Bilangan 6:1-27

  • Ikrar orang Nazir (1-21)

  • Imam memberkati umat Israel (22-27)

6  Yehuwa berfirman lagi kepada Musa,  “Beritahulah umat Israel, ‘Jika seorang lelaki atau wanita berikrar untuk mengekhaskan diri kepada Aku, Yehuwa, sebagai orang Nazir,*+  dia tidak boleh minum wain atau minuman keras yang lain. Dia tidak boleh minum cuka yang dibuat daripada wain atau cuka yang dibuat daripada minuman keras yang lain.+ Dia tidak boleh minum minuman yang dibuat daripada buah anggur. Dia juga tidak boleh makan buah anggur, sama ada yang masih segar atau yang sudah dikeringkan.  Selama dia menjadi orang Nazir, dia tidak boleh makan apa-apa pun yang berasal daripada pokok anggur, termasuk buah anggur yang belum masak dan kulitnya.  “‘Selama dia menjadi orang Nazir, dia tidak boleh mencukur rambutnya.+ Dia harus tetap suci dan membiarkan rambutnya tumbuh panjang sehingga selesai masa dia mengekhaskan diri kepada Aku, Yehuwa.  Selama dia mengekhaskan dirinya kepada Aku, Yehuwa, dia tidak boleh menghampiri mayat,*  meskipun mayat itu ialah mayat bapa, ibu, abang, kakak, atau adiknya. Rambutnya merupakan tanda bahawa dia telah mengekhaskan diri kepada Aku sebagai orang Nazir. Oleh itu dia tidak boleh mencemarkan dirinya.+  “‘Aku, Yehuwa, akan menganggap dia suci selama dia menjadi orang Nazir.  Tetapi jika dia berada di sisi seseorang yang tiba-tiba mati,+ dia telah mencemarkan rambutnya yang merupakan tanda bahawa dia orang Nazir. Maka dia harus mencukur rambutnya+ pada hari dia menjalankan upacara penyucian, iaitu pada hari ketujuh. 10  Pada hari kelapan, dia harus membawa dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati muda kepada imam di pintu masuk khemah pertemuan. 11  Imam akan mempersembahkan seekor untuk korban dosa dan seekor lagi untuk korban bakar. Imam akan memohon pengampunan dosa bagi pihak orang Nazir itu+ yang telah menghampiri mayat. Kemudian pada hari itu juga, dia harus menyucikan dirinya dan membiarkan rambutnya tumbuh semula. 12  Namun, jangka waktu yang lampau itu tidak dihitung lagi kerana dia telah mencemarkan dirinya. Maka dia harus membaharui ikrarnya kepada Aku, Yehuwa, sebagai orang Nazir. Dia juga harus mempersembahkan seekor bebiri jantan yang berumur satu tahun sebagai korban ganti rugi. 13  “‘Inilah peraturan mengenai orang Nazir: Selepas seorang Nazir menyelesaikan masa dia mengekhaskan diri kepada Aku,+ dia harus pergi ke pintu masuk khemah pertemuan. 14  Di sana, dia harus mempersembahkan korban-korban berikut kepada Aku, Yehuwa: Seekor bebiri jantan yang berumur satu tahun sebagai korban bakar,+ seekor bebiri betina yang berumur satu tahun sebagai korban dosa,+ dan seekor bebiri jantan sebagai korban pendamaian.+ Semua binatang itu mestilah tidak ada kecacatan. 15  Dia juga harus mempersembahkan korban bijirin,+ korban wain,+ dan sebakul roti tidak beragi berbentuk gelang yang dibuat daripada tepung terbaik, yang telah dituangi minyak, serta roti nipis tidak beragi yang disapu dengan minyak. 16  Imam akan membawa semua itu kepada Aku, Yehuwa. Kemudian imam harus mempersembahkan korban dosa dan korban bakar kepada Aku. 17  Dia juga akan mempersembahkan bebiri jantan itu sebagai korban pendamaian kepada Aku, Yehuwa, bersama bakul roti tidak beragi, korban bijirin,+ dan korban wain. 18  “‘Selepas itu, orang Nazir tersebut harus mencukur rambutnya+ di pintu masuk khemah pertemuan. Kemudian dia harus membuang rambutnya, yang merupakan tanda bahawa dia orang Nazir, ke dalam api yang sedang membakar korban pendamaian. 19  Setelah orang Nazir itu mencukur rambutnya, imam harus mengambil kaki depan bebiri jantan yang telah direbus,+ sekeping roti nipis tidak beragi, dan seketul roti tidak beragi berbentuk gelang daripada bakul itu, lalu meletakkan semua itu ke atas tapak tangan orang Nazir tersebut. 20  Imam harus mengayunkan semuanya ke depan dan belakang sebagai korban kepada Aku, Yehuwa.+ Semua itu merupakan sesuatu yang suci dan harus menjadi milik imam. Dada dan kaki bebiri itu+ juga harus diberikan kepada imam sebagai persembahan suci. Selepas itu, orang Nazir tersebut boleh minum wain. 21  “‘Inilah peraturan mengenai orang Nazir+ yang telah berikrar: Jika dia berikrar untuk mempersembahkan korban lebih daripada yang ditentukan, dia harus memenuhi ikrar itu selaras dengan peraturan bagi orang Nazir. Dia harus mempersembahkan apa yang mampu diberikannya kepada Aku, Yehuwa.’” 22  Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, 23  “Beritahulah Harun dan anak-anak lelakinya, ‘Inilah caranya kamu harus memberkati+ orang Israel. Katakanlah kepada mereka: 24  “Semoga Yehuwa memberkati+ dan melindungi kamu. 25  Semoga Yehuwa memancarkan cahaya-Nya ke atas kamu,+ dan semoga Dia merahmati kamu. 26  Semoga Yehuwa berkenan kepada kamu dan mengurniai kamu kedamaian.”’+ 27  Mereka harus mengucapkan nama-Ku sebagai berkat kepada umat Israel+ supaya Aku memberkati umat Israel.”+

Nota Kaki

Perkataan Ibrani na·zirʹ bererti “Orang yang Dikhaskan.” Lihat Kamus, “Orang Nazir.”
Lihat Kamus, “Jiwa.”