Hakim-Hakim 2:1-23
2 Kemudian malaikat Yehuwa+ pergi dari Gilgal+ ke Bokhim lalu berkata kepada umat Israel, “Aku* telah membawa kamu keluar dari Mesir dan memimpin kamu ke tanah yang telah Aku janjikan kepada nenek moyang kamu.+ Aku juga telah berfirman, ‘Aku tidak sekali-kali akan membatalkan perjanjian-Ku dengan kamu,+
2 dan kamu pula tidak boleh membuat perjanjian dengan penduduk negeri ini.+ Kamu mesti merobohkan mazbah-mazbah mereka.’+ Tetapi kamu tidak mematuhi perintah-Ku.+ Mengapakah kamu berbuat demikian?
3 Itulah sebabnya Aku juga berfirman, ‘Aku tidak akan mengusir penduduk negeri ini dari hadapan kamu.+ Mereka akan menjadi jerat bagi kamu+ dan tuhan-tuhan mereka akan mengumpan kamu sehingga kamu menjauhi Aku.’”+
4 Setelah malaikat Yehuwa berkata demikian, semua umat Israel mula menangis dengan kuat.
5 Itulah sebabnya mereka menamakan tempat itu Bokhim.* Di situ mereka mempersembahkan korban kepada Yehuwa.
6 Selepas Yosua menyuruh umat Israel pergi, setiap orang Israel pun berangkat ke tanah warisan masing-masing dan mendudukinya.+
7 Selama Yosua masih hidup, umat Israel terus menyembah Yehuwa. Mereka juga tetap menyembah-Nya setelah Yosua meninggal dan sepanjang hayat para pemimpin yang telah melihat segala perbuatan Yehuwa yang hebat untuk umat Israel.+
8 Kemudian Yosua anak Nun, hamba Yehuwa itu, meninggal ketika dia berumur 110 tahun.+
9 Maka dia dikebumikan di tanah warisannya di Timnat-heres,+ yang terletak di kawasan pergunungan Efraim, di sebelah utara Gunung Gaas.+
10 Semua orang Israel daripada generasi itu meninggal dan dikebumikan seperti nenek moyang mereka. Kemudian muncullah sebuah generasi yang baharu. Mereka tidak mengenal Yehuwa dan tidak mengetahui apa yang telah dilakukan-Nya demi umat Israel.
11 Lalu umat Israel melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa dan menyembah Baal.+
12 Mereka meninggalkan Yehuwa, Tuhan nenek moyang mereka yang telah membawa mereka keluar dari Mesir,+ lalu mengikut tuhan-tuhan lain. Mereka bersujud kepada tuhan-tuhan yang disembah oleh bangsa-bangsa di sekitar mereka lalu membangkitkan kemurkaan Yehuwa.+
13 Mereka meninggalkan Yehuwa lalu menyembah Baal dan patung-patung Asytoret.+
14 Oleh itu, Yehuwa sangat murka terhadap umat Israel. Dia menyerahkan mereka ke dalam tangan para perompak dan membiarkan mereka dirompak.+ Dia juga menyerahkan* mereka ke dalam tangan musuh-musuh di sekeliling mereka,+ sehingga mereka tidak berdaya melawan musuh.+
15 Ke mana sahaja mereka pergi, Yehuwa menentang mereka dan mendatangkan malapetaka kepada mereka.+ Hal itu berlaku tepat seperti yang difirmankan oleh Yehuwa, kerana Yehuwa sudah bersumpah kepada mereka bahawa Dia akan berbuat demikian.+ Mereka sangat menderita,+
16 maka Yehuwa memberi mereka hakim-hakim untuk menyelamatkan mereka daripada tangan orang yang merompak mereka.+
17 Tetapi mereka tidak mahu mendengarkan hakim-hakim itu. Mereka tidak setia kepada Tuhan* dan bersujud kepada tuhan-tuhan lain. Nenek moyang mereka mematuhi perintah Yehuwa, tetapi mereka tidak berbuat demikian. Dengan cepat mereka menyimpang daripada haluan yang diikuti nenek moyang mereka.+
18 Setiap kali Yehuwa memberi mereka hakim,+ Yehuwa akan menyertai hakim itu dan menyelamatkan mereka daripada tangan musuh selama hakim itu masih hidup. Yehuwa berasa kasihan+ terhadap mereka* apabila mereka merintih kerana dianiaya dan ditindas.+
19 Tetapi apabila hakim itu meninggal, mereka mengulangi perbuatan yang jahat, dan menjadi lebih teruk daripada nenek moyang mereka. Mereka mengikut, menyembah, dan bersujud kepada tuhan-tuhan lain.+ Mereka tidak meninggalkan amalan-amalan yang buruk dan tidak mahu mengubah kelakuan sendiri.
20 Oleh itu, Yehuwa sangat murka terhadap orang Israel+ dan Dia berfirman, “Bangsa ini telah melanggar perjanjian+ yang telah Aku buat dengan nenek moyang mereka dan mereka tidak mentaati-Ku.+ Maka
21 Aku tidak akan mengusir dari hadapan mereka satu bangsa pun yang belum ditawan oleh Yosua apabila dia meninggal.+
22 Dengan demikian Aku, Yehuwa, dapat menguji bangsa Israel untuk mengetahui sama ada mereka akan terus mengikut haluan-Ku+ seperti yang dilakukan oleh nenek moyang mereka, ataupun tidak.”
23 Oleh itu, Yehuwa membenarkan bangsa-bangsa itu tinggal di situ. Dia tidak segera mengusir mereka, dan Dia tidak menyerahkan mereka ke dalam tangan Yosua.