Hakim-Hakim 1:1-36

  • Penaklukan suku Yehuda dan suku Simeon (1-20)

  • Orang Yebus masih tinggal di Yerusalem (21)

  • Keturunan Yusuf menawan Bethel (22-26)

  • Sesetengah orang Kanaan tidak diusir (27-36)

1  Selepas kematian Yosua,+ umat Israel bertanya kepada Yehuwa,+ “Siapakah antara kami yang akan pergi terlebih dahulu untuk melawan orang Kanaan?” 2  Yehuwa menjawab, “Suku Yehuda yang harus pergi dahulu.+ Aku akan* memberikan tanah itu ke dalam tangan mereka.” 3  Lalu suku Yehuda berkata kepada saudara-saudara mereka, iaitu suku Simeon, “Pergilah bersama kami ke kawasan yang ditentukan untuk kami.+ Selepas kita melawan orang Kanaan di situ, kami akan pergi bersama kamu ke kawasan yang ditentukan untuk kamu.” Maka suku Simeon pun berbuat demikian. 4  Ketika suku Yehuda pergi berperang, Yehuwa menyerahkan orang Kanaan dan orang Feris ke dalam tangan mereka.+ Mereka mengalahkan 10,000 orang di Bezek. 5  Semasa mereka mengalahkan orang Kanaan+ dan orang Feris,+ mereka juga menjumpai Adoni-bezek di Bezek lalu menyerangnya di situ. 6  Semasa Adoni-bezek melarikan diri, mereka mengejarnya lalu menangkapnya. Mereka memotong ibu jari tangan dan ibu jari kakinya. 7  Lalu Adoni-bezek berkata, “Ada 70 orang raja yang ibu jari tangan dan ibu jari kaki mereka dipotong lalu mereka memungut makanan di bawah meja beta. Sekarang Tuhan memperlakukan beta sebagaimana beta telah memperlakukan mereka.” Selepas itu, Adoni-bezek dibawa ke Yerusalem+ lalu dia meninggal di situ. 8  Kemudian orang Yehuda menyerang lalu menawan Yerusalem.+ Mereka membunuh penduduk di situ dengan pedang dan membakar kota itu. 9  Selepas itu, orang Yehuda pergi berperang melawan orang Kanaan yang tinggal di kawasan pergunungan, di Negeb, dan di Syefela.+ 10  Orang Yehuda maju untuk menyerang orang Kanaan yang tinggal di Hebron (dahulu nama Hebron ialah Kiryat-arba), lalu mereka mengalahkan Sesai, Ahiman, dan Talmai.+ 11  Dari situ, mereka pergi menyerang penduduk Debir.+ (Dahulu nama Debir ialah Kiryat-sefer.)+ 12  Kaleb+ berkata, “Aku akan memberikan anak perempuanku, Akhsa, sebagai isteri kepada orang yang menyerang kota Kiryat-sefer dan menawannya.”+ 13  Otniel,+ iaitu anak kepada adik lelaki Kaleb yang bernama Kenas,+ telah menawan kota itu. Maka Kaleb memberikan anak perempuannya Akhsa kepada Otniel sebagai isteri. 14  Semasa Akhsa dalam perjalanan pulang, dia mendesak suaminya supaya meminta sebidang tanah daripada bapanya Kaleb. Akhsa turun dari keldainya* lalu Kaleb bertanya kepadanya, “Apa yang kamu mahu?” 15  Akhsa menjawab, “Ayah telah memberikan sebidang tanah yang gersang di selatan* kepada saya. Jadi, berkatilah saya dan berilah saya Gulot-maim* juga.” Maka Kaleb memberinya Gulot Hulu dan Gulot Hilir. 16  Keturunan bapa mentua Musa,+ iaitu orang Keni,+ berangkat dari kota pokok palma+ bersama-sama orang Yehuda dan pergi ke padang belantara Yehuda yang terletak di selatan Arad.+ Mereka tinggal bersama-sama orang tempatan di situ.+ 17  Tetapi suku Yehuda meneruskan perjalanan bersama saudara-saudara mereka, iaitu suku Simeon. Mereka menyerang orang Kanaan yang tinggal di Zefat dan memusnahkan kota itu.+ Kemudian mereka menamakan kota itu Horma.*+ 18  Suku Yehuda telah menawan Gaza,+ Askelon,+ Ekron,+ dan kawasan di sekeliling kota-kota itu. 19  Yehuwa menyertai suku Yehuda sehingga mereka menakluki kawasan pergunungan. Namun, mereka tidak dapat mengusir penduduk di dataran rendah, kerana penduduk di situ mempunyai kereta kuda yang rodanya dilengkapi dengan pedang besi.+ 20  Seperti yang dijanjikan oleh Musa,+ Hebron diberikan kepada Kaleb, dan dia telah mengusir tiga orang anak lelaki Enak dari situ.+ 21  Tetapi orang Benyamin tidak mengusir orang Yebus yang tinggal di Yerusalem. Maka orang Yebus masih tinggal di situ bersama-sama orang Benyamin sampai hari ini.+ 22  Keturunan Yusuf+ pula pergi menyerang kota Bethel dan Yehuwa menyertai mereka.+ 23  Pengintip-pengintip daripada keturunan Yusuf yang pergi ke Bethel (dahulu nama kota itu ialah Lus)+ 24  nampak seorang lelaki yang sedang keluar dari kota itu. Mereka berkata kepadanya, “Tolong tunjukkan jalan masuk ke kota ini, dan kami akan memperlakukan kamu dengan baik.”* 25  Lelaki itu pun menunjukkan jalan masuk ke kota itu kepada mereka. Kemudian keturunan Yusuf membunuh penduduk kota itu dengan pedang, tetapi mereka membiarkan lelaki itu dan semua ahli keluarganya pergi.+ 26  Lelaki itu pergi ke negeri orang Het dan membina sebuah kota yang dinamakannya Lus. Itulah nama kota itu sampai hari ini. 27  Suku Manasye tidak menakluki Bet-sean dan Taanakh+ bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Mereka juga tidak menakluki penduduk dan pekan-pekan di sekitar Dor, Yibleam, dan Megido.+ Orang Kanaan berkeras untuk tinggal di situ. 28  Apabila orang Israel bertambah kuat, mereka tidak mengusir semua orang Kanaan itu.+ Sebaliknya orang Israel memaksa mereka bekerja sebagai hamba.+ 29  Suku Efraim juga tidak mengusir orang Kanaan yang tinggal di Gezer. Oleh itu, orang Kanaan terus tinggal bersama mereka di Gezer.+ 30  Suku Zebulon tidak mengusir penduduk Kitron dan penduduk Nahalol.+ Oleh itu, orang Kanaan terus tinggal bersama mereka dan dipaksa bekerja sebagai hamba.+ 31  Suku Asyer tidak mengusir penduduk Ako, Sidon,+ Ahlab, Akhzib,+ Helba, Afek,+ dan Rehob.+ 32  Oleh itu, orang Asyer terus tinggal bersama orang Kanaan yang mendiami negeri itu, kerana orang Asyer tidak mengusir mereka dari situ. 33  Suku Naftali tidak mengusir penduduk Bet-semes dan Bet-anat.+ Oleh itu, mereka terus tinggal bersama orang Kanaan yang mendiami negeri itu.+ Tetapi penduduk Bet-semes dan Bet-anat dipaksa bekerja sebagai hamba untuk mereka. 34  Suku Dan terpaksa tinggal di kawasan pergunungan kerana orang Amori tidak membenarkan mereka turun ke kawasan dataran rendah.+ 35  Orang Amori berkeras untuk tinggal di Ayalon,+ Saalbim,+ dan Gunung Heres. Tetapi apabila keturunan Yusuf semakin kuat, orang Amori dipaksa bekerja keras sebagai hamba. 36  Sempadan bagi kawasan orang Amori adalah dari Lereng Akrabim+ dan dari Sela sampai ke kawasan tanah tinggi.

Nota Kaki

Atau “sudah.”
Atau mungkin, “Semasa di atas keldai, Akhsa bertepuk tangan.”
Atau “Negeb.”
Maksudnya “Kawasan yang Berair.”
Maksudnya “Kemusnahan.”
Harfiah, “menunjukkan kasih setia kepadamu.”