Hagai 1:1-15
1 Pada tahun kedua pemerintahan Raja Darius, pada hari pertama bulan keenam, Nabi Hagai*+ mendapat perkhabaran daripada Yehuwa. Perkhabaran itu ditujukan kepada gabenor Yehuda, iaitu Zerubabel+ anak Sealtiel, dan Imam Agung Yosua anak Yehozadak.
2 “Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Umat ini berkata, “Masanya belum tiba untuk membina semula Rumah Yehuwa.”’”+
3 Yehuwa berfirman lagi melalui Nabi Hagai,+
4 “Adakah sekarang masanya untuk kamu tinggal di dalam rumah kamu yang indah, sedangkan Rumah-Ku masih dalam keadaan hancur?+
5 Inilah yang difirmankan oleh Yehuwa, ketua angkatan syurga, ‘Perhatikanlah cara hidup kamu.
6 Kamu menabur banyak benih, tetapi tuaian kamu sedikit.+ Kamu makan, tetapi tidak kenyang. Kamu minum, tetapi tidak puas. Kamu berpakaian, tetapi masih kesejukan. Kamu bekerja, tetapi upah kamu seperti disimpan di dalam kantung yang berlubang.’”
7 “Inilah yang difirmankan oleh Yehuwa, ketua angkatan syurga, ‘Perhatikanlah cara hidup kamu.’
8 “Yehuwa berfirman, ‘Naiklah ke gunung untuk mengambil kayu balak+ lalu binalah semula Rumah-Ku.+ Dengan demikian, Aku akan senang hati dan dimuliakan.’”+
9 “Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Kamu mengharapkan hasil tuaian yang banyak, tetapi yang kamu dapat sedikit sahaja. Apabila kamu membawa hasil tuaian itu ke dalam rumah, Aku meniupnya sehingga semuanya hilang.+ Mengapakah Aku melakukan hal itu? Aku melakukannya kerana Rumah-Ku masih dalam keadaan hancur, tetapi kamu semua sibuk menguruskan rumah masing-masing.+
10 Itulah sebabnya langit di atas tidak menurunkan embun, dan tanah tidak mengeluarkan hasil tanaman.
11 Aku mendatangkan kemarau atas tanah, gunung, gandum, wain baharu, minyak, tumbuh-tumbuhan, dan atas segala sesuatu yang kamu usahakan. Manusia dan ternakan turut menderita disebabkan kemarau itu.’”
12 Zerubabel+ anak Sealtiel,+ dan imam agung, iaitu Yosua anak Yehozadak,+ serta seluruh umat Israel mendengarkan firman yang disampaikan oleh Yehuwa, Tuhan mereka. Mereka juga mendengarkan perkhabaran Nabi Hagai kerana dia diutus oleh Yehuwa, Tuhan mereka. Lalu mereka mula takut akan Yehuwa.
13 Kemudian selaras dengan firman yang diterimanya daripada Yehuwa, Hagai, iaitu utusan Yehuwa, menyampaikan perkhabaran ini kepada umat Israel: “Yehuwa berfirman, ‘Aku menyertai kamu semua.’”+
14 Yehuwa membangkitkan semangat+ gabenor Yehuda,+ iaitu Zerubabel anak Sealtiel, dan semangat Imam Agung Yosua+ anak Yehozadak, serta semangat seluruh umat Israel untuk membina semula Rumah Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan mereka.+
15 Mereka mula bekerja pada hari ke-24, bulan keenam, dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius.+
Nota Kaki
^ Maksudnya “Dilahirkan semasa Perayaan.”