Hakim-Hakim 21:1-25

  • Suku Benyamin diselamatkan (1-25)

21  Semasa orang Israel berada di Mizpa,+ mereka telah bersumpah, “Tiada seorang pun daripada kita yang akan mengahwinkan anak perempuan kita dengan orang Benyamin.”+  Oleh itu, orang Israel pergi ke Bethel+ dan duduk di hadapan Tuhan yang benar sehingga malam. Mereka meraung-raung  sambil berkata, “Ya Yehuwa, Tuhan orang Israel, mengapakah hal ini berlaku di Israel? Mengapakah Israel harus kehilangan salah satu sukunya?”  Keesokan harinya, mereka bangun awal dan membina sebuah mazbah di sana untuk mempersembahkan korban bakar dan korban pendamaian.+  Sebelum itu, orang Israel telah bersumpah bahawa sesiapa yang tidak datang menghadap Yehuwa di Mizpa mesti dihukum mati. Maka mereka bertanya, “Antara semua suku Israel, siapakah yang tidak datang berhimpun di hadapan Yehuwa?”  Orang Israel berasa kasihan terhadap saudara mereka, iaitu suku Benyamin, lalu berkata, “Pada hari ini, umat Israel telah kehilangan salah satu daripada sukunya.  Apakah yang harus kita lakukan untuk mendapatkan isteri bagi orang Benyamin yang masih tinggal? Bukankah kita sudah bersumpah kepada Yehuwa+ bahawa kita tidak akan mengahwinkan anak perempuan kita dengan mereka?”+  Mereka pun bertanya, “Antara semua suku Israel, siapakah yang tidak datang menghadap Yehuwa di Mizpa?”+ Pada masa itu, tiada seorang pun dari Yabes-gilead yang datang ke perkhemahan umat Israel.  Setelah mengira jumlah orang yang hadir, mereka mendapati bahawa tiada seorang pun dari Yabes-gilead yang hadir. 10  Oleh itu, umat Israel mengutus 12,000 orang yang paling gagah dan memberi mereka perintah berikut: “Pergilah ke Yabes-gilead dan bunuhlah semua orang di situ dengan pedang, termasuk wanita dan kanak-kanak.+ 11  Kamu harus membunuh semua lelaki dan juga setiap perempuan yang pernah bersetubuh dengan lelaki.” 12  Dalam kalangan penduduk Yabes-gilead, mereka mendapati 400 orang anak dara yang belum pernah bersetubuh dengan lelaki. Kemudian mereka membawa semua anak dara itu ke perkhemahan di Silo,+ di tanah Kanaan. 13  Kemudian umat itu mengirim pesan kepada orang Benyamin yang berada di bukit batu di Rimon+ untuk menawarkan perdamaian. 14  Oleh itu, suku Benyamin kembali ke tanah mereka, lalu orang Israel memberi mereka semua perempuan dari Yabes-gilead yang dibiarkan hidup,+ tetapi bilangannya tidak cukup. 15  Umat Israel berasa kasihan terhadap orang Benyamin+ kerana Yehuwa telah menyebabkan perpecahan berlaku antara suku-suku Israel. 16  Para pemimpin di perhimpunan itu bertanya, “Apakah yang harus kita lakukan untuk mendapatkan isteri bagi orang Benyamin yang masih tinggal ini? Semua wanita dalam suku Benyamin sudah dibunuh.” 17  Mereka berkata lagi, “Orang Benyamin yang masih hidup harus diberi tanah warisan, supaya suku itu tidak lenyap dari Israel. 18  Tetapi kita tidak boleh mengahwinkan anak perempuan kita dengan mereka, kerana orang Israel telah bersumpah: ‘Terkutuklah sesiapa yang memberikan isteri kepada orang Benyamin.’”+ 19  Kemudian mereka berkata, “Lihat! Setiap tahun ada perayaan yang diadakan untuk Yehuwa di Silo.”+ (Silo terletak di utara Bethel, di selatan Lebona, dan di timur jalan di antara Bethel dan Sikhem.) 20  Oleh itu, mereka berkata kepada orang Benyamin, “Pergilah bersembunyi di ladang-ladang anggur. 21  Apabila kamu nampak gadis-gadis Silo datang untuk menari,* setiap seorang daripada kamu harus keluar dari ladang anggur dan menangkap seorang gadis Silo untuk dijadikan isteri. Selepas itu, kembalilah ke wilayah Benyamin. 22  Jika bapa atau saudara lelaki mereka datang untuk mengadu, kami akan memberitahu mereka, ‘Tolonglah kami demi kebaikan orang Benyamin. Bilangan gadis yang kami tawan semasa perang tidak cukup untuk dijadikan isteri mereka.+ Tambahan lagi, kamu tidak memberikan gadis-gadis kamu kepada mereka, oleh itu kamu tidak bersalah.’”+ 23  Suku Benyamin pun berbuat demikian. Masing-masing memilih seorang isteri antara gadis-gadis Silo yang menari, lalu pulang ke tanah warisan mereka. Mereka membina semula kota-kota mereka+ lalu tinggal di sana. 24  Ketika itu, orang Israel berangkat dari situ lalu kembali kepada suku dan keluarga masing-masing. Mereka meninggalkan tempat itu dan pulang ke tanah warisan mereka. 25  Pada masa itu, umat Israel belum mempunyai raja.+ Setiap orang melakukan apa yang dianggap benar dalam pandangannya sendiri.

Nota Kaki

Harfiah, “menari dalam bulatan.”