Surat kepada Sidang di Efesus 3:1-21
3 Aku, Paulus, dipenjarakan+ demi Kristus Yesus dan demi kamu semua yang berasal daripada bangsa-bangsa lain.
2 Tentu kamu sudah mendengar bahawa aku telah diberi tanggungjawab sebagai pengurus rumah tangga,+ supaya aku menolong kamu meraih manfaat daripada kebaikan hati Tuhan yang unggul.
3 Sebelum ini aku telah menulis secara singkat bahawa suatu rahsia suci telah disingkapkan kepadaku.
4 Maka apabila kamu membaca surat ini, kamu akan tahu bahawa aku memahami rahsia suci+ tentang Kristus.
5 Rahsia itu tidak dinyatakan kepada generasi-generasi yang lampau, sebagaimana hal itu sekarang disingkapkan oleh Tuhan melalui kuasa suci-Nya kepada para rasul dan para nabi-Nya yang suci.+
6 Inilah rahsia itu: Melalui berita baik, orang daripada bangsa-bangsa lain yang bersatu dengan Kristus Yesus akan mewarisi apa yang diwarisi Kristus, menjadi anggota-anggota di dalam tubuh yang sama,+ dan menerima janji yang juga kami terima.
7 Aku menjadi hamba kepada rahsia suci itu kerana kebaikan hati Tuhan yang unggul. Dia memberi aku kurniaan percuma ini melalui kuasa-Nya.+
8 Aku lebih kecil daripada orang yang paling berkedudukan rendah dalam kalangan semua umat suci.+ Namun kebaikan hati Tuhan yang unggul diberikan kepadaku,+ agar aku mengisytiharkan berita baik tentang kekayaan Kristus yang tidak terhingga kepada bangsa-bangsa lain,
9 dan agar aku membantu semua orang melihat pentadbiran yang berkaitan dengan rahsia suci itu.+ Sejak masa lampau, rahsia suci itu disembunyikan oleh Tuhan yang menciptakan segala sesuatu.
10 Maka melalui sidang,+ kerajaan-kerajaan dan penguasa-penguasa di syurga dapat mengetahui kebijaksanaan Tuhan yang kini dinyatakan dalam pelbagai cara.+
11 Hal ini selaras dengan tujuan kekal yang ditentukan oleh-Nya sehubungan dengan Kristus Yesus,+ Tuan kita.
12 Melalui iman kita kepadanya, kita dapat bercakap dengan berani* dan dapat menghadap Tuhan+ dengan yakin dan tanpa halangan.
13 Oleh itu, janganlah kamu berputus asa disebabkan kesengsaraan yang aku alami demi kamu, kerana kesengsaraanku akan membawa kemuliaan bagi kamu semua.+
14 Itulah sebabnya aku berlutut di hadapan Bapa.
15 Setiap keluarga, baik di syurga mahupun di bumi, menerima nama masing-masing daripada-Nya.
16 Aku berdoa agar Tuhan yang berlimpah-limpah dengan kemuliaan menguatkan hati dan fikiran kamu+ dengan kuasa suci-Nya.
17 Aku juga berdoa agar melalui iman kamu, Kristus dan kasih yang harus kamu miliki tinggal dalam hati kamu.+ Semoga kamu berakar umbi+ dan bertapak pada asas yang kukuh,+
18 supaya kamu bersama semua umat suci dapat memahami dengan sepenuhnya betapa lebarnya, betapa panjangnya, betapa tingginya, dan betapa dalamnya, perkara-perkara yang berkaitan dengan Tuhan,
19 serta dapat mengenal kasih Kristus+ yang lebih unggul daripada pengetahuan. Dengan demikian, kamu dapat dipenuhi dengan segala sifat Tuhan yang dianugerahkan oleh-Nya.
20 Melalui kuasa-Nya yang bekerja dalam diri kita,+ Tuhan dapat melakukan jauh lebih banyak daripada apa yang kita minta atau fikirkan.+
21 Semoga Dia diberi kemuliaan dari generasi ke generasi untuk selama-lamanya melalui sidang dan melalui Kristus Yesus. Amin.