Surat kepada Sidang-Sidang di Galatia 3:1-29

  • Mematuhi hukum dibandingkan dengan beriman (1-14)

    • Orang yang berbuat benar akan hidup kerana beriman (11)

  • Janji kepada Abraham tidak berdasarkan Hukum (15-18)

    • Keturunan Abraham, Kristus (16)

  • Asal usul dan tujuan Hukum (19-25)

  • Menjadi anak-anak Tuhan melalui iman (26-29)

    • Keturunan Abraham, mereka yang menjadi milik Kristus (29)

3  Wahai orang Galatia yang tidak berakal! Siapakah yang telah menipu kamu?+ Yesus Kristus telah dipakukan pada tiang, dan bukankah hal ini sudah digambarkan dengan jelas kepada kamu?+ 2  Ada satu perkara yang hendak aku tanya kepada kamu: Adakah kamu menerima kuasa suci Tuhan* kerana kamu mematuhi hukum atau kerana kamu beriman kepada apa yang didengari?+ 3  Mengapakah kamu begitu tidak berakal? Selepas kamu memulakan perjalanan mengikut haluan rohani, adakah kamu menamatkannya dengan mengikut haluan manusia yang tidak sempurna?+ 4  Kamu telah mengalami begitu banyak penderitaan. Adakah semua itu sia-sia sahaja? Aku pasti semua itu tidak sia-sia! 5  Adakah dia* yang memberikan kuasa suci Tuhan dan yang melakukan perbuatan yang menakjubkan+ dalam kalangan kamu, melakukannya kerana kamu mematuhi hukum atau kerana kamu beriman kepada apa yang didengari? 6  Dalam cara yang sama, Abraham “beriman kepada Yehuwa,* lalu mendapat perkenan-Nya.”+ 7  Sudah tentu kamu tahu bahawa mereka yang beriman ialah keturunan Abraham.+ 8  Awal-awal lagi ayat suci menyatakan bahawa Tuhan akan berkenan kepada orang daripada bangsa-bangsa lain kerana mereka beriman. Oleh itu, ayat suci mengisytiharkan berita baik yang berikut kepada Abraham terlebih dahulu: “Melalui engkau, semua bangsa akan diberkati.”+ 9  Oleh itu, mereka yang beriman diberkati bersama-sama Abraham yang beriman.+ 10  Semua orang yang bergantung pada perbuatan yang menurut hukum, hidup di bawah kutukan. Hal ini demikian kerana ada tertulis, “Terkutuklah setiap orang yang tidak mematuhi semua yang tertulis dalam gulungan Hukum.”+ 11  Lagipun, jelaslah bahawa tiada seorang pun yang boleh mendapat perkenan Tuhan melalui hukum,+ kerana ada tertulis, “Orang yang melakukan apa yang benar akan hidup kerana dia beriman.”+ 12  Hukum tidak menuntut seseorang untuk beriman. Sebaliknya, Hukum itu menyatakan, “Sesiapa yang mematuhi Hukum akan hidup.”+ 13  Kristus telah membeli kita.+ Dia membebaskan kita+ daripada kutukan Hukum dengan menjadikan dirinya sebagai orang yang terkutuk untuk menggantikan kita, kerana ada tertulis, “Terkutuklah setiap orang yang digantungkan pada tiang.”+ 14  Hal ini berlaku supaya berkat yang dijanjikan kepada Abraham juga dapat diterima oleh bangsa-bangsa lain melalui Kristus Yesus.+ Dengan demikian, kita dapat menerima kuasa suci Tuhan yang telah dijanjikan+ kerana kita beriman. 15  Saudara-saudara, biarlah aku menggunakan sebuah contoh: Sebaik sahaja sebuah perjanjian disahkan, tidak ada sesiapa pun yang boleh membatalkannya atau menambahkan apa-apa padanya, meskipun perjanjian itu hanya disahkan oleh manusia. 16  Janji-janji Tuhan telah disampaikan kepada Abraham dan kepada seorang keturunannya.+ Ayat suci tidak menyatakan, “kepada keturunanmu,” seolah-olah jumlah mereka banyak. Sebaliknya, ayat suci menyatakan, “kepada seorang keturunanmu,” yang merujuk kepada seorang sahaja, iaitu Kristus.+ 17  Selanjutnya, aku mengatakan hal ini: Hukum yang wujud 430 tahun kemudian,+ tidak memansuhkan perjanjian yang pernah dibuat oleh Tuhan dan tidak membatalkan janji itu. 18  Jika warisan itu diberikan berdasarkan hukum, maka warisan itu tidak lagi diberikan berdasarkan sebuah janji. Tetapi Tuhan yang baik hati telah memberikan warisan itu kepada Abraham melalui sebuah janji.+ 19  Jika demikian, mengapakah Hukum diberikan? Hukum itu diberikan* kemudian untuk mendedahkan perbuatan yang salah,+ sehingga ketibaan keturunan+ yang menerima janji Tuhan. Tuhan memberikan Hukum itu kepada para malaikat, dan para malaikat+ mengisytiharkannya melalui seorang perantara.+ 20  Seorang perantara tidak diperlukan apabila hanya satu pihak terlibat, dan Tuhan hanya satu. 21  Adakah hal ini bermaksud Hukum bertentangan dengan janji-janji Tuhan? Sudah pasti tidak! Andai kata sebuah hukum yang diberikan mampu memberikan hidup, maka perkenan Tuhan dapat diperoleh melalui hukum itu. 22  Namun, Ayat-Ayat Suci telah menyerahkan semua orang sebagai tahanan dosa, agar mereka yang beriman kepada Yesus Kristus dapat menerima janji Tuhan. 23  Sebelum iman sejati tiba, kita dilindungi oleh hukum dan diserahkan sebagai tahanan hukum, dan kita menantikan iman yang bakal disingkapkan itu.+ 24  Dengan demikian, Hukum telah menjadi penjaga* yang memimpin kita kepada Kristus,+ agar melalui iman, kita diperkenankan Tuhan.+ 25  Tetapi memandangkan iman sejati sudah tiba,+ kita tidak memerlukan penjaga* itu lagi.+ 26  Sebenarnya, kamu semua ialah anak-anak Tuhan+ kerana kamu beriman kepada Kristus Yesus.+ 27  Hal ini demikian kerana kamu semua yang sudah dibaptis dan bersatu dengan Kristus telah menjadi seperti Kristus.+ 28  Tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang Yunani,+ antara hamba dengan orang bebas,+ dan antara lelaki dengan wanita,+ kerana kamu semua bersatu sebagai pengikut Kristus Yesus.+ 29  Jika kamu milik Kristus, kamu sememangnya keturunan Abraham,+ dan kamu ialah pewaris+ kepada apa yang telah dijanjikan.+

Nota Kaki

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Atau “Tuhan.”
Harfiah, “ditambahkan.”
Atau “pembimbing; guru.”
Atau “pembimbing; guru.”