Surat kepada Sidang di Efesus 4:1-32
4 Oleh itu, aku yang dipenjarakan+ demi Tuan kita, merayu kamu: Hendaklah jalan hidup kamu sesuai+ dengan jalan hidup orang yang dipanggil oleh Tuhan.
2 Hendaklah kamu sentiasa rendah hati,+ lemah lembut, dan sabar.+ Biarlah kasih mendorong kamu untuk bersabar terhadap satu sama lain,+
3 dan hendaklah kamu berusaha sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya perpaduan yang dikurniakan oleh kuasa suci Tuhan tetap terpelihara.+
4 Hanya ada satu tubuh+ dan hanya ada satu kuasa suci,+ begitu juga kamu dipanggil oleh Tuhan untuk satu harapan.+
5 Hanya ada satu Tuan,+ satu kepercayaan, satu pembaptisan,
6 dan satu Tuhan, yang merupakan Bapa kepada semua orang. Dia berkuasa atas semua orang, bertindak melalui semua orang, dan kuasa-Nya bekerja dalam semua orang.
7 Kita masing-masing dikurniai kebaikan hati yang unggul. Hal ini kelihatan daripada cara Kristus membahagikan kurniaan percuma tersebut kepada kita.+
8 Ada tertulis, “Ketika dia naik ke tempat yang tinggi, dia membawa tawanan-tawanan. Dia memberikan kurnia berupa manusia.”+
9 Tidakkah ungkapan “dia naik” menunjukkan bahawa dia juga pernah turun ke tempat yang rendah, iaitu ke bumi?
10 Dia yang turun itu juga merupakan dia yang naik+ ke tempat yang jauh lebih tinggi daripada segala langit.+ Dia naik ke situ supaya dia dapat memenuhi segala sesuatu dalam semua cara.
11 Dia mengurniakan sesetengah orang sebagai rasul,+ sesetengah orang sebagai nabi,+ sesetengah orang sebagai penginjil,*+ dan sesetengah orang sebagai gembala dan guru.+
12 Dia berbuat demikian untuk membetulkan haluan* umat suci Tuhan, untuk berkhidmat kepada orang lain, dan untuk menguatkan tubuh Kristus,+
13 sehingga kita semua mencapai kesatuan* dari segi kepercayaan dan pengetahuan yang tepat tentang Anak Tuhan. Dengan ini, kita dapat menjadi orang yang matang*+ dan mencapai tahap kematangan Kristus.
14 Oleh itu, kita tidak patut menjadi seperti kanak-kanak lagi, yang diperdaya oleh pelbagai helah, tipu muslihat, dan ajaran palsu+ orang licik, sehingga kita terumbang-ambing seperti perahu yang dipukul ombak dan ditiup angin ke sana sini.
15 Kita harus bercakap benar dan menunjukkan kasih, supaya kita menjadi matang dalam segala hal dan menjadi seperti Kristus, iaitu kepala kita.+
16 Melaluinya, semua bahagian tubuh+ tersusun rapi dan bekerjasama melalui setiap sendi yang memberikan sokongan. Apabila setiap anggota tubuh memainkan peranannya dengan baik, hal ini akan menyumbang kepada pertumbuhan tubuh supaya tubuh itu terus menjadi kuat dalam kasih.+
17 Oleh itu, atas nama Tuan kita, aku berkata kepada kamu dan menggesa kamu: Jangan lagi hidup seperti orang duniawi,+ yang hidup menurut fikiran yang sia-sia.*+
18 Fikiran mereka diselubungi kegelapan dan mereka terasing daripada kehidupan yang datang daripada Tuhan, kerana mereka enggan mengenal Tuhan dan kerana hati mereka sudah tidak peka.*
19 Mereka tidak lagi peduli tentang piawaian moral dan menjerumuskan diri ke dalam kelakuan yang buruk.*+ Mereka mengamalkan pelbagai jenis kenajisan tanpa rasa puas.
20 Namun, kamu sudah belajar bahawa Kristus bukan seperti itu,
21 kecuali kamu tidak mendengarnya dengan baik semasa kebenaran yang diajarkan oleh Yesus disampaikan kepada kamu.
22 Kamu diajar supaya menanggalkan keperibadian lama+ yang dibentuk menurut kelakuan kamu dahulu, dan yang sedang dirosakkan oleh keinginan yang menyesatkan.+
23 Hendaklah kamu terus membaharui cara kamu berfikir,*+
24 dan hendaklah kamu mengenakan keperibadian baharu+ yang diciptakan menurut kehendak Tuhan, dan yang selaras dengan apa yang benar dan setia.
25 Oleh itu, memandangkan kamu sudah membuang segala dusta, hendaklah kamu masing-masing bercakap benar kepada orang lain,+ kerana kita semua ialah anggota satu tubuh.+
26 Jika kamu marah, janganlah berdosa.+ Janganlah membiarkan kemarahan kamu berlanjutan sampai matahari terbenam,+
27 dan janganlah berikan peluang* kepada Iblis.+
28 Orang yang mencuri haruslah berhenti mencuri. Dia harus bekerja dengan rajin dan melakukan kerja yang baik dengan tangannya,+ supaya dia dapat memberikan sesuatu kepada orang yang berkekurangan.+
29 Janganlah biarkan kata-kata yang busuk keluar daripada mulut kamu.+ Sebaliknya, menurut keadaan dan masa, ucapkanlah kata-kata baik yang dapat menguatkan orang, supaya orang yang mendengar akan mendapat manfaat.+
30 Selain itu, janganlah menyedihkan* kuasa suci Tuhan.+ Kamu telah dimeterai+ melalui kuasa suci itu supaya kamu ditebus dan dibebaskan pada hari pembebasan.+
31 Buangkanlah segala rasa dendam yang membara,+ kemarahan, perasaan berang, jeritan, kata-kata hinaan,+ dan segala kejahatan.+
32 Tunjukkanlah kebaikan hati kepada satu sama lain, dan tunjukkanlah belas kasihan.+ Ampunilah satu sama lain dengan rela hati sebagaimana Tuhan juga mengampuni kamu dengan rela hati melalui Kristus.+