Daniel 5:1-31

  • Jamuan Raja Belsyazar (1-4)

  • Tulisan pada dinding (5-12)

  • Daniel disuruh menjelaskan erti tulisan itu (13-25)

  • Ertinya: Babilon akan jatuh (26-31)

5  Raja Belsyazar+ mengadakan sebuah jamuan yang besar untuk 1,000 orang bangsawan, dan dia minum wain di hadapan mereka.+ 2  Dalam keadaan mabuk, Belsyazar memberikan perintah untuk mengambil perkakas emas dan perak yang dirampas oleh bapanya* Nebukadnezar daripada Rumah Tuhan di Yerusalem.+ Belsyazar meminta semua perkakas itu agar dia, para bangsawan, isteri-isterinya, dan gundik-gundiknya dapat minum daripada perkakas-perkakas itu. 3  Maka orang membawa perkakas emas yang telah dirampas daripada Rumah Tuhan di Yerusalem kepada mereka, dan mereka semua pun minum daripada perkakas-perkakas itu. 4  Sambil minum wain, mereka memuji dewa dewi yang diperbuat daripada emas, perak, tembaga, besi, kayu, dan batu. 5  Pada saat itu juga, tangan seorang lelaki muncul. Jari tangan itu mula menulis pada dinding istana, yang dekat dengan kaki pelita. Apabila raja melihat tangan yang sedang menulis itu, 6  mukanya menjadi pucat.* Apa yang difikirkannya membuatnya takut, kakinya menjadi lemah,+ dan lututnya bergetar. 7  Dengan suara yang lantang, raja memanggil tukang tilik, orang Kasdim,* dan ahli nujum.+ Dia berkata kepada orang bijaksana di Babilon, “Sesiapa yang dapat membaca tulisan ini dan menjelaskan ertinya kepada beta, beta akan memberikan jubah yang berwarna ungu kepadanya, dan mengalungkan rantai emas pada lehernya.+ Orang itu akan menjadi pemerintah ketiga dalam kerajaan ini.”+ 8  Semua orang bijaksana masuk menghadap raja, tetapi tidak ada seorang pun antara mereka yang dapat membaca tulisan itu atau menjelaskan ertinya kepada raja.+ 9  Oleh itu, Raja Belsyazar menjadi sangat takut, dan mukanya menjadi pucat. Para bangsawannya pula menjadi bingung.+ 10  Setelah mendengar kata-kata raja dan para bangsawan, permaisuri* memasuki dewan jamuan itu dan berkata, “Daulat tuanku! Janganlah biarkan apa yang ada dalam fikiran tuanku membuat tuanku takut atau menjadi pucat. 11  Dalam kerajaan tuanku, ada seorang lelaki yang memiliki kuasa dewa dewi yang suci. Ayahanda tuanku, Raja Nebukadnezar, telah melantiknya sebagai ketua kepada tukang tilik, orang Kasdim,* ahli nujum,+ dan imam yang mengamalkan ilmu sihir. Ya, ayahanda tuanku telah berbuat demikian kerana semasa pemerintahannya, lelaki itu memiliki pengetahuan, pemahaman, dan kebijaksanaan seperti kebijaksanaan dewa dewi.+ 12  Lelaki itu ialah Daniel, yang dinamakan Beltesazar+ oleh raja. Dia memiliki kebijaksanaan dan kebolehan yang luar biasa serta mempunyai pengetahuan dan pemahaman. Dia dapat mentafsirkan mimpi, menjelaskan teka-teki, dan menyelesaikan masalah yang rumit.*+ Panggillah Daniel, dan dia akan memberitahu tuanku erti tulisan itu.” 13  Daniel dibawa menghadap raja, dan raja bertanya kepadanya, “Adakah kamu Daniel,+ orang yang telah ditawan oleh ayahanda beta dari Yehuda?+ 14  Beta telah mendengar bahawa kamu memiliki kuasa dewa dewi,+ pengetahuan, pemahaman, dan kebijaksanaan yang luar biasa.+ 15  Sebelum ini, beta telah memanggil orang bijaksana dan tukang tilik untuk membaca tulisan itu dan menjelaskan ertinya, tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian.+ 16  Beta mendengar bahawa kamu pandai memberikan tafsiran+ dan menyelesaikan masalah yang rumit.* Jadi, jika kamu dapat membaca tulisan itu dan menjelaskan ertinya kepada beta, beta akan memberikan jubah yang berwarna ungu kepadamu, dan mengalungkan rantai emas pada lehermu. Kamu akan menjadi pemerintah ketiga dalam kerajaan ini.”+ 17  Daniel menjawab raja, “Tuanku, simpanlah hadiah-hadiah itu atau berikannya kepada orang lain. Hamba akan membaca tulisan itu dan menjelaskan ertinya kepada tuanku. 18  Wahai tuanku, Tuhan Yang Maha Tinggi telah memberikan kerajaan, keagungan, kemuliaan, dan kemegahan kepada Nebukadnezar, ayahanda tuanku.+ 19  Oleh sebab Tuhan mengagungkan Nebukadnezar, semua orang dari segala bangsa dan bahasa takut dan hormat kepadanya.+ Dia membunuh atau membiarkan seseorang hidup menurut kesukaannya. Dia meninggikan atau merendahkan sesiapa saja menurut kehendaknya.+ 20  Tetapi kemudiannya dia menjadi angkuh dan degil sehingga dia bertindak sesuka hati.+ Maka dia diturunkan daripada takhtanya lalu kehilangan kemuliaannya. 21  Dia dihalau daripada kalangan manusia, dan hatinya berubah menjadi seperti hati binatang. Dia tinggal bersama keldai liar, memakan rumput seperti lembu jantan, dan badannya dibasahi embun dari langit. Akhirnya dia sedar bahawa Tuhan Yang Maha Tinggi ialah Pemerintah kerajaan manusia, dan Tuhan memberikan kuasa pemerintahan itu kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.+ 22  “Walaupun tuanku ialah anaknya* dan tuanku mengetahui semua hal ini, tuanku masih tidak merendahkan diri. 23  Tuanku meninggikan diri di hadapan Tuan di syurga.+ Tuanku menyuruh orang untuk membawa perkakas dari Rumah-Nya.+ Kemudian tuanku, para bangsawan, isteri-isteri, dan gundik-gundik tuanku minum wain daripada perkakas itu. Sambil minum, kamu semua juga memuji dewa dewi yang diperbuat daripada perak, emas, tembaga, besi, kayu, dan batu, meskipun dewa dewi itu tidak dapat melihat, mendengar, atau mengetahui apa-apa.+ Tetapi tuanku tidak memuliakan Tuhan yang dapat menentukan hidup mati tuanku,+ dan yang mengawal segala perbuatan tuanku. 24  Itulah sebabnya Tuhan menyuruh tangan itu untuk menulis tulisan itu.+ 25  Inilah tulisannya: MENE, MENE, TEKEL, dan PARSIN. 26  “Inilah erti tulisan itu: MENE bererti Tuhan telah menghitung masa pemerintahan tuanku dan mengakhirinya.+ 27  “TEKEL bererti tuanku telah ditimbang pada neraca dan ternyata tuanku serba kekurangan. 28  “PERES* bererti kerajaan tuanku dibahagi-bahagikan dan diberikan kepada orang Media dan Persia.”+ 29  Kemudian Belsyazar memberikan perintah agar mereka mengenakan jubah yang berwarna ungu pada Daniel, dan mengalungkan rantai emas pada lehernya. Kemudian mereka mengumumkan bahawa Daniel akan menjadi pemerintah ketiga dalam kerajaan itu.+ 30  Pada malam itu juga, Belsyazar, iaitu raja orang Kasdim, dibunuh.+ 31  Kemudian Darius,+ seorang lelaki Media, mengambil alih kerajaan itu. Pada waktu itu, umurnya sekitar 62 tahun.

Nota Kaki

Atau “datuknya.”
Atau “raut wajahnya berubah.”
Iaitu, sekumpulan orang yang mahir menilik dan membuat ramalan dengan melihat bintang.
Nampaknya merujuk kepada bonda ratu.
Iaitu, sekumpulan orang yang mahir menilik dan membuat ramalan dengan melihat bintang.
Harfiah, “menguraikan simpul.”
Harfiah, “menguraikan simpul.”
Atau “cucunya.”
Perkataan “Peres” ialah bentuk tunggal bagi perkataan “Parsin” di ayat 25.