Ezra 9:1-15

  • Orang Israel berkahwin dengan bangsa asing (1-4)

  • Doa Ezra (5-15)

9  Selepas semua ini dilaksanakan, para pemimpin datang kepada aku dan berkata, “Orang Israel, para imam, dan orang Lewi tidak memisahkan diri mereka daripada bangsa yang tinggal di negeri-negeri di sekeliling kita,+ iaitu bangsa Kanaan, Het, Feris, Yebus, Ammon, Moab, Mesir,+ dan Amori.+ Mereka juga melakukan perbuatan jijik bangsa-bangsa itu. 2  Selain itu, mereka dan anak-anak lelaki mereka berkahwin dengan anak perempuan bangsa-bangsa itu,+ sehingga mereka, iaitu keturunan yang suci,+ bercampur dengan bangsa-bangsa itu.+ Malahan para pemimpin dan pembesar merekalah yang mula-mula sekali melakukan perbuatan yang tidak setia ini.” 3  Sebaik sahaja aku mendengar kata-kata ini, aku mengoyakkan pakaianku dan mencabut sedikit rambut dan janggutku lalu duduk terpegun. 4  Disebabkan dosa yang telah dilakukan oleh orang yang pulang daripada pembuangan, semua orang yang menghormati kata-kata Tuhan berkumpul di sekelilingku. Aku duduk terpegun di sana sehingga waktu petang, iaitu sehingga waktu mempersembahkan korban bijirin.+ 5  Apabila tiba waktunya untuk mempersembahkan korban bijirin,+ aku bangun dari tempat yang aku duduk dengan sedih hati. Dengan pakaianku yang koyak rabak, aku berlutut dan mengangkat tangan kepada Yehuwa, Tuhanku, 6  lalu berdoa, “Ya Tuhan, aku malu dan segan untuk mengangkat kepalaku di hadapan-Mu. Ya Tuhanku, dosa kami bertimbun-timbun di atas kepala kami sehingga mencapai langit.+ 7  Kami telah banyak berdosa sejak zaman nenek moyang kami sehingga hari ini.+ Oleh sebab kami berdosa, Engkau telah menyerahkan kami, raja kami, dan para imam kami ke dalam tangan raja-raja bangsa lain. Kami dibunuh dengan pedang,+ ditangkap,+ dirompak,+ dan dihina, seperti hari ini.+ 8  Tetapi sekarang, untuk seketika, ya Yehuwa, Tuhan kami, Engkau berkenan kepada kami. Engkau membebaskan beberapa orang dalam kalangan kami dan memberi kami tempat yang selamat di tempat suci-Mu.+ Ya Tuhan kami, Engkau membuat mata kami bersinar-sinar dan memberi kami sedikit kelegaan meskipun kami diperhamba. 9  Walaupun kami masih hamba,+ Engkau tidak membiarkan kami terus diperhamba. Sebaliknya Engkau menunjukkan kasih setia-Mu kepada kami di hadapan raja-raja Persia.+ Engkau memberi kami kelegaan supaya kami dapat membangun semula Rumah Tuhan kami+ yang telah runtuh itu. Engkau juga memberi kami perlindungan* di Yehuda dan Yerusalem. 10  “Tetapi sekarang, ya Tuhan, setelah semua hal ini berlaku, apa lagi yang dapat kami katakan? Kami telah mengabaikan hukum-Mu, 11  yang telah Engkau berikan kepada kami menerusi nabi-nabi-Mu. Engkau telah berfirman, ‘Tanah yang akan kamu duduki ialah tanah yang najis kerana penduduknya telah mencemarkan tanah itu dengan melakukan perkara-perkara yang jijik. Seluruh tanah itu sarat dengan kenajisan mereka.+ 12  Oleh itu, jangan mengahwinkan anak perempuan kamu dengan anak lelaki mereka, dan jangan mengahwinkan anak lelaki kamu dengan anak perempuan mereka.+ Jangan sekali-kali membantu mereka hidup damai dan makmur.+ Dengan demikian, barulah kamu dapat bertambah kuat, menikmati hasil baik tanah itu, dan mewariskan tanah itu kepada anak-anak kamu buat selama-lamanya.’ 13  Sekarang semua hal ini menimpa kami kerana kami berbuat jahat dan kerana dosa kami sangat besar. Tetapi, ya Tuhan kami, hukuman yang kami terima jauh lebih ringan daripada apa yang setimpal dengan perbuatan kami.+ Malahan Engkau telah membebaskan kami.+ 14  Oleh itu, bagaimana mungkin kami melanggar hukum-Mu sekali lagi lalu menjalin ikatan perkahwinan* dengan bangsa-bangsa yang melakukan perbuatan jijik?+ Jika kami berbuat demikian, tidakkah Engkau akan murka lalu membinasakan kami sama sekali sehingga tiada seorang pun yang dibiarkan hidup? 15  Ya Yehuwa, Tuhan orang Israel, kami menghadap-Mu sebagai orang yang berdosa. Sebenarnya kami tidak berhak untuk menghadap-Mu setelah apa yang telah kami lakukan. Tetapi Engkau adil.+ Itulah sebabnya beberapa orang dalam kalangan kami masih hidup sehingga hari ini.”+

Nota Kaki

Atau “memberi kami sebuah tembok batu.”
Atau “lalu kahwin campur.”