Bilangan 9:1-23

  • Peraturan mengenai Paska yang disambut pada bulan kedua (1-14)

  • Tiang awan dan tiang api di atas khemah suci (15-23)

9  Yehuwa berfirman kepada Musa di padang belantara Sinai pada bulan pertama,+ dalam tahun kedua selepas umat Israel meninggalkan Mesir. Dia berfirman, 2  “Umat Israel harus menyambut Perayaan Paska*+ pada waktu yang ditetapkan,+ 3  iaitu pada hari ke-14, bulan pertama, pada waktu senja.* Mereka harus merayakannya menurut semua hukum dan peraturan yang sudah ditetapkan bagi perayaan ini.”+ 4  Maka Musa menyuruh umat Israel merayakan Paska. 5  Seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa, umat Israel merayakan Paska pada hari ke-14, bulan pertama, pada waktu senja, di padang belantara Sinai. 6  Tetapi ada beberapa orang yang menjadi najis kerana tersentuh mayat.+ Maka mereka tidak dapat merayakan Paska pada hari itu. Oleh itu, mereka pergi berjumpa dengan Musa dan Harun.+ 7  Mereka berkata, “Kami najis kerana tersentuh mayat. Tetapi adakah kami dilarang sama sekali untuk mempersembahkan korban Paska kepada Yehuwa bersama orang Israel yang lain pada waktu yang ditetapkan?”+ 8  Maka Musa berkata kepada mereka, “Tunggulah sehingga aku mendengar apa yang dikatakan oleh Yehuwa tentang kamu.”+ 9  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, 10  “Beritahulah umat Israel, ‘Jika seseorang dalam kalangan kamu atau keturunan kamu menjadi najis kerana tersentuh mayat,+ atau berada dalam perjalanan jauh, orang itu masih perlu menyambut Perayaan Paska untuk menghormati Aku, Yehuwa. 11  Orang itu harus merayakan Paska pada hari ke-14, bulan kedua,+ pada waktu senja. Dia harus memakan daging korban Paska bersama sayur pahit dan roti tidak beragi.+ 12  Dia tidak boleh meninggalkan sedikit pun daripada daging korban itu sehingga pagi.+ Dia juga tidak boleh mematahkan satu pun daripada tulang+ binatang itu. Dia harus merayakan Paska menurut semua peraturan yang sudah ditetapkan bagi perayaan itu. 13  Jika seseorang tidak najis atau bukan dalam perjalanan jauh, tetapi dia tidak merayakan Paska, orang itu mesti dihukum mati.+ Hal ini demikian kerana dia tidak merayakan Paska untuk menghormati Aku, Yehuwa, pada waktu yang ditetapkan. Maka orang itu mesti menanggung akibat dosanya. 14  “‘Jika ada orang asing yang tinggal dalam kalangan kamu, dia juga harus menyambut Perayaan Paska untuk menghormati Aku, Yehuwa.+ Dia harus merayakannya menurut semua peraturan yang sudah ditetapkan+ bagi perayaan itu. Hukum yang sama berlaku untuk kamu semua, baik orang asing mahupun orang Israel.’”+ 15  Pada hari khemah suci didirikan,+ terdapat awan yang turun ke atas khemah itu.* Pada waktu malam, awan itu kelihatan seperti tiang api, dan awan itu terus berada di atas khemah suci sehingga pagi.+ 16  Pada siang hari, awan akan berada di atas khemah suci. Pada malam hari pula, awan itu akan kelihatan seperti tiang api.+ Itulah yang selalu berlaku. 17  Setiap kali awan itu naik dari khemah suci, orang Israel akan memindahkan perkhemahan mereka dengan segera.+ Di mana sahaja awan itu turun, di tempat itulah mereka memasang khemah.+ 18  Dengan perintah Yehuwa, umat Israel akan memasang khemah, dan dengan perintah Yehuwa juga, mereka akan memindahkan perkhemahan.+ Selagi awan itu tidak naik dari khemah suci, mereka tidak akan berpindah ke tempat yang lain. 19  Jika awan itu lama berada di atas khemah suci, orang Israel akan mematuhi perintah Yehuwa dan tidak berpindah ke tempat yang lain.+ 20  Dengan perintah Yehuwa, umat Israel akan memasang khemah, dan dengan perintah Yehuwa juga, mereka akan memindahkan perkhemahan. Ada kalanya awan itu berada di atas khemah suci selama beberapa hari. 21  Tetapi ada kalanya pula, awan itu hanya berada di atas khemah suci dari petang sampai pagi. Sebaik sahaja awan itu naik pada waktu pagi, orang Israel akan berangkat. Sebaik sahaja awan itu naik, sama ada pada waktu pagi atau malam, orang Israel akan berangkat.+ 22  Sama ada awan itu berada di atas khemah suci selama dua hari, satu bulan, satu tahun, atau lebih lama daripada itu, selama itulah orang Israel akan terus berkhemah di tempat itu. Tetapi sebaik sahaja awan itu naik, mereka akan berangkat. 23  Dengan perintah Yehuwa, umat Israel akan memasang khemah, dan dengan perintah Yehuwa juga, mereka akan memindahkan perkhemahan. Mereka mematuhi arahan Yehuwa dan menurut perintah yang disampaikan oleh Yehuwa kepada Musa.

Nota Kaki

Lihat Kamus.
Iaitu, selepas matahari terbenam, tetapi sebelum hari menjadi gelap sepenuhnya.
Atau “khemah suci, tempat tabut perjanjian diletakkan.”