Hakim-Hakim 9:1-57

  • Abimelekh menjadi raja di Sikhem (1-6)

  • Perumpamaan Yotam (7-21)

  • Pemerintahan Abimelekh yang kejam (22-33)

  • Abimelekh menyerang Sikhem (34-49)

  • Wanita mencederakan Abimelekh; dia mati (50-57)

9  Pada suatu hari, Abimelekh+ anak Yerubaal pergi berjumpa dengan saudara-saudara lelaki ibunya di Sikhem. Dia berkata kepada mereka dan kepada seluruh keluarga datuknya,*  “Tanyalah semua pemimpin* Sikhem: ‘Yang manakah lebih baik? Diperintah oleh 70 orang anak lelaki Yerubaal+ atau diperintah oleh seorang saja? Ingatlah bahawa aku ada pertalian darah dengan kamu.’”  Maka, saudara-saudara lelaki ibunya menyampaikan kata-kata Abimelekh kepada semua pemimpin Sikhem, dan hati mereka tergerak untuk mengikut Abimelekh kerana mereka berkata, “Dia memang saudara kita.”  Lalu mereka memberi Abimelekh 70 keping wang perak dari kuil Baal-berit.+ Dia menggunakannya untuk mengupah beberapa orang biadab yang menganggur supaya menyertainya.  Selepas itu dia pergi ke rumah bapanya di Ofra+ lalu membunuh adik-beradiknya,+ iaitu 70 orang anak lelaki Yerubaal, di atas sebuah batu. Hanya Yotam, iaitu anak bongsu Yerubaal, yang terselamat kerana dia menyembunyikan dirinya.  Kemudian, semua pemimpin Sikhem dan semua penduduk Bet-milo berkumpul dekat pokok besar yang berhampiran tiang di Sikhem. Di situ mereka menabalkan Abimelekh sebagai raja.+  Apabila Yotam mendapat khabar tentang hal itu, dengan serta-merta dia pergi ke Gunung Gerizim+ dan berdiri di puncaknya. Dengan suara yang lantang, dia berseru kepada mereka, “Hai para pemimpin Sikhem, dengarlah apa yang ingin aku katakan, barulah Tuhan akan mendengarkan kamu.  “Pada suatu masa, pokok-pokok ingin melantik salah satu daripada mereka sebagai raja. Oleh itu mereka berkata kepada pokok zaitun, ‘Jadilah raja kami.’+  Tetapi pokok zaitun berkata kepada mereka, ‘Haruskah aku berhenti menghasilkan minyak* yang digunakan untuk memuliakan Tuhan dan manusia, semata-mata untuk mengayun-ayunkan dahanku di atas pokok lain?’ 10  Kemudian pokok-pokok itu berkata kepada pokok ara, ‘Jadilah raja kami.’ 11  Tetapi pokok ara berkata kepada mereka, ‘Haruskah aku berhenti menghasilkan buah yang manis, semata-mata untuk mengayun-ayunkan dahanku di atas pokok lain?’ 12  Setelah itu pokok-pokok itu berkata kepada pokok anggur, ‘Jadilah raja kami.’ 13  Tetapi pokok anggur itu menjawab, ‘Haruskah aku berhenti menghasilkan wain baharu yang menghiburkan hati Tuhan dan manusia, semata-mata untuk mengayun-ayunkan dahanku di atas pokok lain?’ 14  Akhirnya semua pokok itu berkata kepada pokok berduri, ‘Jadilah raja kami.’+ 15  Pokok berduri menjawab, ‘Jika kamu benar-benar ingin aku menjadi raja, marilah dan berlindung di bawah naunganku. Jika tidak, biarlah api keluar daripadaku dan menghanguskan pokok-pokok sedar di Lebanon.’ 16  “Jadi adakah kamu bertindak dengan tulus ikhlas semasa menabalkan Abimelekh sebagai raja?+ Adakah kamu menunjukkan kebaikan terhadap Yerubaal dan keluarganya? Adakah kamu memperlakukan dia dengan sepatutnya? 17  Semasa bapaku berjuang demi kamu,+ dia mempertaruhkan nyawanya agar kamu diselamatkan daripada tangan orang Midian.+ 18  Tetapi sekarang kamu memberontak terhadap keluarga bapaku dan membunuh 70 orang anak lelakinya di atas sebuah batu.+ Kemudian kamu menabalkan Abimelekh, anak kepada hamba perempuan bapaku,+ sebagai raja di Sikhem semata-mata kerana dia merupakan saudara kamu. 19  Sekarang jika kamu bertindak dengan tulus ikhlas terhadap Yerubaal dan keluarganya, bergembiralah dengan Abimelekh dan biarlah dia juga bergembira dengan kamu. 20  Tetapi jika tidak, biarlah api keluar daripada Abimelekh lalu menghanguskan para pemimpin Sikhem dan penduduk Bet-milo.+ Begitu juga, biarlah api keluar daripada para pemimpin Sikhem dan penduduk Bet-milo lalu menghanguskan Abimelekh.”+ 21  Kemudian Yotam+ melarikan diri ke Beer lalu tinggal di situ, kerana dia takut akan saudaranya Abimelekh. 22  Abimelekh memerintah* bangsa Israel selama tiga tahun. 23  Kemudian Tuhan membiarkan permusuhan timbul antara Abimelekh dengan pemimpin-pemimpin Sikhem, dan mereka mengkhianati Abimelekh. 24  Hal itu berlaku sebagai balasan atas keganasan yang telah menimpa 70 orang anak lelaki Yerubaal. Dengan ini, Abimelekh yang telah membunuh saudara-saudaranya, dan para pemimpin Sikhem yang telah membantunya dipertanggungjawabkan atas penumpahan darah itu.+ 25  Para pemimpin Sikhem menempatkan orang untuk melakukan serangan hendap terhadap Abimelekh di puncak-puncak gunung. Mereka akan merompak sesiapa sahaja yang melalui jalan itu. Kemudian, hal itu dilaporkan kepada Abimelekh. 26  Selepas itu, Gaal anak Ebed dan saudara-saudaranya berpindah ke Sikhem.+ Para pemimpin Sikhem percaya kepadanya. 27  Penduduk Sikhem pergi ke ladang dan mengumpulkan buah-buah anggur. Mereka memeras anggur untuk menghasilkan wain lalu mengadakan pesta. Selepas itu, mereka makan dan minum serta mengutuk Abimelekh di kuil* dewa mereka.+ 28  Kemudian Gaal anak Ebed berkata, “Siapakah Abimelekh dan siapakah Sikhem* sehingga kita harus menjadi hamba mereka? Bukankah dia anak Yerubaal+ dan bukankah Zebul itu wakilnya? Lebih baik kita menjadi hamba keturunan Hamor, bapa Sikhem! Mengapakah kita harus menjadi hamba Abimelekh? 29  Andai kata aku memerintah penduduk kota ini, aku akan menyingkirkan Abimelekh.” Kemudian dia mencabar Abimelekh dengan berkata, “Tambahkan anggota tentera kamu dan keluarlah untuk berperang!” 30  Apabila Zebul, pemimpin kota Sikhem, mendengar tentang apa yang dikatakan oleh Gaal anak Ebed, dia berasa sangat marah. 31  Maka dia memperdaya Gaal dan* mengutus orang untuk menyampaikan pesan berikut kepada Abimelekh, “Lihatlah! Gaal anak Ebed dan saudara-saudaranya sedang berada di Sikhem. Mereka menghasut penduduk kota ini untuk menentangmu. 32  Oleh itu, hendaklah tuan dan pengikut tuan berangkat pada waktu malam lalu bersembunyi dan tunggu di luar kota. 33  Esok pagi, apabila matahari terbit, tuan harus bangun awal lalu menyerang kota itu. Apabila Gaal dan pengikutnya keluar untuk melawan tuan, lakukanlah apa sahaja untuk mengalahkannya.” 34  Maka Abimelekh dan semua pengikutnya berangkat pada waktu malam. Mereka dibahagikan kepada empat pasukan lalu mereka menghendap di luar kota Sikhem. 35  Apabila Gaal anak Ebed keluar dan berdiri di pintu gerbang kota itu, Abimelekh dan pengikutnya keluar dari tempat persembunyian mereka. 36  Semasa Gaal nampak mereka, dia berkata kepada Zebul, “Lihatlah! Ada orang yang turun dari puncak-puncak gunung.” Tetapi Zebul menjawab, “Ah, itu cuma bayang-bayang gunung yang nampaknya seperti orang!” 37  Gaal berkata lagi, “Lihatlah! Ada orang yang turun dari kawasan di tengah-tengah negeri ini, dan ada sekumpulan orang yang datang melalui jalan pokok besar Meonenim.” 38  Zebul menjawab, “Kamu bercakap besar dengan berkata, ‘Siapakah Abimelekh sehingga kita harus menjadi hambanya?’+ Bukankah mereka itu orang yang kamu hina? Sekarang pergilah dan lawanlah mereka.” 39  Oleh itu, Gaal maju di depan para pemimpin Sikhem lalu menyerang Abimelekh. 40  Tetapi Abimelekh mengejar Gaal, lalu Gaal melarikan diri daripadanya. Banyak orang rebah dan mati di sepanjang jalan, sampai ke depan pintu gerbang kota. 41  Selepas itu Abimelekh terus tinggal di Aruma, manakala Zebul+ pula mengusir Gaal dan saudara-saudaranya dari Sikhem. 42  Keesokan harinya, Abimelekh mendapat tahu bahawa penduduk Sikhem telah pergi ke luar kota. 43  Oleh itu, dia membawa pengikutnya dan membahagikan mereka kepada tiga kumpulan. Mereka bersembunyi dan menunggu di luar kota. Apabila dia nampak orang keluar dari kota, dia menyerang lalu membunuh mereka. 44  Abimelekh dan kumpulan yang bersamanya terus menyerbu pintu gerbang kota dan berkawal di situ. Dua kumpulan yang lain pula menyerang dan membunuh semua orang yang berada di luar kota. 45  Abimelekh menyerang kota itu sepanjang hari dan menawannya. Dia membunuh penduduk kota itu. Kemudian dia menghancurkan kota itu+ dan menaburinya dengan garam. 46  Apabila semua pemimpin di menara Sikhem mendengar tentang hal itu, mereka segera pergi ke tempat persembunyian* yang terletak di kuil El-berit.+ 47  Sebaik sahaja Abimelekh mendengar bahawa semua pemimpin di menara Sikhem telah berkumpul, 48  dia dan semua pengikutnya naik ke Gunung Zalmon. Abimelekh mengambil kapak lalu memotong dahan kayu daripada sebatang pokok dan memikul dahan kayu itu. Dia berkata kepada pengikutnya, “Cepatlah buat apa yang telah aku lakukan!” 49  Maka semua pengikutnya memotong dahan kayu lalu mengikut Abimelekh. Kemudian mereka meletakkan dahan-dahan kayu itu di sekeliling tempat persembunyian lalu membakar tempat itu. Semua penduduk dari menara Sikhem telah mati—kira-kira 1,000 orang lelaki dan perempuan. 50  Selepas itu Abimelekh pergi ke Tebes. Dia berkhemah di Tebes lalu menawan kota itu. 51  Di tengah-tengah kota itu terdapat sebuah menara yang kukuh. Semua lelaki dan perempuan serta semua pemimpin di kota itu melarikan diri ke menara itu. Mereka mengunci pintu dari dalam lalu naik ke bumbung menara itu. 52  Abimelekh pergi ke menara itu dan menyerangnya. Dia mendekati pintu menara itu untuk membakarnya. 53  Kemudian seorang wanita menjatuhkan sebuah batu kisaran ke atas kepala Abimelekh sehingga tengkoraknya retak.+ 54  Dia segera memanggil pembantu yang membawa senjatanya lalu berkata kepadanya, “Hunuslah pedangmu dan bunuhlah aku, supaya orang tidak berkata, ‘Seorang wanita telah membunuhnya.’” Maka pembantu itu menikamnya, lalu dia mati. 55  Apabila orang Israel nampak bahawa Abimelekh sudah mati, mereka semua pulang ke rumah. 56  Demikianlah Tuhan membalas kejahatan yang dilakukan oleh Abimelekh terhadap bapanya, kerana dia telah membunuh 70 orang saudaranya.+ 57  Tuhan juga menyebabkan penduduk Sikhem ditimpa segala perbuatan jahat mereka sendiri, seperti yang dikatakan oleh Yotam+ anak Yerubaal+ ketika dia mengutuk mereka.

Nota Kaki

Harfiah, “keluarga bapa kepada ibunya.”
Atau mungkin, “pemilik tanah.”
Atau “buah.”
Atau “menjadikan dirinya penguasa.”
Harfiah, “rumah.”
Mungkin merujuk kepada Zebul, iaitu wakil Sikhem.
Atau “dia secara rahsia.”
Atau “kubu.”