Ester 7:1-10

  • Ester mendedahkan kejahatan Haman (1-6a)

  • Haman digantungkan pada tiang yang didirikannya (6b-10)

7  Kemudian raja dan Haman+ pergi ke jamuan Permaisuri Ester.  Pada hari kedua, semasa mereka sedang minum wain, raja bertanya lagi kepada Ester, “Hai Permaisuri Ester, apakah hajat dan permohonan adinda? Beta akan menunaikannya. Beta akan memberikan apa sahaja kepada adinda meskipun setengah daripada kerajaan beta!”+  Permaisuri Ester menjawab, “Jika tuanku berkenan dan jika tuanku sudi menunaikan hajat dan permohonan hamba, hamba memohon agar hamba dan bangsa hamba+ dibenarkan untuk terus hidup.  Hamba dan bangsa hamba telah dijual+ untuk dibunuh, dihapuskan, dan dilenyapkan.+ Jika kami hanya dijual untuk dijadikan hamba abdi, hamba akan berdiam diri. Tetapi malapetaka ini tidak patut dibiarkan, kerana malapetaka ini merugikan tuanku.”  Maka Raja Ahasweros bertanya kepada Permaisuri Ester, “Siapa yang berani berbuat demikian? Di mana orang itu?”  Ester menjawab, “Musuh yang menentang kami ialah Haman, lelaki jahat ini.” Haman menjadi sangat takut kepada raja dan permaisuri.  Raja naik berang, lalu dia berdiri dan pergi ke taman istana. Haman sedar bahawa raja bertekad untuk menghukumnya. Maka dia pun berdiri dan menghampiri Permaisuri Ester untuk merayu supaya nyawanya diselamatkan.  Apabila raja kembali dari taman dan memasuki tempat jamuan, dia nampak Haman merebahkan dirinya ke atas tempat duduk Ester. Maka raja berkata, “Adakah lelaki ini juga mahu memperkosa permaisuri di dalam istana beta?” Sebaik sahaja raja berkata demikian, mereka menutupi muka Haman.  Harbona,+ salah seorang pegawai istana, berkata, “Tuanku, Haman juga mendirikan sebatang tiang yang tingginya kira-kira 22 meter* di rumahnya. Dia ingin menggantungkan Mordekhai, yang telah menyelamatkan tuanku,+ pada tiang itu.”+ Maka raja berkata, “Gantunglah Haman pada tiang itu!” 10  Mereka pun menggantungkan Haman pada tiang yang telah didirikan untuk Mordekhai. Selepas itu, barulah kemarahan raja reda.

Nota Kaki

Harfiah, “50 hasta.” Lihat Lampiran B14.