Ester 5:1-14

  • Ester menghadap raja (1-8)

  • Haman yang sombong menjadi marah (9-14)

5  Pada hari yang ketiga,+ Ester mengenakan pakaian permaisurinya lalu berdiri di halaman dalam di rumah raja, iaitu halaman yang berhadapan dengan istana. Pada masa itu, raja berada di balairung dan sedang duduk di atas takhtanya yang menghadap pintu masuk. 2  Raja berasa gembira setelah dia melihat Permaisuri Ester sedang berdiri di halaman. Kemudian raja menghulurkan tongkat emasnya kepada Ester,+ maka dia mendekati raja dan menyentuh hujung tongkat itu. 3  Raja bertanya kepada Ester, “Ada apa, permaisuriku? Apakah hajat adinda? Katakanlah. Beta akan memberikan apa sahaja kepada adinda meskipun setengah daripada kerajaan beta!” 4  Ester menjawab, “Jika tuanku berkenan, hamba ingin menjemput tuanku dan Haman+ ke jamuan yang akan hamba adakan hari ini.” 5  Oleh itu, raja mengeluarkan perintah berikut: “Suruhlah Haman datang dengan segera seperti yang diminta oleh Ester.” Kemudian raja dan Haman menghadiri jamuan yang diadakan oleh Ester. 6  Ketika mereka sedang minum wain, raja berkata kepada Ester, “Apakah hajat dan permohonan adinda? Beta akan menunaikannya. Beta akan memberikan apa sahaja kepada adinda meskipun setengah daripada kerajaan beta!”+ 7  Ester menjawab, “Inilah hajat dan permohonan hamba: 8  Jika tuanku berkenan dan jika tuanku sudi menunaikan hajat dan permohonan hamba, hamba ingin menjemput tuanku dan Haman sekali lagi ke jamuan yang akan hamba adakan esok. Esok semasa jamuan itu, barulah hamba akan mengajukan permohonan hamba.” 9  Pada hari itu, Haman pulang dengan hati yang riang dan gembira. Tetapi ketika Haman nampak Mordekhai di pintu gerbang istana, Mordekhai tidak berdiri dan tidak menunjukkan tanda-tanda takut terhadapnya. Oleh itu, Haman pun naik berang.+ 10  Walau bagaimanapun, Haman menahan dirinya dan terus pulang ke rumahnya. Lalu dia memanggil kawan-kawannya dan isterinya Zeres.+ 11  Haman membangga-banggakan diri di hadapan mereka. Dia menceritakan kepada mereka tentang betapa kayanya dia dan betapa banyaknya anak lelakinya.+ Malah dia juga menceritakan bagaimana raja telah menaikkan pangkatnya dan memberinya kedudukan yang lebih tinggi daripada semua pembesar dan pegawai raja yang lain.+ 12  Haman menambah lagi, “Bukan itu sahaja, Permaisuri Ester langsung tidak menjemput orang lain ke jamuannya, kecuali raja dan aku sendiri.+ Esok aku juga dijemput untuk pergi ke jamuan Ester bersama raja.+ 13  Tetapi semua itu tidak dapat memuaskan hatiku selagi aku melihat Mordekhai, orang Yahudi itu, duduk di pintu gerbang istana.” 14  Lalu isterinya dan semua kawannya berkata, “Binalah sebuah tiang yang tingginya kira-kira 22 meter.* Esok pagi, beritahulah raja bahawa Mordekhai harus dihukum gantung pada tiang itu.+ Kemudian pergilah bersama raja ke jamuan itu dengan hati yang lega.” Haman suka dengan cadangan itu, maka dia pun menyuruh orang untuk membina tiang itu.

Nota Kaki

Harfiah, “50 hasta.” Lihat Lampiran B14.