Hakim-Hakim 12:1-15
12 Kemudian orang Efraim berkumpul dan menyeberangi sungai. Mereka pergi ke Zafon* dan berkata kepada Yefta, “Mengapakah kamu tidak mengajak kami semasa kamu pergi melawan orang Ammon?+ Sekarang kami akan membakar kamu bersama-sama rumahmu.”
2 Yefta berkata, “Ketika aku dan rakan-rakanku berjuang dalam pertempuran yang sengit dengan orang Ammon, aku meminta pertolongan kamu, tetapi kamu tidak menyelamatkan aku daripada tangan mereka.
3 Apabila aku melihat bahawa kamu tidak mahu menyelamatkan aku, aku mempertaruhkan nyawaku untuk melawan orang Ammon,+ dan Yehuwa telah menyerahkan mereka kepadaku. Jadi mengapakah kamu datang pada hari ini untuk menyerang aku?”
4 Kemudian Yefta mengumpulkan semua orang Gilead+ lalu mereka memerangi suku Efraim. Orang Gilead telah mengalahkan suku Efraim yang pernah berkata, “Hai orang Gilead, walaupun kamu tinggal di kawasan suku Efraim dan suku Manasye, kamu hanyalah pelarian daripada suku Efraim.”
5 Orang Gilead mendahului orang Efraim dan berkawal di tempat penyeberangan Sungai Yordan.+ Semasa orang Efraim hendak melarikan diri, mereka akan berkata, “Biarlah aku menyeberangi sungai,” maka orang Gilead akan bertanya kepada setiap orang, “Adakah kamu orang Efraim?” Jika orang itu berkata, “Bukan!”
6 mereka akan berkata kepadanya, “Cuba sebut perkataan ‘Shibolet.’” Tetapi orang itu akan berkata, “Sibolet,” kerana dia tidak dapat menyebut perkataan itu dengan tepat. Kemudian mereka akan menangkap dan membunuhnya di tempat penyeberangan Sungai Yordan. Sebanyak 42,000 orang Efraim dibunuh pada masa itu.
7 Yefta menjadi hakim orang Israel selama enam tahun. Selepas itu, Yefta, orang Gilead itu, meninggal dan dikebumikan di kotanya di Gilead.
8 Selepas Yefta, Ebzan dari Betlehem menjadi hakim orang Israel.+
9 Dia mempunyai 30 orang anak lelaki dan 30 orang anak perempuan. Dia mengahwinkan anak-anak perempuannya dengan lelaki daripada puak lain, dan dia juga mengambil 30 orang perempuan daripada puak lain untuk berkahwin dengan anak-anak lelakinya. Dia menjadi hakim orang Israel selama tujuh tahun.
10 Kemudian Ebzan meninggal dan dikebumikan di Betlehem.
11 Selepas Ebzan, Elon daripada suku Zebulon menjadi hakim orang Israel selama 10 tahun.
12 Kemudian Elon, orang Zebulon itu, meninggal dan dikebumikan di Ayalon di wilayah Zebulon.
13 Selepas Elon, Abdon anak Hilel, orang Piraton itu, menjadi hakim orang Israel.
14 Dia mempunyai 40 orang anak lelaki dan 30 orang cucu lelaki yang menunggang 70 ekor keldai. Dia menjadi hakim orang Israel selama lapan tahun.
15 Kemudian Abdon anak Hilel, orang Piraton itu, meninggal dan dikebumikan di Piraton di wilayah Efraim, di gunung orang Amalek.+
Nota Kaki
^ Atau mungkin, “ke utara.”