Daniel 2:1-49

  • Raja Nebukadnezar mendapat mimpi buruk (1-4)

  • Tiada orang bijaksana yang dapat menceritakan mimpi itu (5-13)

  • Daniel meminta bantuan Tuhan (14-18)

  • Daniel memuji Tuhan kerana menyingkapkan rahsia itu (19-23)

  • Daniel memberitahu raja mimpi itu (24-35)

  • Erti mimpi itu (36-45)

    • Sebuah batu meremukkan patung itu (44, 45)

  • Raja memberikan penghormatan kepada Daniel (46-49)

2  Pada tahun kedua pemerintahan Nebukadnezar, dia mendapat mimpi-mimpi yang membuatnya begitu resah+ sehingga dia tidak boleh tidur. 2  Maka dia memanggil semua imam yang mengamalkan ilmu sihir, tukang tilik, ahli sihir, dan orang Kasdim* untuk memberitahunya apa yang telah dimimpikannya. Apabila mereka datang menghadapnya,+ 3  dia berkata kepada mereka, “Beta telah bermimpi dan beta menjadi resah kerana beta ingin mengetahui mimpi itu.” 4  Orang Kasdim pun menjawab raja dalam bahasa Aram,*+ “Wahai tuanku, semoga tuanku hidup selama-lamanya. Ceritakanlah mimpi tuanku kepada hamba sekalian, dan hamba sekalian akan menjelaskan erti mimpi tuanku.” 5  Raja berkata kepada orang Kasdim, “Inilah keputusan beta: Jika kamu tidak memberitahu beta tentang mimpi beta dan erti mimpi itu, kamu akan dipotong-potong, dan rumah kamu akan dijadikan tandas awam.* 6  Tetapi jika kamu dapat memberitahu beta tentang mimpi beta dan ertinya, beta akan memberikan ganjaran kepada kamu. Kamu akan mendapat hadiah-hadiah dan penghormatan yang besar.+ Maka beritahulah beta tentang mimpi itu dan ertinya.” 7  Mereka berkata lagi, “Ceritakanlah mimpi tuanku kepada hamba sekalian, dan hamba sekalian akan menjelaskan erti mimpi tuanku.” 8  Raja berkata, “Beta tahu bahawa kamu semua sedang melengah-lengahkan masa kerana kamu tahu apa yang beta sudah putuskan. 9  Jika kamu tidak memberitahu beta mimpi itu, kamu semua akan dikenakan hukuman yang sama. Kamu telah bersubahat untuk menipu beta kerana kamu berharap bahawa beta akan mengubah fikiran. Sekarang, beritahulah beta mimpi itu, barulah beta yakin bahawa kamu dapat menjelaskan ertinya.” 10  Orang Kasdim menjawab raja, “Tidak ada sesiapa pun di muka bumi yang dapat memenuhi tuntutan tuanku. Bahkan pemerintah atau raja yang agung pun tidak pernah menuntut ahli sihir,* tukang tilik, atau orang Kasdim untuk berbuat demikian. 11  Permintaan raja amat susah sehingga tiada seorang manusia pun yang dapat memenuhinya. Hanya dewa dewi yang dapat memenuhinya, tetapi dewa dewi tidak tinggal dalam kalangan manusia.” 12  Oleh itu, raja naik berang lalu mengarahkan agar semua orang yang bijaksana di Babilon dibunuh.+ 13  Apabila perintah dikeluarkan untuk membunuh semua orang yang bijaksana di Babilon, Daniel dan kawan-kawannya juga dicari untuk dibunuh. 14  Daniel bertindak dengan bijak dan cermat. Dia pergi berjumpa dengan Ariokh, iaitu ketua pengawal raja, yang sedang dalam perjalanan untuk membunuh semua orang bijaksana di Babilon. 15  Dia bertanya kepada Ariokh, pegawai raja itu, “Mengapakah raja mengeluarkan perintah yang begitu kejam?” Ariokh pun menceritakan segala yang telah berlaku.+ 16  Maka Daniel menghadap raja untuk memohon agar dia diberi masa untuk menjelaskan erti mimpi itu kepada raja. 17  Kemudian Daniel pulang ke rumahnya dan memberitahukan hal itu kepada kawan-kawannya, iaitu Hanania, Misael, dan Azarya. 18  Dia meminta mereka untuk berdoa agar Tuhan di syurga menunjukkan belas kasihan kepada mereka dan menyingkapkan rahsia itu kepada mereka, supaya mereka berempat tidak dibunuh bersama orang bijaksana yang lain di Babilon. 19  Pada waktu malam, Tuhan di syurga menyingkapkan rahsia itu kepada Daniel dalam sebuah penglihatan.+ Maka Daniel memuji Tuhan 20  dengan berkata, “Semoga nama Tuhan dipuji buat selama-lamanya,Kerana kebijaksanaan dan keperkasaan ialah milik-Nya.+ 21  Dia menguasai masa dan waktu,+Melantik dan memecat raja,+Memberikan kebijaksanaan kepada orang bijak, dan pengetahuan kepada orang yang berpengertian.+ 22  Dia menyingkapkan perkara yang dalam dan rahsia yang tersembunyi.+Dia mengetahui apa yang ada dalam kegelapan,+Dan Dia dikelilingi cahaya.+ 23  Wahai Tuhan nenek moyangku, aku bersyukur kepada Engkau dan memuji-Mu,Kerana Engkau telah mengurniakan kebijaksanaan dan kuasa kepadaku. Engkau telah mengabulkan permintaan kami dan menyingkapkan rahsia itu kepadaku.Engkau telah memberitahu kami jawapan kepada soalan raja.”+ 24  Kemudian Daniel pergi kepada Ariokh, yang telah dilantik oleh raja untuk membunuh semua orang bijaksana di Babilon.+ Daniel berkata kepadanya, “Janganlah bunuh orang bijaksana di Babilon. Bawalah aku menghadap raja dan aku akan menjelaskan erti mimpi itu kepada raja.” 25  Ariokh segera membawa Daniel menghadap raja lalu berkata kepada raja, “Hamba telah menjumpai seorang lelaki yang telah ditawan dari Yehuda.+ Dia dapat menjelaskan erti mimpi tuanku.” 26  Raja berkata kepada Daniel, yang juga disebut Beltesazar,+ “Betulkah kamu dapat memberitahu beta tentang mimpi beta, dan menjelaskan ertinya?”+ 27  Daniel menjawab, “Tiada orang yang bijaksana, tukang tilik, imam yang mengamalkan ilmu sihir, atau ahli nujum yang dapat memberitahu tuanku tentang rahsia tuanku.+ 28  Tetapi Tuhan yang di syurga dapat menyingkapkan segala rahsia.+ Dia telah memberitahu tuanku apa yang akan berlaku pada kemudian hari. Inilah mimpi tuanku, dan inilah penglihatan yang tuanku nampak semasa tuanku berbaring di katil: 29  “Ketika tuanku berbaring di katil, tuanku bermimpi* tentang perkara-perkara yang akan berlaku pada masa depan, dan Tuhan yang menyingkapkan segala rahsia telah memberitahu tuanku apa yang bakal berlaku. 30  Rahsia ini disingkapkan kepada hamba bukan kerana hamba lebih bijaksana daripada orang lain, tetapi kerana hamba harus menjelaskan ertinya kepada tuanku agar tuanku mengetahui mimpi itu.+ 31  “Semasa tuanku bermimpi, tuanku nampak sebuah patung* yang sangat besar dan berkilau-kilauan. Patung itu sedang berdiri di hadapan tuanku dan rupanya amat menakutkan. 32  Kepala patung itu diperbuat daripada emas tulen.+ Dada dan lengannya diperbuat daripada perak.+ Perut dan pahanya diperbuat daripada tembaga.+ 33  Betisnya diperbuat daripada besi.+ Sebahagian kakinya* diperbuat daripada besi, dan sebahagian lagi diperbuat daripada tanah liat.*+ 34  Ketika tuanku melihat patung itu, sebuah batu dipotong dari sebuah gunung lalu menimpa kaki patung yang diperbuat daripada besi dan tanah liat itu, sehingga menghancurkannya.+ (Batu itu tidak dipotong oleh tangan manusia.) 35  Pada waktu yang sama, besi, tanah liat, tembaga, perak, dan emas, semuanya dihancurkan. Semuanya menjadi seperti sekam di tempat mengirik* gandum pada musim panas, dan ditiup angin sehingga tiada apa-apa yang tertinggal. Tetapi batu yang menimpa patung itu menjadi sebuah gunung yang besar dan memenuhi seluruh bumi. 36  “Itulah mimpi tuanku, dan sekarang kami akan memberitahu tuanku ertinya. 37  Wahai tuanku yang agung, Tuhan di syurga telah memberi tuanku kerajaan,+ keperkasaan, kekuatan, dan kemuliaan. 38  Tuhan juga telah memberi tuanku kekuasaan dan menjadikan tuanku pemerintah atas semua manusia di bumi, binatang di padang, dan burung di langit.+ Tuankulah kepala yang diperbuat daripada emas itu.+ 39  “Tetapi selepas kerajaan tuanku, akan bangkit sebuah kerajaan+ yang tidak sehebat kerajaan tuanku. Kemudian akan muncul kerajaan ketiga, yang dilambangkan oleh tembaga. Kerajaan ini akan memerintah seluruh bumi.+ 40  “Kerajaan yang keempat pula sekuat besi.+ Seperti besi yang menghancurkan dan meremukkan segala-galanya, kerajaan ini akan menghancurkan dan meremukkan semua kerajaan yang sebelumnya.+ 41  “Sepertimana tuanku nampak, kaki dan jari kaki patung itu diperbuat daripada campuran tanah liat* dan besi. Demikianlah kerajaan itu akan berpecah belah, tetapi sebahagian kerajaan itu masih kuat seperti besi kerana tanah liat yang lembut itu bercampur dengan besi. 42  Sebahagian jari kaki patung itu diperbuat daripada tanah liat, dan sebahagian lagi diperbuat daripada besi, maka sebahagian daripada kerajaan itu kuat dan sebahagian lagi lemah. 43  Sepertimana tuanku nampak besi bercampur dengan tanah liat yang lembut, sebahagian kerajaan itu akan bercampur dengan manusia.* Tetapi kedua-duanya tidak akan bersatu, sama seperti besi tidak dapat sebati dengan tanah liat. 44  “Pada zaman raja-raja itu, Tuhan di syurga akan mendirikan sebuah kerajaan+ yang tidak dapat dimusnahkan.+ Kerajaan ini tidak akan diserahkan kepada bangsa lain.+ Kerajaan ini akan meremukkan dan mengakhiri semua kerajaan itu.+ Hanya kerajaan ini yang akan kekal buat selama-lamanya.+ 45  Semua ini berlaku tepat seperti yang tuanku lihat: Sebuah batu yang dipotong dari gunung, yang tidak dipotong oleh tangan manusia, telah menghancurkan besi, tembaga, tanah liat, perak, dan emas itu.+ Tuhan Yang Agung telah memberitahu tuanku apa yang akan berlaku pada masa depan.+ Apa yang dimimpikan oleh tuanku pasti akan berlaku, dan tafsirannya dapat dipercayai.” 46  Kemudian Raja Nebukadnezar sujud di hadapan Daniel dan memberikan penghormatan kepadanya. Raja juga mengeluarkan perintah agar kemenyan dibakar dan Daniel diberi hadiah. 47  Raja berkata kepada Daniel, “Tuhanmu sememangnya Tuhan yang agung, Penguasa atas semua raja, dan Tuhan yang menyingkapkan rahsia.+ Beta tahu akan hal itu kerana kamu dapat menyingkapkan rahsia ini.” 48  Selepas itu, raja menaikkan pangkat Daniel dan memberinya banyak hadiah yang bernilai. Dia melantik Daniel menjadi penguasa semua wilayah Babilon,+ dan ketua atas semua orang yang bijaksana di Babilon. 49  Atas permintaan Daniel, raja melantik Sadrakh, Mesakh, dan Abednego+ untuk mentadbir wilayah Babilon. Daniel pula berkhidmat di istana raja.

Nota Kaki

Iaitu, sekumpulan orang yang mahir menilik dan membuat ramalan dengan melihat bintang.
Pada asalnya, Da 2:4b sehingga 7:28 ditulis dalam bahasa Aram.
Atau mungkin, “tempat pembuangan sampah; timbunan najis.”
Atau “imam yang mengamalkan ilmu sihir.”
Atau “berfikir.”
Iaitu, dari pergelangan kaki sampai ke tapak kaki.
Atau “tanah liat yang telah dibakar.”
Proses memisahkan buah daripada tangkai.
Iaitu, tanah liat yang digunakan oleh tukang tembikar.
Iaitu, manusia biasa.