Daniel 11:1-45

  • Raja Persia dan raja Yunani (1-4)

  • Raja selatan dan raja utara (5-45)

    • Pemungut cukai diutus (20)

    • Pemimpin perjanjian dibinasakan (22)

    • Tuhan yang melindungi kubu-kubu dimuliakan (38)

    • Raja selatan dan raja utara saling berlawan (40)

    • Laporan dari timur dan utara yang menggelisahkan (44)

11  “Pada tahun pertama pemerintahan Darius,+ orang Media itu, aku bangkit untuk menyokong dan menguatkan dia.  Semua yang aku katakan ini benar: “Lihatlah! Tiga orang raja lagi akan muncul di Persia, dan raja yang keempat akan mengumpulkan lebih banyak kekayaan berbanding raja-raja yang lain. Apabila raja ini menjadi kuat kerana kekayaannya, dia akan menggerakkan segala sesuatu untuk menentang kerajaan Yunani.+  “Seorang raja yang sangat berkuasa akan muncul. Dia akan memerintah kawasan yang luas,+ dan bertindak sesuka hati.  Selepas dia bangkit, kerajaannya akan berpecah belah dan terbahagi ke empat arah.+ Namun kerajaannya tidak akan menjadi milik keturunannya. Kerajaannya akan dicabut dan menjadi milik orang lain, tetapi kawasan pemerintahan mereka tidak seluas kawasan pemerintahannya.  “Salah seorang pemimpin di bawah kekuasaannya akan menjadi sangat kuat. Pemimpin ini ialah raja selatan. Tetapi seseorang akan menjadi lebih kuat daripada raja ini, mempunyai kuasa yang lebih besar, dan memerintah kawasan yang luas.  “Selepas beberapa tahun, mereka akan menjadi sekutu, dan puteri raja selatan akan pergi kepada raja utara untuk mengikat perjanjian. Tetapi puteri ini tidak akan mengekalkan kekuasaannya. Raja itu akan jatuh dan kehilangan kekuasaannya. Puteri ini bersama dengan orang yang mengiringinya, orang yang melahirkannya, dan orang yang memberinya kuasa pada waktu itu akan diserahkan kepada orang lain.  Tunas yang bercambah dari akar puteri itu akan bangkit dan menggantikan dia.* Dia akan datang menentang angkatan tentera raja utara dan menyerang kubu raja itu, lalu meraih kemenangan.  Dia akan membawa tuhan-tuhan mereka, patung berhala mereka,* perkakas perak dan emas mereka yang berharga, dan orang tawanan ke Mesir. Selama beberapa tahun, dia tidak akan berlawan dengan raja utara.  Kemudian raja utara akan menentang raja selatan lalu kembali ke negerinya. 10  “Anak-anak raja itu* akan bersiap untuk berperang dan mengumpulkan angkatan tentera yang besar. Dia akan mara dan datang seperti banjir. Tetapi dia akan kembali dan berperang sehingga dia sampai ke kubunya. 11  “Raja selatan akan menjadi marah lalu pergi berperang dengan raja utara. Tetapi sejumlah besar orang yang telah dikumpulkannya akan diserahkan kepada raja itu.* 12  Kumpulan orang itu akan dibawa pergi. Hati raja itu akan menjadi angkuh dan dia akan membinasakan beribu-ribu orang, tetapi dia akan melepaskan peluang baik yang dimilikinya. 13  “Raja utara pasti akan kembali dan mengumpulkan sekumpulan orang yang lebih banyak daripada sebelumnya. Pada akhir suatu jangka waktu, iaitu selepas beberapa tahun, dia pasti akan datang dengan angkatan tentera yang besar dan banyak harta. 14  Pada masa itu, ramai orang akan bangkit menentang raja selatan. “Orang yang ganas* dalam kalangan bangsamu akan dibawa pergi kerana mereka ingin membuat suatu penglihatan menjadi kenyataan, tetapi mereka akan tersandung. 15  “Raja utara akan datang dan mendirikan benteng untuk mengepung kota yang bertembok. Angkatan tentera selatan tidak akan dapat bertahan, begitu juga dengan askar-askar mereka yang terbaik. Mereka semua tidak mempunyai kekuatan untuk berlawan. 16  Raja ini akan menyerang raja selatan dan bertindak sesuka hati, dan tiada sesiapa pun yang dapat melawannya. Raja ini akan berdiri di Tanah yang Indah,*+ dan dia memiliki kuasa untuk menyebabkan kemusnahan. 17  Raja ini akan bertekad untuk datang dengan kekuatan seluruh kerajaannya, dan membuat perjanjian dengan raja itu; tindakannya amat berkesan. Dia akan diizinkan untuk membinasakan seorang anak perempuan. Anak ini tidak akan bertahan, dan tidak akan menjadi miliknya lagi. 18  Raja ini akan memalingkan mukanya ke persisiran pantai dan menakluki banyak kawasan. Seorang ketua tentera akan menghentikan hinaan yang dilemparkan atasnya, supaya dia tidak dihina lagi. Dia akan membalas hinaan itu. 19  Kemudian dia* akan pulang ke kubu-kubu di negerinya sendiri. Akhirnya dia akan tersandung lalu jatuh, dan tidak akan ditemui lagi. 20  “Seseorang akan menggantikan tempatnya, dan menyuruh pemungut cukai* menjelajahi seluruh kerajaan yang agung itu. Tetapi selepas beberapa hari, dia akan binasa, bukan kerana kemarahan atau peperangan. 21  “Seseorang yang dipandang hina* akan menggantikan tempatnya, dan mereka tidak akan memberikan kemuliaan kerajaan itu kepadanya. Dia akan datang pada masa aman* dan merampas kerajaan itu dengan cara licik. 22  Dia akan memusnahkan angkatan tentera yang datang bagaikan banjir. Ya, mereka akan dibinasakan, dan hal yang sama juga akan berlaku kepada Pemimpin+ perjanjian.+ 23  Oleh sebab mereka bersekutu dengannya, dia akan terus menipu. Dia akan bangkit dan menjadi kuat disebabkan sebuah bangsa yang kecil. 24  Pada masa aman,* dia akan memasuki wilayah yang paling makmur dan melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan oleh nenek moyangnya. Dia akan berkongsi barang jarahan, barang rampasan, dan harta benda dengan orang lain. Dia juga akan membuat rancangan untuk menyerang kubu-kubu pertahanan, tetapi hanya untuk sementara waktu. 25  “Dia akan mengerahkan kekuatannya dan keberaniannya untuk menyerang raja selatan dengan angkatan tentera yang besar. Raja selatan akan mengumpulkan sebuah angkatan yang amat besar dan kuat untuk berperang dengannya. Dia tidak akan bertahan kerana mereka berkomplot untuk menentangnya. 26  Orang yang menikmati makanan sedap di mejanya akan menyebabkan kejatuhannya. “Angkatan tenteranya akan dibinasakan,* dan ramai orang akan dibunuh. 27  “Kedua-dua raja ini berniat untuk melakukan apa yang jahat. Mereka akan duduk di meja yang sama dan menipu satu sama lain. Tetapi mereka tidak akan berjaya kerana akhir akan tiba pada waktu yang telah ditetapkan.+ 28  “Dia akan pulang ke negerinya dengan banyak harta benda, dan dia berniat untuk menentang perjanjian suci. Dia akan melakukannya dan pulang ke negerinya. 29  “Pada waktu yang ditentukan, dia akan kembali dan menyerang negeri selatan. Tetapi kali ini, keadaannya tidak seperti yang sebelumnya 30  kerana kapal-kapal Kitim+ akan menyerangnya, dan dia akan ditundukkan. “Dia akan pulang dan melepaskan kemarahannya* terhadap perjanjian suci.+ Ya, dia pasti akan berbuat demikian. Dia akan kembali dan menumpukan perhatiannya terhadap orang yang meninggalkan perjanjian suci. 31  Angkatan tentera akan mara dari tempatnya. Mereka akan menajiskan tempat suci,+ iaitu kubu itu, dan merampas korban harian.+ “Kemudian mereka akan mendirikan benda jijik yang membawa kemusnahan.+ 32  “Dengan kata-kata yang licik, dia akan membimbing orang yang berbuat jahat dan yang melanggar perjanjian itu sehingga mereka menjadi orang murtad. Tetapi orang yang mengenal Tuhan mereka sendiri akan tetap kuat dan berjaya. 33  Dalam kalangan umat manusia, terdapat orang yang mempunyai pengertian.+ Mereka akan membantu ramai orang mendapat pemahaman. Tetapi selama beberapa hari, mereka akan tersandung kerana pedang dan nyala api, kerana ditawan dan dijarah. 34  Ketika mereka tersandung, mereka akan mendapat sedikit bantuan. Ramai orang yang mengucapkan kata-kata licik akan menyertai mereka. 35  Sebilangan orang yang mempunyai pengertian akan tersandung, dan disebabkan mereka, orang akan dimurnikan, dibersihkan, dan disucikan+ sehingga akhir zaman, kerana waktu yang ditentukan belum sampai. 36  “Raja itu akan bertindak sesuka hati, dan dia akan meninggikan dirinya serta menganggap dirinya lebih besar daripada semua tuhan. Dia akan menghina dan menentang Tuhan Yang Maha Tinggi.+ Dia pasti akan berjaya sampai waktu kemurkaan berakhir, kerana apa yang telah ditentukan pasti akan berlaku. 37  Dia tidak akan menghormati Tuhan yang disembah oleh nenek moyangnya. Dia juga tidak akan memberikan perhatian kepada tuhan-tuhan lain ataupun kepada apa yang diingini oleh wanita. Sebaliknya dia akan terus menganggap dirinya lebih besar daripada semua orang. 38  Tetapi,* dia akan memuliakan tuhan segala kubu, tuhan yang tidak dikenali nenek moyangnya. Dia akan memuliakan tuhan itu dengan emas, perak, batu-batu permata, dan pelbagai barangan berharga. 39  Dengan bantuan tuhan orang asing, dia akan menyerang kota berkubu yang paling kukuh. Dia akan memberikan penghormatan yang besar kepada sesiapa sahaja yang menyokongnya,* dan membenarkan mereka memerintah banyak orang. Dia akan membahagi-bahagikan tanah kepada mereka jika dia menerima bayaran yang sesuai. 40  “Pada akhir zaman, raja selatan dan dia akan saling berlawan.* Seperti ribut, raja utara akan menyerang dia dengan kereta-kereta kuda, askar berkuda, dan banyak kapal. Dia akan memasuki banyak negeri dan menghanyutkan mereka seperti banjir. 41  Dia juga akan memasuki Tanah yang Indah,*+ dan banyak negeri akan dikalahkan. Tetapi orang Edom, orang Moab, dan para pemimpin* Ammon, akan melepaskan diri daripada genggamannya. 42  Dia akan terus menyerang banyak negeri, dan negeri Mesir tidak akan terlepas. 43  Dia akan menguasai harta-harta tersembunyi, emas, perak, dan semua harta Mesir. Orang Libia dan Etiopia* akan mengikut jejaknya. 44  “Tetapi laporan dari timur* dan utara akan membuat dia gelisah. Dia akan pergi dengan penuh kemarahan untuk melenyapkan dan menghapuskan banyak orang. 45  Dia akan mendirikan khemah-khemah diraja di antara lautan besar dan gunung suci di Tanah yang Indah.*+ Penghujungnya akan tiba, dan tiada sesiapa pun yang akan membantunya.

Nota Kaki

Nampaknya merujuk kepada raja selatan.
Atau “patung berhala mereka yang diperbuat daripada logam.”
Nampaknya merujuk kepada raja utara.
Nampaknya merujuk kepada raja selatan.
Atau “Anak-anak perompak.”
Atau “di Perhiasan.”
Nampaknya merujuk kepada raja utara.
Dalam bahasa asal, ungkapan ini juga boleh merujuk kepada seseorang yang mendaftarkan orang lain untuk menyertai khidmat tentera.
Atau “yang dibenci.”
Atau mungkin, “datang tanpa amaran; datang secara tiba-tiba.”
Atau mungkin, “Tanpa amaran; Secara tiba-tiba.”
Atau “dihanyutkan.”
Atau “dan melemparkan kutukan.”
Atau “Tetapi sebagai raja.”
Atau mungkin, “yang dikenalinya.”
Atau “saling menolak.”
Atau “memasuki Perhiasan.”
Atau “dan bahagian terpenting.”
Atau “Habsyah.”
Atau “dari arah matahari terbit.”
Atau “di Perhiasan.”