Daniel 3:1-30
-
Patung emas Raja Nebukadnezar (1-7)
-
Wajib menyembah patung itu (4-6)
-
-
Tiga orang Ibrani dituduh kerana enggan menyembah patung itu (8-18)
-
‘Kami tidak akan menyembah dewa dewi tuanku’ (18)
-
-
Dilemparkan ke dalam relau api yang bernyala-nyala (19-23)
-
Diselamatkan daripada api (24-27)
-
Raja memuji Tuhan orang Ibrani (28-30)
3 Raja Nebukadnezar membuat sebuah patung emas yang tingginya kira-kira 27 meter* dan lebarnya hampir 3 meter.* Dia mendirikan patung itu di dataran Dura, di wilayah Babilon.
2 Kemudian Raja Nebukadnezar mengeluarkan perintah untuk mengumpulkan semua ketua gabenor wilayah, penguasa, gabenor, penasihat, bendahara, hakim, pemerintah kota, dan pentadbir daerah. Mereka harus menghadiri upacara perasmian patung yang telah didirikan oleh Raja Nebukadnezar.
3 Maka semua ketua gabenor wilayah, penguasa, gabenor, penasihat, bendahara, hakim, pemerintah kota, dan pentadbir daerah berkumpul di hadapan patung yang telah didirikan oleh Raja Nebukadnezar untuk upacara perasmiannya.
4 Utusan raja mengumumkan dengan suara yang lantang, “Hai orang daripada pelbagai bangsa dan bahasa! Inilah perintah raja kepada kamu:
5 Sewaktu kamu mendengar bunyi trompet, seruling, ziter, kecapi kecil, alat muzik bertali, begpaip, dan alat-alat muzik yang lain, kamu harus sujud menyembah patung emas yang telah didirikan oleh Raja Nebukadnezar.
6 Sesiapa yang tidak sujud menyembah patung itu akan segera dilemparkan ke dalam relau api yang bernyala-nyala.”+
7 Oleh itu, sebaik sahaja trompet, seruling, ziter, kecapi kecil, alat muzik bertali, begpaip, dan alat-alat muzik yang lain dibunyikan, semua orang daripada pelbagai bangsa dan bahasa sujud menyembah patung emas yang telah didirikan oleh Raja Nebukadnezar.
8 Pada waktu itu, beberapa orang Kasdim tampil ke hadapan dan melemparkan tuduhan terhadap* orang Yahudi.
9 Mereka berkata kepada Raja Nebukadnezar, “Daulat tuanku! Semoga tuanku hidup selama-lamanya.
10 Tuanku telah mengeluarkan perintah agar setiap orang yang mendengar bunyi trompet, seruling, ziter, kecapi kecil, alat muzik bertali, begpaip, dan alat-alat muzik yang lain harus sujud menyembah patung emas itu.
11 Tuanku juga berkata bahawa sesiapa yang tidak sujud menyembah patung itu akan dilemparkan ke dalam relau api yang bernyala-nyala.+
12 Tetapi beberapa orang Yahudi yang dilantik oleh tuanku untuk mentadbir wilayah Babilon tidak mengendahkan perintah tuanku. Mereka ialah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego.+ Mereka tidak menyembah dewa dewi tuanku, dan enggan bersujud kepada patung emas yang didirikan oleh tuanku.”
13 Nebukadnezar pun naik darah lalu dia menyuruh orang untuk membawa Sadrakh, Mesakh, dan Abednego kepadanya. Apabila mereka bertiga menghadapnya,
14 dia berkata, “Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, betulkah kamu tidak menyembah dewa dewi beta,+ dan enggan bersujud kepada patung emas yang beta dirikan itu?
15 Sekarang, jika kamu rela sujud menyembah patung itu semasa trompet, seruling, ziter, kecapi kecil, alat muzik bertali, begpaip, dan alat-alat muzik yang lain dibunyikan, baguslah! Tetapi jika kamu enggan berbuat demikian, kamu akan dilemparkan ke dalam relau api yang bernyala-nyala dengan segera. Tuhan manakah yang dapat menyelamatkan kamu daripada tangan beta?”+
16 Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab, “Tuanku Nebukadnezar, kami tidak akan mencuba membela diri.
17 Jika kami dilemparkan ke dalam relau api yang bernyala-nyala, Tuhan yang kami sembah dapat menyelamatkan kami daripada relau itu dan daripada tangan tuanku.+
18 Tetapi jika Tuhan kami tidak berbuat demikian, hendaklah tuanku tahu bahawa kami masih tidak akan menyembah dewa dewi tuanku ataupun patung emas yang tuanku dirikan.”+
19 Nebukadnezar begitu marah dengan Sadrakh, Mesakh, dan Abednego sehingga raut wajahnya berubah.* Dia memberikan arahan supaya relau itu dipanaskan tujuh kali lebih panas daripada yang biasa.
20 Dia mengarahkan beberapa orang askar yang gagah perkasa untuk mengikat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego dan melemparkan mereka ke dalam relau api yang bernyala-nyala itu.
21 Askar-askar itu mengikat mereka bertiga semasa mereka masih berpakaian lengkap dengan jubah, baju labuh, topi, dan semua pakaian yang lain. Kemudian mereka dilemparkan ke dalam relau api yang bernyala-nyala.
22 Oleh sebab raja memberikan perintah yang kejam supaya relau itu dipanaskan lebih daripada biasa, askar-askar yang melemparkan Sadrakh, Mesakh, dan Abednego mati dibakar api dari relau itu.
23 Sadrakh, Mesakh, dan Abednego pula jatuh ke dalam relau api yang bernyala-nyala itu dalam keadaan terikat.
24 Tiba-tiba Raja Nebukadnezar menjadi takut. Dia segera berdiri lalu bertanya kepada para pegawai tingginya, “Bukankah kita mengikat dan melemparkan tiga orang lelaki ke dalam relau api itu?” Mereka menjawab, “Memang benar tuanku.”
25 Dia menyambung, “Lihatlah! Beta nampak empat orang lelaki yang sedang berjalan-jalan di tengah-tengah api itu. Mereka tidak terikat dan tidak terbakar. Orang yang keempat itu kelihatan seperti anak tuhan.”
26 Nebukadnezar menghampiri pintu relau itu dan berseru, “Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, hamba-hamba Tuhan Yang Maha Tinggi!+ Keluarlah!” Mereka bertiga pun keluar.
27 Semua ketua gabenor wilayah, penguasa, gabenor, dan pegawai tinggi yang berkumpul di situ+ nampak bahawa mereka bertiga tidak cedera.+ Tidak sehelai rambut pun di kepala mereka yang hangus. Jubah mereka tidak terbakar, dan bahkan bau asap pun tidak ada pada mereka.
28 Kemudian Nebukadnezar mengumumkan, “Terpujilah Tuhan yang disembah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego.+ Tuhan mereka telah mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan mereka, kerana mereka percaya kepada-Nya dan sanggup melanggar perintah beta. Mereka hanya menyembah Tuhan mereka, dan rela mati daripada menyembah tuhan-tuhan yang lain.+
29 Maka beta mengeluarkan perintah berikut: Sesiapa daripada bangsa atau bahasa apa pun yang menghina Tuhan Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, akan dipotong-potong, dan rumahnya akan dijadikan tandas awam.* Hal ini demikian kerana tiada tuhan yang dapat menyelamatkan orang, seperti yang telah dilakukan oleh Tuhan mereka.”+
30 Selepas itu, raja menaikkan pangkat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego di wilayah Babilon.+