Ester 6:1-14

  • Raja memberikan penghormatan kepada Mordekhai (1-14)

6  Pada malam itu, raja tidak dapat tidur. Maka dia menyuruh orang untuk mengambil buku catatan tentang peristiwa pada zaman itu+ dan membacakan buku itu di hadapannya. 2  Buku itu mencatatkan bahawa Mordekhai telah mendedahkan komplot pembunuhan Raja Ahasweros yang dirancang oleh Bigtan* dan Teres, iaitu dua orang pegawai istana yang bertugas sebagai penjaga pintu.+ 3  Maka, raja bertanya, “Sudahkah Mordekhai diberi penghormatan dan ganjaran untuk jasa baiknya itu?” Para pelayan peribadi raja menjawab, “Belum tuanku.” 4  Kemudian raja bertanya, “Siapakah yang ada di halaman istana?” Pada waktu itu, Haman sedang berada di halaman luar+ istana. Haman datang kerana dia ingin memberitahu raja tentang niatnya untuk menggantungkan Mordekhai pada tiang yang telah didirikannya.+ 5  Para pelayan peribadi raja berkata kepadanya, “Tuanku, Haman+ sedang berdiri di halaman istana.” Raja pun berkata, “Suruhlah dia masuk.” 6  Apabila Haman masuk, raja berkata kepadanya, “Beta ingin memuliakan seseorang. Apakah yang harus beta lakukan untuknya?” Haman berbisik dalam hatinya, “Siapa yang dimaksudkan oleh raja? Siapa lagi kalau bukan aku?”+ 7  Oleh itu, Haman menjawab, “Tuanku, inilah caranya tuanku memuliakan orang itu: 8  Sediakanlah pakaian kebesaran+ yang dipakai oleh tuanku, dan kuda yang ditunggang oleh tuanku, lengkap dengan perhiasan di atas kepalanya. 9  Kemudian serahkanlah pakaian dan kuda itu kepada seorang pembesar daripada golongan bangsawan. Para pelayan tuanku haruslah mengenakan pakaian tuanku pada orang yang ingin tuanku muliakan. Selepas itu, orang itu akan menunggang kuda tuanku di lapangan kota, dan mereka akan berseru-seru di hadapannya, ‘Beginilah caranya raja memberikan penghormatan kepada orang yang ingin dimuliakannya!’”+ 10  Raja segera berkata kepada Haman, “Cepatlah! Ambillah pakaian dan kuda beta. Lakukanlah untuk Mordekhai, orang Yahudi itu, semua yang kamu katakan tadi. Dia sedang duduk di pintu gerbang istana raja. Jangan abaikan apa-apa pun.” 11  Oleh itu, Haman mengambil pakaian dan kuda raja. Dia mengenakan pakaian raja pada Mordekhai,+ dan Mordekhai pun menaiki kuda itu. Setelah itu, dia mengiringi Mordekhai di lapangan kota sambil berseru-seru di hadapannya, “Beginilah caranya raja memberikan penghormatan kepada orang yang ingin dimuliakannya!” 12  Selepas Mordekhai kembali ke pintu gerbang istana raja, Haman bergegas pulang ke rumahnya sambil menutup kepalanya kerana malu. 13  Haman menceritakan segala yang telah berlaku kepada isterinya Zeres+ dan kawan-kawannya. Maka para penasihatnya dan isterinya berkata, “Mordekhai ialah orang Yahudi. Jika sekarang pun kamu sudah tewas kepada dia, kamu pasti tidak dapat mengalahkannya. Kamu pasti akan tumpas di tangannya.” 14  Sementara mereka masih bercakap, para pegawai istana tiba dan membawa Haman ke jamuan yang disediakan oleh Ester.+

Nota Kaki

Harfiah, “Bigtana.”