Hakim-Hakim 7:1-25

  • Gideon dan 300 orang askar (1-8)

  • Orang Midian dikalahkan (9-25)

    • “Pedang Yehuwa dan pedang Gideon!” (20)

    • Orang Midian dikacau-bilaukan (21, 22)

7  Kemudian Yerubaal, iaitu Gideon,+ dan semua askarnya bangun awal dan berkhemah dekat Mata Air Harod. Orang Midian pula sedang berkhemah di sebelah utara mereka, di dataran rendah dekat Bukit More. 2  Yehuwa berfirman kepada Gideon, “Askarmu terlalu banyak. Aku tidak mahu menyerahkan orang Midian ke dalam tangan mereka.+ Nanti orang Israel akan bercakap besar tentang diri sendiri di hadapan-Ku dengan berkata, ‘Aku meraih kemenangan dengan tanganku sendiri.’+ 3  Sekarang, umumkanlah kepada askar-askarmu: ‘Sesiapa yang takut dan gementar harus pulang ke rumahnya.’”+ Maka Gideon menguji mereka, lalu 22,000 orang askarnya pulang dan hanya 10,000 orang yang tinggal. 4  Tetapi Yehuwa berfirman kepada Gideon, “Askarmu masih terlalu banyak. Suruhlah mereka pergi ke anak sungai. Di situ, Aku akan memilih* mereka bagimu. Jika Aku berfirman, ‘Orang ini harus pergi bersamamu,’ dia harus pergi bersamamu. Tetapi jika Aku berfirman, ‘Orang ini tidak harus pergi bersamamu,’ maka dia tidak harus pergi.” 5  Lalu Gideon membawa semua askarnya ke anak sungai. Kemudian Yehuwa berfirman kepada Gideon, “Orang yang menghirup air daripada tangannya* harus engkau pisahkan daripada orang yang berlutut lalu membongkok untuk minum.” 6  Sebanyak 300 orang menghirup air daripada tangan mereka, sedangkan yang lain berlutut dan membongkok untuk minum. 7  Lalu Yehuwa berfirman kepada Gideon, “Dengan 300 orang yang menghirup air daripada tangan, Aku akan menyelamatkan kamu semua, dan Aku akan menyerahkan orang Midian ke dalam tanganmu.+ Suruhlah semua orang yang lain pulang.” 8  Maka, 300 orang itu mengambil bekalan makanan dan trompet daripada orang Israel yang lain. Kemudian, Gideon menyuruh semua orang Israel pulang, kecuali 300 orang itu. Ketika itu orang Midian berkhemah di dataran, di bawah tempat orang Israel berkhemah.+ 9  Pada malam itu Yehuwa berfirman kepada Gideon, “Bangunlah, pergilah menyerang perkhemahan musuh kerana Aku telah menyerahkan mereka ke dalam tanganmu.+ 10  Tetapi jika engkau takut untuk menyerang mereka, pergilah ke perkhemahan mereka bersama dengan hambamu Pura. 11  Dengarlah apa yang dikatakan oleh mereka, lalu engkau akan berani* untuk menyerang perkhemahan musuh.” Maka Gideon dan hambanya Pura pergi ke pinggir perkhemahan musuh. 12  Orang Midian, orang Amalek, dan semua orang yang datang dari sebelah timur+ tersebar di dataran itu seperti kawanan belalang. Unta mereka banyak sekali+ seperti pasir di pantai. 13  Apabila Gideon sampai di situ, dia mendengar seseorang sedang menceritakan mimpinya kepada seorang rakan. Orang itu berkata, “Aku bermimpi ada roti barli yang bulat bergolek ke dalam perkhemahan orang Midian. Roti itu melanggar sebuah khemah dengan begitu kuat sehingga khemah itu terbalik dan roboh sama sekali.”+ 14  Rakannya menjawab, “Itu pasti pedang Gideon+ anak Yoas, orang Israel itu. Tuhan telah menyerahkan orang Midian dan seluruh angkatan tentera kita ke dalam tangannya.”+ 15  Sebaik sahaja Gideon mendengar tentang mimpi orang itu dan makna mimpi itu,+ dia sujud menyembah Tuhan. Kemudian dia kembali ke perkhemahan orang Israel lalu berkata, “Bersedialah! Yehuwa sudah menyerahkan tentera Midian ke dalam tangan kamu.” 16  Selepas itu dia membahagikan 300 orang askarnya kepada tiga pasukan. Dia memberi setiap orang trompet+ dan bekas besar yang berisi obor. 17  Gideon berkata kepada mereka, “Perhatikanlah aku dan lakukan apa yang aku lakukan. Apabila aku sampai di pinggir perkhemahan musuh, buatlah apa yang aku buat. 18  Semasa aku dan semua orang yang bersama aku meniup trompet, kamu juga harus meniup trompet di sekeliling perkhemahan musuh dan berteriak, ‘Untuk Yehuwa dan untuk Gideon!’” 19  Gideon dan 100 orang yang mengikutnya datang ke pinggir perkhemahan musuh pada permulaan giliran jaga tengah malam.* Ketika itu, orang yang mengawal perkhemahan baru sahaja berganti giliran. Gideon dan pasukannya meniup trompet+ dan memecahkan bekas besar yang dipegang oleh mereka.+ 20  Ketiga-tiga pasukan orang Israel meniup trompet dan memecahkan bekas besar mereka. Mereka semua mengangkat obor dengan tangan kiri, dan memegang trompet dengan tangan kanan. Mereka meniup trompet dan berteriak, “Pedang Yehuwa dan pedang Gideon!” 21  Mereka tetap berdiri di tempat masing-masing di sekeliling perkhemahan itu. Seluruh angkatan tentera musuh melarikan diri sambil menjerit-jerit.+ 22  Tiga ratus orang itu terus meniup trompet, dan Yehuwa menyebabkan seluruh angkatan tentera musuh menyerang sesama sendiri dengan pedang.+ Mereka melarikan diri ke Bet-sita, kemudian ke Zerera, sampai ke sempadan Abel-mehola+ yang berdekatan Tabat. 23  Orang Israel daripada suku Naftali, suku Asyer, dan seluruh suku Manasye+ dipanggil, lalu mereka mengejar orang Midian. 24  Gideon mengutus orang ke seluruh kawasan pergunungan Efraim untuk menyampaikan pesanan berikut: “Mari turun untuk menyerang orang Midian. Pergilah mendahului mereka ke Bet-bara dan Sungai Yordan. Kawallah tempat-tempat itu supaya mereka tidak dapat menyeberangi sungai.” Maka semua orang Efraim berkumpul dan mengawal semua anak sungai sampai ke Bet-bara dan Sungai Yordan. 25  Mereka juga menangkap dua orang pemimpin bangsa Midian, iaitu Oreb dan Zeeb. Mereka membunuh Oreb di atas Batu Oreb,+ dan membunuh Zeeb di tempat memeras anggur Zeeb. Mereka terus mengejar orang Midian,+ lalu membawa kepala Oreb dan kepala Zeeb kepada Gideon di daerah Yordan.

Nota Kaki

Harfiah, “menguji.”
Harfiah, “Orang yang menjilat air dengan lidahnya seperti anjing menjilat air.”
Harfiah, “tanganmu akan menjadi kuat.”
Iaitu, kira-kira pukul 10 malam sehingga kira-kira pukul 2 pagi.