Hakim-Hakim 13:1-25

  • Manoah dan isterinya dikunjungi malaikat (1-23)

  • Kelahiran Simson (24, 25)

13  Sekali lagi umat Israel melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa.+ Maka Yehuwa menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Filistin+ selama 40 tahun. 2  Pada masa itu, ada seorang lelaki di Zora+ yang bernama Manoah.+ Dia berasal daripada keluarga dalam suku Dan.+ Isterinya mandul dan tidak mempunyai anak.+ 3  Pada suatu hari malaikat Yehuwa menampakkan diri kepada wanita itu lalu berkata, “Walaupun kamu mandul dan tidak mempunyai anak selama ini, kamu akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki.+ 4  Oleh itu, kamu harus berhati-hati. Jangan minum wain atau minuman keras,+ dan jangan makan apa-apa yang haram.+ 5  Kamu akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Rambutnya tidak boleh dipotong sama sekali,+ kerana anak itu akan dibaktikan kepada Tuhan sebagai orang Nazir* sejak hari kelahirannya. Dia akan mula menyelamatkan orang Israel daripada tangan orang Filistin.”+ 6  Kemudian wanita itu pergi kepada suaminya dan berkata, “Seorang utusan daripada Tuhan yang benar datang kepadaku. Rupanya seperti malaikat Tuhan yang benar dan sangat mengagumkan sehingga aku berasa takut. Aku tidak bertanya dari mana dia datang dan dia pun tidak memberitahu aku namanya.+ 7  Tetapi dia memberitahu aku, ‘Kamu akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Oleh itu, jangan minum wain atau minuman keras, dan jangan makan apa-apa yang haram, kerana sejak kelahiran anak itu, dia akan dibaktikan kepada Tuhan sebagai orang Nazir sehingga hari kematiannya.’” 8  Kemudian Manoah merayu kepada Yehuwa, “Ya Yehuwa, Tuhan yang benar, aku mohon, biarlah utusan yang baru Engkau hantar itu datang lagi dan mengajar kami bagaimana kami harus membesarkan anak yang bakal dilahirkan itu.” 9  Tuhan yang benar mengabulkan permohonan Manoah, dan malaikat daripada Tuhan yang benar datang lagi kepada isteri Manoah semasa dia sedang duduk di ladang. Pada masa itu Manoah tidak bersama isterinya. 10  Maka wanita itu cepat-cepat berlari kepada suaminya dan berkata, “Orang yang datang kepadaku tempoh hari sudah muncul di hadapanku.”+ 11  Kemudian Manoah bangun dan pergi bersama-sama isterinya untuk berjumpa dengan orang itu. Manoah berkata kepadanya, “Adakah tuan yang bercakap kepada isteri saya sebelum ini?” Dia menjawab, “Ya.” 12  Kemudian Manoah berkata, “Semoga kata-kata tuan terjadi! Tetapi bagaimanakah anak itu harus dibesarkan? Apakah yang akan dilakukan olehnya kelak?”+ 13  Malaikat Yehuwa berkata kepada Manoah, “Isterimu harus mengikut segala pesananku.+ 14  Dia tidak boleh makan apa-apa pun yang dihasilkan daripada pokok anggur, dan dia tidak boleh minum wain atau minuman keras,+ serta tidak boleh makan apa-apa yang haram.+ Dia harus mematuhi segala yang aku perintahkan kepadanya.” 15  Kemudian Manoah berkata kepada malaikat Yehuwa, “Silalah tunggu di sini dan biarlah kami memasak seekor kambing muda untuk tuan.”+ 16  Tetapi malaikat Yehuwa berkata, “Walaupun aku menunggu di sini, aku tidak akan makan hidanganmu itu. Tetapi jika kamu mahu, kamu boleh mempersembahkan korban bakar kepada Yehuwa.” Manoah tidak tahu bahawa lelaki itu ialah malaikat Yehuwa. 17  Kemudian Manoah berkata kepada malaikat Yehuwa, “Beritahulah kami nama tuan,+ supaya kami dapat memuliakan tuan apabila hal yang tuan katakan itu terjadi.” 18  Namun malaikat Yehuwa berkata, “Janganlah tanya tentang namaku, kerana namaku itu nama yang mengagumkan.” 19  Oleh itu Manoah mengambil seekor kambing muda dan korban bijirin lalu mempersembahkannya kepada Yehuwa di atas sebuah batu. Di depan mata Manoah dan isterinya, Tuhan telah melakukan sesuatu yang menakjubkan. 20  Manoah dan isterinya nampak malaikat Yehuwa naik ke langit dalam nyala api yang keluar dari mazbah itu. Kemudian mereka segera bersujud ke tanah. 21  Malaikat Yehuwa tidak lagi menampakkan diri kepada Manoah dan isterinya. Barulah Manoah sedar bahawa lelaki itu ialah malaikat Yehuwa.+ 22  Manoah berkata kepada isterinya, “Kita pasti akan mati kerana kita telah nampak Tuhan!”+ 23  Tetapi isterinya berkata, “Jika Yehuwa ingin membunuh kita, Dia tidak akan menerima korban bakar+ dan korban bijirin daripada kita. Dia juga tidak akan menunjukkan semua perkara ini kepada kita, ataupun memberitahu kita tentang semua perkara ini.” 24  Beberapa waktu kemudian, wanita itu melahirkan seorang anak lelaki dan menamakannya Simson.+ Yehuwa terus memberkati anak itu seraya dia membesar. 25  Kuasa suci Yehuwa mula mendorongnya+ untuk bertindak sewaktu dia berada di Mahane-dan+ yang terletak di antara Zora dan Esytaol.+

Nota Kaki

Lihat Kamus, “Orang Nazir.”