Ezra 6:1-22
6 Selepas itu, Raja Darius memberikan perintah supaya orang memeriksa arkib,* tempat harta-harta bernilai disimpan di Babilon.
2 Mereka menjumpai sebuah gulungan di kota berkubu di Ekbatana, yang terletak di wilayah Media. Berikut merupakan apa yang tercatat dalam gulungan itu:
3 “Pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores, Raja Kores mengeluarkan perintah berkenaan Rumah Tuhan di Yerusalem:+ ‘Hendaklah rumah itu dibina semula sebagai tempat orang mempersembahkan korban. Letakkanlah asas rumah itu, dan rumah itu haruslah berukuran 60 hasta* tinggi dan 60 hasta lebar.+
4 Temboknya haruslah dibina dengan tiga lapis batu besar dan satu lapis kayu.+ Segala perbelanjaannya hendaklah dibayar dengan wang daripada perbendaharaan diraja.+
5 Selain itu, kembalikanlah semua perkakas emas dan perak yang telah dibawa oleh Nebukadnezar dari Rumah Tuhan di Yerusalem ke Babilon.+ Semua perkakas itu haruslah dikembalikan ke tempatnya di dalam Rumah Tuhan.’+
6 “Wahai Tatenai, gabenor di wilayah seberang Sungai Efrat,* dan Syetar-bozenai serta rakan-rakan kamu, iaitu pembantu pegawai di wilayah seberang Sungai Efrat,+ jangan ganggu orang Israel di sana
7 dan jangan halang kerja pembinaan Rumah Tuhan. Biarlah gabenor orang Yahudi dan para pemimpin mereka membina semula Rumah Tuhan di tempat asalnya.
8 Selain itu, beta mengeluarkan perintah kepada kamu untuk membantu para pemimpin orang Yahudi membina semula Rumah Tuhan dengan cara berikut: Berilah mereka wang daripada perbendaharaan diraja,+ iaitu daripada cukai yang telah dikumpulkan dari wilayah seberang Sungai Efrat, untuk menampung perbelanjaan mereka. Buatlah demikian dengan segera agar kerja mereka tidak tergendala.+
9 Tiap-tiap hari, berilah para imam di Yerusalem apa sahaja yang diminta oleh mereka, sama ada lembu jantan muda,+ bebiri jantan,+ atau anak bebiri+ sebagai korban bakar untuk dipersembahkan kepada Tuhan di syurga, ataupun gandum,+ garam,+ wain,+ dan minyak.+
10 Dengan demikian, mereka dapat terus mempersembahkan korban yang menyenangkan hati Tuhan yang berkuasa atas syurga dan mendoakan kesejahteraan raja dan anak-anaknya.+
11 Beta juga mengeluarkan perintah bahawa jika seseorang melanggar perintah ini, salah satu tiang rumahnya akan dicabut lalu dia akan digantungkan pada tiang tersebut, dan rumahnya akan dijadikan tandas awam.*
12 Tuhan telah meletakkan nama-Nya secara kekal di Rumah-Nya.+ Semoga Dia menyingkirkan mana-mana raja atau orang yang melanggar perintah ini dan yang mencuba memusnahkan Rumah Tuhan di Yerusalem. Beta, Raja Darius, telah mengeluarkan perintah ini. Laksanakanlah perintah ini dengan segera.”
13 Tatenai, iaitu gabenor di wilayah seberang Sungai Efrat, dan Syetar-bozenai+ serta rakan-rakan mereka pun segera melaksanakan perintah Raja Darius.
14 Maka para pemimpin orang Yahudi dapat meneruskan kerja pembinaan dengan baik.+ Mereka digalakkan oleh nubuat Nabi Hagai+ dan Zakharia+ cucu Ido. Mereka menyelesaikan pembinaan rumah itu menurut perintah Tuhan orang Israel+ dan menurut perintah Kores,+ Darius,+ dan Raja Artahsasta+ dari Persia.
15 Kerja pembinaan Rumah Tuhan selesai pada hari ketiga bulan Adar,* pada tahun keenam pemerintahan Raja Darius.
16 Kemudian orang Israel, para imam, orang Lewi,+ dan semua orang yang kembali daripada pembuangan mengadakan upacara perasmian Rumah Tuhan dengan penuh sukacita.
17 Untuk upacara perasmian itu, mereka mempersembahkan 100 ekor lembu jantan, 200 ekor biri-biri jantan, dan 400 ekor anak biri-biri. Mereka juga mempersembahkan 12 ekor kambing jantan sebagai korban untuk memohon pengampunan dosa bagi seluruh Israel; seekor bagi setiap suku Israel.+
18 Mereka mengagihkan tugas-tugas di Rumah Tuhan kepada para imam dan orang Lewi sesuai dengan kumpulan yang telah ditetapkan dalam kitab Musa.+
19 Mereka yang telah kembali daripada pembuangan menyambut Perayaan Paska* pada hari ke-14 bulan pertama.+
20 Semua imam dan orang Lewi menyucikan diri,+ dan tiada seorang pun yang terkecuali. Setelah mereka semua suci, mereka menyembelih korban Paska untuk orang yang kembali daripada pembuangan, untuk imam-imam yang lain, dan untuk diri mereka.
21 Kemudian orang Israel yang kembali daripada pembuangan makan korban itu. Korban itu juga dimakan oleh orang lain yang telah menolak perbuatan najis bangsa-bangsa negeri lain dan menyertai orang Israel untuk menyembah Yehuwa, Tuhan orang Israel.+
22 Selain itu, mereka semua menyambut Perayaan Roti Tidak Beragi+ dengan gembira selama tujuh hari. Yehuwa telah menyebabkan mereka bersukacita dan membuat raja Assyria berkenan kepada mereka+ dan menyokong mereka dalam kerja pembinaan rumah Tuhan yang benar, iaitu Tuhan orang Israel.
Nota Kaki
^ Harfiah, “rumah (penyimpanan) catatan.”
^ Lihat Lampiran B14.
^ Atau mungkin, “tempat pembuangan sampah; timbunan najis.”
^ Lihat Lampiran B15.