keenam-enam kota itu akan menjadi kota perlindungan bagi kamu semua. Orang Israel, orang asing,+ penduduk sementara, dan sesiapa sahaja, yang membunuh orang dengan tidak sengaja+ boleh melarikan diri ke kota-kota itu.
16 “‘Tetapi jika seseorang menggunakan peralatan besi untuk memukul orang sehingga menyebabkan orang itu mati, dia ialah pembunuh, dan dia mesti dihukum mati.+
17 Jika seseorang menggunakan batu untuk memukul orang sehingga menyebabkan orang itu mati, dia ialah pembunuh, dan dia mesti dihukum mati.
18 Jika seseorang menggunakan peralatan kayu untuk memukul orang sehingga menyebabkan orang itu mati, dia ialah pembunuh, dan dia mesti dihukum mati.
19 “‘Orang yang berhak menuntut pembalasan* harus melaksanakan hukuman mati terhadap orang itu. Jika dia menemui orang itu, dia harus membunuhnya.
20 Jika seseorang membenci seorang yang lain dan berniat untuk mencederakannya, lalu dia menolak orang itu atau melemparkan sesuatu kepadanya+
21 atau menumbuknya, sehingga menyebabkan orang itu mati, dia ialah pembunuh, dan dia mesti dihukum mati. Apabila orang yang berhak menuntut pembalasan* menemui pembunuh itu, dia harus membunuhnya.
22 “‘Tetapi jika seseorang dengan tidak sengaja dan tanpa niat jahat mencederakan seorang yang lain yang tidak dibencinya, sama ada dengan menolaknya atau melemparkan sesuatu kepadanya,+
23 atau menjatuhkan batu lalu batu itu menimpa orang itu kerana dia tidak melihat orang itu, lalu orang itu mati, tetapi dia tidak bermaksud untuk membunuh, dan orang yang terbunuh itu pun bukan musuhnya,
24 maka orang yang membunuh dengan tidak sengaja dan orang yang berhak menuntut pembalasan* harus diadili oleh para hakim. Para hakim harus mengadili perkara itu menurut peraturan yang telah ditetapkan.+
25 Para hakim harus menyelamatkan orang yang membunuh itu daripada orang yang berhak menuntut pembalasan,* lalu membawanya kembali ke kota perlindungan, tempat dia melarikan diri. Dia harus tinggal di sana sehingga imam agung* pada masa itu meninggal.+
26 “‘Tetapi jika orang itu keluar dari kota perlindungan, tempat dia melarikan diri,
27 dan dia ditemui lalu dibunuh oleh orang yang berhak menuntut pembalasan,* maka orang yang membunuhnya tidak berhutang darah.
28 Hal ini demikian kerana orang itu mesti tinggal di dalam kota perlindungan sehingga imam agung pada masa itu meninggal. Selepas itu, orang tersebut boleh pulang ke tempat asalnya.+
29 Kamu dan keturunan kamu harus sentiasa mematuhi peraturan ini tidak kira di mana kamu tinggal.
30 “‘Sesiapa yang membunuh mesti dihukum mati+ jika hal itu dapat dibuktikan oleh beberapa orang saksi.+ Tetapi seseorang tidak boleh dihukum mati berdasarkan kesaksian satu orang sahaja.
31 Kamu tidak boleh menerima tebusan untuk menyelamatkan nyawa orang yang sengaja membunuh. Hal ini demikian kerana orang itu memang patut dihukum mati.+
32 Kamu juga tidak boleh menerima tebusan bagi orang yang telah melarikan diri ke kota perlindungan dan membiarkan dia kembali ke tempat asalnya sebelum imam agung pada masa itu meninggal.
33 “‘Kamu tidak boleh melakukan pembunuhan di tanah tempat tinggal kamu. Hal ini demikian kerana penumpahan darah akan menajiskan tanah kamu,+ dan tiada apa-apa yang dapat menyucikan tanah itu kecuali dengan menumpahkan darah orang yang membunuh itu.+
34 Kamu tidak boleh menajiskan tanah tempat tinggal kamu kerana Aku tinggal bersama-sama kamu. Ya, Aku, Yehuwa, berada dalam kalangan umat Israel.’”+
Nota Kaki
^ Harfiah, “1,000 hasta.” Lihat Lampiran B14.
^ Harfiah, “2,000 hasta.”
^ Harfiah, “orang yang menuntut hutang darah.”
^ Harfiah, “Orang yang menuntut hutang darah.”
^ Harfiah, “orang yang menuntut hutang darah.”
^ Harfiah, “orang yang menuntut hutang darah.”
^ Harfiah, “orang yang menuntut hutang darah.”
^ Atau “imam agung yang diurapi minyak suci.”
^ Harfiah, “orang yang menuntut hutang darah.”