Daniel 4:1-37
4 “Beta, Raja Nebukadnezar, berkata kepada orang daripada pelbagai bangsa dan bahasa yang ada di seluas bumi: Semoga kamu sejahtera!
2 Beta telah melihat pelbagai tanda dan mukjizat daripada Tuhan Yang Maha Tinggi. Beta ingin memberitahu kamu tentangnya.
3 Betapa agungnya tanda daripada Tuhan, dan mukjizat yang dilakukan-Nya! Kerajaan-Nya kekal buat selama-lamanya, dan Dia akan memerintah dari generasi ke generasi.+
4 “Beta hidup selesa dan makmur di istana beta,
5 tetapi beta mendapat mimpi yang menakutkan. Ketika beta sedang berbaring di katil, beta bermimpi dan mendapat penglihatan-penglihatan yang mengerikan.+
6 Maka beta mengeluarkan perintah untuk memanggil semua orang yang bijaksana di Babilon supaya mereka dapat menjelaskan erti mimpi itu kepada beta.+
7 “Tukang tilik, orang Kasdim,* ahli nujum, dan imam yang mengamalkan ilmu sihir+ datang menghadap beta. Apabila beta menceritakan mimpi itu, mereka tidak dapat menjelaskan ertinya kepada beta.+
8 Akhirnya, Daniel datang menghadap beta. Dia juga dinamakan Beltesazar,+ menurut nama dewa beta.+ Dia dipenuhi dengan kuasa dewa dewi yang suci,+ maka beta memberitahunya mimpi beta. Beta berkata,
9 “‘Wahai Beltesazar, ketua kepada imam yang mengamalkan ilmu sihir,+ beta tahu bahawa kuasa dewa dewi ada padamu.+ Tiada rahsia yang tidak diketahuimu.+ Maka jelaskanlah erti penglihatan yang beta nampak dalam mimpi beta.
10 “‘Ketika beta berbaring di katil, beta mendapat penglihatan. Dalam penglihatan itu, beta nampak sebatang pokok+ di tengah-tengah bumi, dan pokok itu menjulang tinggi.+
11 Pokok itu bertumbuh dan menjadi kuat sehingga puncaknya mencapai langit, dan setiap orang di bumi dapat melihatnya.
12 Daun-daunnya cantik, dan buahnya lebat sekali. Pada pokok itu, ada makanan yang cukup untuk semua makhluk hidup. Binatang di padang berteduh di bawah naungannya, dan burung di langit membuat sarang di dahan-dahannya. Semua makhluk hidup mendapat makanan daripadanya.
13 “‘Ketika beta berbaring di katil, beta nampak seorang utusan,* makhluk yang suci, turun dari syurga.+
14 Utusan itu berseru, “Tebanglah pokok itu,+ potonglah dahan-dahannya, gugurkanlah daunnya, dan taburkanlah buahnya! Biarlah binatang yang berteduh di bawahnya lari dari situ, dan biarlah burung yang bersarang di dahannya terbang dari situ.
15 Tetapi tinggalkanlah tunggul pokok dengan akarnya di tanah. Pasangkanlah gelang besi dan tembaga pada tunggul itu, dan biarkan tunggul itu di padang rumput. Biarlah embun dari langit membasahinya, dan biarlah binatang di padang hidup bersamanya.+
16 Biarlah hati manusia yang dimilikinya berubah menjadi seperti hati binatang selama tujuh waktu.+
17 Itulah arahan para utusan,*+ dan perintah daripada makhluk-makhluk yang suci agar semua orang tahu bahawa Tuhan Yang Maha Tinggi ialah Pemerintah kerajaan manusia,+ dan Dia memberikan kuasa pemerintahan itu kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, bahkan kepada orang yang paling hina.”
18 “‘Itulah mimpi beta. Wahai Beltesazar, beritahulah beta erti mimpi ini kerana tiada orang bijaksana dalam kerajaan beta yang dapat menjelaskan ertinya.+ Tetapi kamu dapat melakukannya kerana kuasa dewa dewi yang suci ada padamu.’
19 “Daniel, yang juga dikenali sebagai Beltesazar,+ terpegun buat seketika kerana dia takut.
“Beta berkata, ‘Wahai Beltesazar, janganlah biarkan mimpi itu dan ertinya menakutkan kamu.’
“Beltesazar menjawab, ‘Tuanku, hamba berharap bahawa mimpi ini tentang orang yang membenci tuanku dan musuh-musuh tuanku.
20 “‘Pokok yang tuanku nampak itu bertumbuh dan menjadi kuat sehingga puncaknya mencapai langit, dan setiap orang di bumi dapat melihatnya.+
21 Pokok itu juga ada daun-daun yang cantik dan buah yang lebat sekali. Pada pokok itu, ada makanan yang cukup untuk semua makhluk hidup. Binatang di padang tinggal di bawah naungannya, dan burung di langit membuat sarang di dahan-dahannya.+
22 Ya, pokok itu ialah tuanku. Hal ini demikian kerana tuanku semakin agung dan berkuasa. Kemuliaan tuanku telah bertambah sehingga mencapai langit,+ dan pemerintahan tuanku meluas ke setiap penjuru bumi.+
23 “‘Tuanku juga nampak seorang utusan,* makhluk yang suci,+ turun dari syurga, dan berseru, “Tebanglah pokok itu, dan musnahkannya! Tetapi tinggalkanlah tunggul pokok dengan akarnya di tanah. Pasangkanlah gelang besi dan tembaga pada tunggul itu, dan biarkan tunggul itu di padang rumput. Selama tujuh waktu, embun dari langit akan membasahinya, dan binatang di padang akan hidup bersamanya.”+
24 Inilah erti mimpi tuanku, dan inilah apa yang akan berlaku kepada tuanku seperti yang telah diputuskan oleh Tuhan Yang Maha Tinggi:
25 Tuanku akan dihalau daripada kalangan manusia dan tinggal bersama binatang di padang. Selama tujuh waktu,+ tuanku akan makan rumput seperti lembu jantan, dan embun dari langit+ akan membasahi tuanku. Selepas itu, barulah tuanku akan sedar bahawa Tuhan Yang Maha Tinggi ialah Pemerintah kerajaan manusia, dan Dia memberikan kuasa pemerintahan itu kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.+
26 “‘Perintah telah diberikan supaya tunggul pokok itu dengan akarnya+ dibiarkan di tanah. Hal itu bererti bahawa kerajaan tuanku akan dikembalikan kepada tuanku setelah tuanku sedar bahawa Tuhanlah yang sedang memerintah di syurga.
27 Oleh itu, tuanku, dengarkanlah nasihat hamba. Bertaubatlah daripada dosa tuanku dan lakukanlah apa yang baik. Usahlah berbuat jahat dan tunjukkanlah belas kasihan kepada orang yang miskin. Dengan demikian tuanku mungkin akan tetap makmur.’”+
28 Semua perkara ini terjadi kepada Raja Nebukadnezar.
29 Dua belas bulan kemudian, semasa Nebukadnezar sedang berjalan-jalan di bumbung istananya di Babilon,
30 dia berkata, “Alangkah agungnya Babilon Besar! Dengan kekuatan dan kuasa beta, beta telah membina kota ini untuk menjadi kediaman diraja, dan untuk memperlihatkan kemuliaan dan keagungan beta!”
31 Sebelum raja habis bercakap, ada suara dari syurga yang berkata, “Wahai Raja Nebukadnezar, dengarlah! Engkau telah kehilangan kuasa pemerintahanmu.+
32 Engkau akan dihalau daripada kalangan manusia. Selama tujuh waktu, engkau akan tinggal bersama binatang di padang, dan makan rumput seperti lembu jantan sehingga engkau sedar bahawa Tuhan Yang Maha Tinggi ialah Pemerintah kerajaan manusia, dan Dia memberikan kuasa pemerintahan itu kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.”+
33 Pada saat itu juga, kata-kata itu terjadi kepada Nebukadnezar. Dia dihalau daripada kalangan manusia, dan dia mula memakan rumput seperti lembu jantan. Badannya dibasahi embun dari langit, rambutnya bertumbuh panjang seperti bulu burung helang, dan kukunya menjadi seperti cakar burung.+
34 “Pada akhir tempoh waktu itu,+ beta, Raja Nebukadnezar, memandang ke langit, dan fikiran beta menjadi waras semula. Beta memuji Tuhan Yang Maha Tinggi, dan beta memuliakan Tuhan yang hidup selama-lamanya serta memberikan pujian kepada-Nya, kerana Dia memerintah buat selama-lamanya, dan kerajaan-Nya kekal dari generasi ke generasi.+
35 Tiada makhluk di bumi yang dapat dibandingkan dengan Tuhan. Baik bala tentera di syurga mahupun makhluk di bumi tidak dapat menentang kehendak-Nya. Tiada sesiapa yang dapat menghalang-Nya+ atau mempersoalkan tindakan-Nya.+
36 “Pada waktu itu, fikiran beta menjadi waras semula, dan beta memperoleh kembali kerajaan beta yang mulia. Beta juga memperoleh kembali keagungan dan kemegahan beta.+ Para pegawai tinggi dan golongan bangsawan menyambut beta dengan hangat, dan mengembalikan kerajaan beta kepada beta. Keagungan beta menjadi lebih besar daripada dahulu.
37 “Sekarang beta memuji, menghormati, dan memuliakan Raja di syurga.+ Semua perbuatan-Nya benar dan haluan-Nya adil+ serta Dia dapat merendahkan orang yang angkuh.”+