Daniel 6:1-28

  • Pegawai Persia berkomplot menentang Daniel (1-9)

  • Daniel terus berdoa (10-15)

  • Daniel dibuang ke dalam gua singa (16-24)

  • Raja Darius memuliakan Tuhan yang disembah Daniel (25-28)

6  Raja Darius membuat keputusan untuk melantik 120 orang ketua gabenor wilayah di seluruh kerajaannya.+ 2  Selain itu, tiga orang pegawai tinggi dilantik untuk mengawasi para ketua gabenor. Daniel+ ialah salah seorang pegawai tinggi itu. Para ketua gabenor+ perlu memberikan laporan kepada mereka agar kepentingan raja sentiasa dijaga. 3  Daniel lebih cekap daripada semua pegawai tinggi dan ketua gabenor wilayah kerana dia memiliki kebijaksanaan dan kebolehan yang luar biasa.+ Maka raja ingin melantik Daniel menjadi penguasa seluruh kerajaannya. 4  Pada waktu itu, pegawai-pegawai tinggi dan para ketua gabenor wilayah berusaha mencari kesalahan Daniel dalam tugas pemerintahan kerajaan. Tetapi mereka tidak dapat menemui sebarang kesalahan atau keburukan pada Daniel kerana dia seorang yang baik, dapat dipercayai, dan tidak lalai dalam tugasnya. 5  Akhirnya mereka berkata, “Kita tidak mungkin dapat mencari kesalahan Daniel, kecuali dalam hal yang berkaitan dengan hukum Tuhannya.”+ 6  Maka mereka semua pergi menghadap raja dan berkata, “Wahai Raja Darius, semoga tuanku hidup selama-lamanya. 7  Semua pegawai diraja, penguasa, ketua gabenor wilayah, pegawai tinggi, dan gabenor telah berbincang dan bersetuju bahawa satu perintah harus dikeluarkan dan satu larangan patut dikuatkuasakan. Jadi tuanku, perintahkanlah bahawa selama 30 hari, tiada seorang pun yang boleh meminta apa-apa daripada dewa atau manusia, kecuali daripada tuanku. Sesiapa yang melanggar perintah ini akan dibuang ke dalam gua singa.+ 8  Kami memohon agar tuanku mengeluarkan perintah itu dan menandatanganinya+ supaya perintah itu tidak dapat diubah, sesuai dengan undang-undang orang Media dan Persia, yang tidak dapat dibatalkan.”+ 9  Maka Raja Darius menandatangani perintah itu dan mengenakan larangan itu. 10  Apabila Daniel mendengar bahawa perintah itu telah ditandatangani, dia pulang ke rumahnya, dan pergi ke bilik di bumbung rumahnya. Bilik itu mempunyai tingkap-tingkap terbuka yang menghadap Yerusalem.+ Seperti biasa, dia berlutut lalu berdoa dan memuji Tuhannya sebanyak tiga kali sehari. 11  Pada waktu itu, mereka merempuh masuk dan mendapati Daniel sedang berdoa meminta bantuan dan perkenan daripada Tuhannya. 12  Mereka pun pergi menghadap raja dan mengingatkannya tentang larangan itu. Mereka berkata, “Bukankah tuanku telah menandatangani perintah yang melarang sesiapa pun untuk meminta apa-apa daripada dewa atau manusia, kecuali daripada tuanku, selama 30 hari? Bukankah perintah itu juga menyatakan bahawa sesiapa yang ingkar akan dibuang ke dalam gua singa?” Raja menjawab, “Memang benar. Perintah itu tidak boleh diubah, sesuai dengan undang-undang orang Media dan Persia, yang tidak boleh dibatalkan.”+ 13  Mereka segera berkata, “Daniel, seorang tawanan dari Yehuda,+ tidak menghormati tuanku, dan dia mengingkari larangan yang tuanku kenakan. Dia tetap berdoa sebanyak tiga kali sehari.”+ 14  Setelah mendengar kata-kata itu, raja berasa sangat sedih dan gelisah. Dia mencari jalan untuk menyelamatkan Daniel. Dia terus berusaha sampai matahari terbenam. 15  Akhirnya, mereka beramai-ramai pergi menghadap raja dan berkata, “Wahai tuanku, hendaklah tuanku ingat bahawa menurut undang-undang orang Media dan Persia, perintah atau larangan yang dikenakan oleh raja tidak boleh diubah.”+ 16  Oleh itu, raja memberikan perintah agar Daniel dibuang ke dalam gua singa.+ Raja berkata kepada Daniel, “Semoga Tuhan yang sentiasa kamu sembah itu menyelamatkan kamu.” 17  Kemudian mulut gua itu ditutup dengan sebuah batu, dan raja memeterai batu itu dengan cincin mohornya dan cincin mohor para bangsawan. Dengan itu, keputusan yang dibuat terhadap Daniel tidak dapat diubah. 18  Raja pun kembali ke istananya. Dia berpuasa dan tidak mahu dihiburkan.* Dia juga tidak dapat tidur sepanjang malam. 19  Akhirnya, sebaik sahaja hari mula terang, dia bangun dan tergesa-gesa pergi ke gua singa itu. 20  Apabila dia sampai dekat gua itu, dia berseru kepada Daniel dengan sedih, “Daniel, hamba Tuhan yang hidup! Adakah Tuhan yang sentiasa kamu sembah dapat menyelamatkan kamu daripada singa-singa itu?” 21  Daniel segera menjawab, “Daulat tuanku! 22  Ya, Tuhan hamba telah mengutus malaikat-Nya untuk menutup mulut singa-singa itu+ supaya hamba tidak diapa-apakan.+ Hal ini demikian kerana hamba tidak bersalah, baik terhadap Tuhan mahupun terhadap tuanku.” 23  Raja berasa gembira sekali! Dia memberikan perintah agar Daniel dikeluarkan dari gua itu. Apabila Daniel diangkat keluar, dia tidak cedera sedikit pun kerana dia percaya kepada Tuhannya.+ 24  Selepas itu, raja memberikan perintah agar semua orang yang telah menuduh* Daniel dibawa menghadapnya. Kemudian mereka semua dibuang ke dalam gua singa, bersama anak dan isteri mereka. Sebelum mereka sampai ke dasar gua itu, singa-singa sudah pun menerkam mereka dan menghancurkan tulang-tulang mereka.+ 25  Kemudian Raja Darius menulis surat kepada orang daripada pelbagai bangsa dan bahasa yang ada di seluas bumi:+ “Semoga kamu sejahtera! 26  Beta mengeluarkan perintah kepada rakyat di setiap pelosok kerajaan beta. Kamu haruslah hormat dan takut kepada Tuhan yang disembah oleh Daniel,+ kerana Dialah Tuhan yang hidup dan Tuhan yang kekal buat selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan dimusnahkan, dan pemerintahan-Nya akan kekal abadi.+ 27  Dia menyelamatkan+ dan membebaskan umat-Nya. Dia menunjukkan tanda dan melakukan mukjizat di langit dan di bumi.+ Dia telah menyelamatkan Daniel daripada terkaman singa.” 28  Demikianlah Daniel hidup makmur dalam kerajaan Darius+ dan kerajaan Kores, raja Persia.+

Nota Kaki

Atau mungkin, “dan tidak memanggil ahli-ahli muzik.”
Atau “memfitnah.”