Ezra 1:1-11

  • Perintah Raja Kores untuk membina semula Rumah Tuhan (1-4)

  • Persiapan untuk pulang dari Babilon ke Yerusalem (5-11)

1  Pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores+ dari Persia, Yehuwa memastikan apa yang difirmankan oleh-Nya melalui Yeremia+ menjadi kenyataan. Yehuwa menggerakkan hati Raja Kores dari Persia untuk mengeluarkan satu perintah yang akan dicatat lalu diumumkan di seluruh kerajaannya.+ Perintah itu berbunyi: 2  “Inilah kata-kata Raja Kores dari Persia: ‘Yehuwa, Tuhan yang berkuasa atas syurga, telah menyerahkan semua kerajaan di bumi kepada beta.+ Dia juga memberikan tugas kepada beta untuk membina sebuah rumah untuk-Nya di Yehuda, iaitu di Yerusalem.+ 3  Siapakah dalam kalangan kamu yang merupakan umat-Nya? Biarlah orang itu pulang ke Yerusalem, yang terletak di Yehuda, dan semoga Tuhannya menyertainya. Binalah semula Rumah Yehuwa, Tuhan orang Israel, yang terletak di Yerusalem.* Sememangnya Dia ialah Tuhan yang benar. 4  Sesiapa sahaja yang pulang hendaklah dibantu oleh jiran-jirannya.+ Jiran-jirannya haruslah memberinya perak, emas, harta benda, ternakan, dan juga sumbangan sukarela untuk rumah Tuhan yang benar di Yerusalem.’”+ 5  Selepas itu, ketua-ketua puak Yehuda dan Benyamin, para imam, dan orang Lewi, bersedia untuk pergi membina semula Rumah Yehuwa di Yerusalem. Mereka semua berbuat demikian kerana hati mereka telah digerakkan oleh Tuhan yang benar. 6  Semua jiran mereka membantu mereka dengan memberikan perkakas-perkakas perak dan emas, harta benda, ternakan, barang-barang berharga, dan juga sumbangan sukarela. 7  Raja Kores juga mengembalikan perkakas-perkakas Rumah Yehuwa. Dahulu perkakas-perkakas itu diambil oleh Nebukadnezar dari Yerusalem dan disimpan di dalam kuil tuhannya.+ 8  Raja Kores dari Persia menyuruh Mitredat, seorang bendahara, untuk mengeluarkan semua perkakas itu. Kemudian Mitredat membuat senarai perkakas itu lalu memberikannya kepada Sesbazar,*+ seorang pemimpin Yehuda. 9  Inilah senarai perkakas itu: 30 buah bakul emas, 1,000 buah bakul perak, 29 buah bakul yang lain, 10  30 buah mangkuk kecil daripada emas, 410 buah mangkuk kecil daripada perak, dan 1,000 perkakas lain. 11  Kesemua perkakas emas dan perak itu berjumlah 5,400 buah. Sesbazar membawa semua perkakas itu semasa para tawanan+ di Babilon kembali ke Yerusalem.

Nota Kaki

Atau mungkin, “Binalah semula Rumah Yehuwa. Dialah Tuhan orang Israel yang berada di Yerusalem.”
Mungkin merujuk kepada Zerubabel di Ez 2:2; 3:8.