Hosea 1:1-11

  • Isteri Hosea dan anak-anak yang dilahirkannya (1-9)

    • Yizreel (4), Lo-ruhama (6), dan Lo-ami (9)

  • Harapan untuk dipersatukan semula (10, 11)

1  Hosea* anak Beeri telah menerima perkhabaran daripada Yehuwa. Hal itu berlaku pada zaman pemerintahan raja-raja Yehuda,+ iaitu Uzia,+ Yotam,+ Ahas,+ dan Hizkia,+ dan pada zaman pemerintahan raja Israel, iaitu Yerobeam+ anak Yoas.+ 2  Semasa Yehuwa berfirman kepada umat-Nya melalui Hosea buat kali pertama, Yehuwa berfirman kepada Hosea, “Berkahwinlah dengan seorang wanita yang akan menjadi pelacur, dan yang akan melahirkan anak-anak daripada pelacurannya.* Hal ini demikian kerana umat Israel sudah menjadi seperti pelacur dan bertindak tidak setia terhadap Aku, Yehuwa.”+ 3  Oleh itu Hosea mengahwini Gomer, anak perempuan Diblaim. Kemudian Gomer mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. 4  Yehuwa berfirman kepada Hosea, “Namakanlah anak itu Yizreel,* kerana tidak lama lagi, Aku akan menghukum keluarga Yehu+ atas pembunuhan yang dilakukannya di Yizreel. Aku akan mengakhiri pemerintahan kerajaan Israel.+ 5  Pada masa itu, Aku akan menghancurkan busur Israel di Lembah* Yizreel.” 6  Kemudian Gomer mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak perempuan. Tuhan berfirman kepada Hosea, “Namakanlah anak itu Lo-ruhama,* kerana Aku tidak akan lagi menunjukkan belas kasihan+ terhadap Israel. Aku pasti akan mengusir mereka.+ 7  Tetapi Aku akan menunjukkan belas kasihan terhadap Yehuda.+ Aku, Yehuwa, Tuhan mereka, akan menyelamatkan mereka,+ tetapi bukan melalui peperangan dan bukan dengan busur atau pedang atau kuda atau penunggang kuda.”+ 8  Selepas Lo-ruhama cerai susu, Gomer mengandung sekali lagi lalu melahirkan seorang anak lelaki. 9  Tuhan berfirman kepada Hosea, “Namakanlah anak itu Lo-ami,* kerana orang Israel bukan umat-Ku, dan Aku bukan Tuhan mereka. 10  “Tetapi pada kemudian hari, orang Israel akan menjadi sangat banyak seperti pasir di pantai, yang tidak dapat dihitung.+ Dahulu Aku pernah berkata kepada mereka, ‘Kamu bukan umat-Ku,’+ tetapi akan tiba masanya mereka akan disebut ‘anak-anak Tuhan yang hidup.’+ 11  Orang Yehuda dan orang Israel akan dipersatukan semula,+ dan mereka akan melantik seorang ketua lalu mereka akan keluar dari negeri itu. Sesungguhnya hari itu akan menjadi suatu hari yang besar bagi Yizreel.+

Nota Kaki

Singkatan bagi Hoshaiah, yang bermaksud “Diselamatkan oleh Yah; Yah Telah Menyelamatkan.”
Atau “daripada perbuatan seks tidak bermoral yang dilakukannya.”
Maksudnya “Tuhan Akan Menabur Benih.”
Atau “Dataran Rendah.”
Maksudnya “Tidak Dikasihani.”
Maksudnya “Bukan Umat-Ku.”