Surat kepada Sidang-Sidang di Galatia 5:1-26
5 Kristus membebaskan kita agar kita menikmati kebebasan sedemikian. Oleh itu, berdirilah dengan teguh+ dan janganlah biarkan diri kamu ditundukkan sekali lagi di bawah kuk* perhambaan.+
2 Aku, Paulus, memberitahu kamu bahawa jika kamu disunat, apa yang dilakukan oleh Kristus tidak akan membawa manfaat kepada kamu.+
3 Sekali lagi aku mengingatkan setiap orang yang akan disunat bahawa mereka wajib mematuhi segenap Hukum.+
4 Kamu yang mencuba untuk mendapat perkenan Tuhan menerusi hukum sudah terpisah daripada Kristus+ dan sudah meninggalkan kebaikan hatinya yang unggul.
5 Tetapi bagi kita, kita sedang berharap dan menanti-nantikan perkenan Tuhan yang hanya dapat diperoleh menerusi kuasa suci Tuhan dan iman kita.
6 Bagi mereka yang bersatu dengan Kristus Yesus, bersunat atau tidak bersunat tidak ada nilainya.+ Sebaliknya, yang bernilai ialah iman yang membuahkan hasil melalui kasih.
7 Dahulu kamu berlari dengan baik.+ Siapakah yang menghalang kamu daripada terus mematuhi kebenaran?
8 Ajaran sedemikian tidak berasal daripada Dia yang memanggil kamu.
9 Sedikit ragi membuat seluruh adunan naik.+
10 Aku yakin bahawa kamu yang bersatu dengan Tuan+ kita tidak akan mempunyai pandangan yang berbeza. Tetapi orang yang menimbulkan masalah bagi kamu,+ tidak kira siapa dia, dia akan menerima hukuman yang sewajarnya.
11 Bagi aku, saudara-saudara, andai kata aku masih menyebarkan ajaran tentang sunat, mengapakah aku masih dianiaya? Jika aku masih menyebarkan ajaran tentang sunat, sepatutnya tiang seksaan* tidak lagi menjadi batu sandungan.+
12 Bagi orang yang mencuba untuk mengelirukan kamu, aku berharap mereka akan mengembiri diri sendiri.*
13 Saudara-saudara, kamu sudah dipanggil untuk menikmati kebebasan. Tetapi jangan gunakan kebebasan itu sebagai kesempatan untuk mengejar keinginan yang berdosa.+ Sebaliknya, hendaklah kasih mendorong kamu untuk menjadi hamba kepada satu sama lain,+
14 kerana seluruh Hukum disimpulkan dalam satu perintah, iaitu, “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”+
15 Tetapi jika kamu asyik menyakiti dan membawa penderitaan kepada satu sama lain,+ berhati-hatilah supaya kamu tidak saling membinasakan.+
16 Namun demikian, aku berkata: Teruslah berjalan menurut bimbingan kuasa suci Tuhan.+ Dengan demikian, kamu sama sekali tidak akan menurut keinginan yang berdosa.+
17 Keinginan tubuh yang berdosa berlawanan dengan kuasa suci Tuhan, dan kuasa suci Tuhan berlawanan dengan keinginan tubuh yang berdosa. Kedua-duanya saling bertentangan sehingga kamu tidak melakukan hal-hal yang ingin kamu lakukan.+
18 Tambahan lagi, jika kamu dibimbing oleh kuasa suci Tuhan, kamu tidak berada di bawah hukum.
19 Perbuatan yang terhasil daripada keinginan yang berdosa dapat dilihat dengan jelas, iaitu perbuatan seks yang tidak bermoral,*+ kenajisan, kelakuan buruk,*+
20 penyembahan berhala, penggunaan ilmu sihir,*+ permusuhan, perkelahian, kecemburuan, ledakan kemarahan, pertengkaran, perpecahan, pembentukan kumpulan agama,*
21 perasaan iri hati, kemabukan,+ pesta liar, dan hal-hal seperti itu.+ Aku memberi kamu amaran tentang hal-hal itu sekarang, sepertimana aku telah memberi kamu amaran dahulu: Orang yang mengamalkan perbuatan sebegitu tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.+
22 Sebaliknya, buah kuasa suci Tuhan ialah kasih, sukacita, kedamaian, kesabaran,* kebaikan hati, kebaikan,+ iman,
23 kelemahlembutan, dan kawalan diri.+ Tidak ada hukum yang melarang perkara-perkara sedemikian.
24 Selain itu, orang yang merupakan milik Kristus Yesus sudah mematikan* segala nafsu dan keinginan tubuh yang berdosa.+
25 Jika kita hidup menurut bimbingan kuasa suci Tuhan, biarlah kita terus menunjukkan perbuatan yang selaras dengan bimbingan kuasa suci Tuhan.+
26 Janganlah kita menjadi sombong,+ saling membangkitkan persaingan,+ dan iri hati terhadap satu sama lain.