Surat kepada Sidang di Filipi 4:1-23

  • Perpaduan, sukacita, fikiran yang wajar (1-9)

    • Jangan khuatir akan apa-apa (6, 7)

  • Menghargai pemberian orang Filipi (10-20)

  • Salam akhir (21-23)

4  Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi dan rindui, sukacitaku dan mahkotaku,+ hendaklah kamu berdiri teguh+ sebagai pengikut Tuan kita menurut cara yang telah aku sebutkan sebelum ini. 2  Aku menggesa Euodia dan Sintikhe agar berkhidmat kepada Tuan kita dengan seia sekata.+ 3  Rakan sekerjaku yang sejati, aku memohon kepada kamu agar terus membantu kedua-dua wanita ini yang telah berjuang demi berita baik di sisiku bersama dengan Klemen dan rakan sekerjaku yang lain. Nama mereka tercatat dalam kitab kehidupan.+ 4  Hendaklah kamu sentiasa bersukacita kerana kamu hidup bersatu dengan Tuan kita. Sekali lagi aku berkata: Bersukacitalah!+ 5  Hendaklah sikap munasabah+ kamu diketahui semua orang. Tuan kita sudah dekat. 6  Janganlah khuatir akan apa-apa pun.+ Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan melalui doa dan rayuan yang disertai ucapan syukur.+ 7  Dengan demikian kesejahteraan+ daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati+ dan fikiran kamu melalui Kristus Yesus. 8  Akhirnya saudara-saudara, teruslah memikirkan* semua perkara yang benar, semua perkara yang serius, semua perkara yang diperkenankan Tuhan, semua perkara yang murni, semua perkara yang patut dikasihi, semua perkara yang terhormat, semua perkara yang baik, dan semua perkara yang patut dipuji.+ 9  Amalkanlah hal-hal yang telah kamu lihat, dengar, terima, dan pelajari daripadaku.+ Dengan demikian, Tuhan kedamaian akan menyertai kamu. 10  Sebagai hamba kepada Tuan kita, aku sangat bersukacita kerana akhirnya kamu mengambil berat terhadapku sekali lagi.+ Sebenarnya kamu memang mengambil berat terhadapku, cuma kamu tidak berpeluang untuk menunjukkannya. 11  Aku berkata demikian bukan kerana aku berkekurangan. Aku sudah belajar untuk berpuas hati dengan apa yang aku miliki dalam apa jua keadaan.+ 12  Aku tahu bagaimana hidup serba kekurangan+ dan bagaimana hidup dalam kelimpahan. Aku sudah mempelajari rahsia untuk berpuas hati dalam segala perkara dan dalam segala keadaan, sama ada aku kenyang atau lapar, dan sama ada aku hidup dalam kelimpahan atau hidup serba kekurangan. 13  Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.+ 14  Namun demikian, kamu sungguh baik kerana membantu aku semasa aku menanggung kesengsaraan. 15  Sebenarnya, kamu semua yang berada di Filipi juga tahu bahawa setelah kamu mula mempelajari berita baik, dan ketika aku meninggalkan Makedonia, tiada satu sidang pun selain kamu yang membantu aku atau menerima bantuan daripadaku.+ 16  Semasa aku di Tesalonika, kamu telah mengirim bantuan untuk memenuhi keperluanku, bukan hanya sekali tetapi sebanyak dua kali. 17  Perkara yang benar-benar aku ingini bukanlah pemberian kamu. Sebaliknya, aku menginginkan berkat yang akan membawa lebih banyak keuntungan* ke dalam akaun kamu. 18  Aku sudah mempunyai segala yang aku perlukan, bahkan lebih daripada itu. Kini aku tidak kekurangan apa-apa lagi setelah menerima pemberian yang kamu kirimkan melalui Epafroditus.+ Pemberian kamu itu seperti bau yang harum,+ dan merupakan korban yang diterima dan disenangi oleh Tuhan. 19  Maka Tuhanku, yang berlimpah-limpah dengan kekayaan yang mulia, akan memenuhi segala keperluan kamu+ melalui Kristus Yesus. 20  Semoga Tuhan dan Bapa kita dimuliakan untuk selama-lamanya. Amin. 21  Sampaikan salamku kepada setiap umat suci Tuhan yang bersatu dengan Kristus Yesus. Saudara-saudara yang ada bersamaku mengirim salam kepada kamu. 22  Semua umat suci Tuhan, terutamanya mereka yang berada dalam rumah tangga Kaisar,*+ mengirim salam kepada kamu. 23  Semoga kebaikan hati Tuan Yesus Kristus yang unggul menyertai sikap baik yang kamu tunjukkan.

Nota Kaki

Atau “merenungkan.”
Merujuk kepada kekayaan rohani.
Gelaran bagi maharaja Roma.