Surat kepada Orang Ibrani 3:1-19
3 Oleh itu, saudara-saudara yang suci, yang sama-sama dipanggil* ke syurga,+ fikirkanlah secara mendalam tentang Yesus, yang kita akui sebagai rasul dan imam agung.+
2 Dia setia kepada Tuhan yang melantiknya,+ sepertimana Musa juga berkhidmat dengan setia kepada Tuhan di dalam rumah Tuhan.*+
3 Orang yang membina sebuah rumah mendapat penghormatan yang lebih besar+ daripada rumah itu sendiri. Demikian juga, Yesus layak mendapat kemuliaan yang lebih besar daripada Musa.
4 Sudah tentu setiap rumah dibina oleh seseorang, tetapi Tuhanlah yang membina segala sesuatu.
5 Musa berkhidmat dengan setia di dalam rumah Tuhan* sebagai seorang hamba, dan khidmatnya menjadi kesaksian kepada hal-hal yang akan disingkapkan kelak.
6 Tetapi Kristus menjaga rumah Tuhan dengan setia sebagai anak Tuhan.+ Kitalah rumah Tuhan+ jika kita tetap bercakap dengan berani* dan berpegang teguh pada harapan yang kita banggakan sampai ke akhir.
7 Oleh itu, seperti yang dikatakan menerusi kuasa suci Tuhan,+ “Hari ini, jika kamu mendengar suara-Ku,
8 janganlah keraskan hati kamu seperti nenek moyang kamu yang membuat Aku sangat murka pada hari mereka menguji Aku di padang belantara.+
9 Di situ nenek moyang kamu sudah melihat perbuatan-Ku selama 40 tahun,+ tetapi mereka masih menguji dan mencubai Aku.
10 Itulah sebabnya Aku berasa jijik terhadap generasi itu dan berfirman, ‘Mereka selalu mengingkari perintah-Ku dalam hati mereka, dan mereka tidak mengenal jalan-jalan-Ku.’
11 Maka Aku murka dan bersumpah, ‘Mereka tidak akan menikmati hari rehat-Ku.’”+
12 Saudara-saudara, berhati-hatilah supaya tidak ada seorang pun dalam kalangan kamu yang meninggalkan Tuhan yang hidup sehingga mempunyai hati yang jahat dan tidak beriman.+
13 Teruslah menggalakkan satu sama lain setiap hari selagi masa yang disebut “Hari Ini”+ masih ada. Dengan demikian, tidak ada seorang pun dalam kalangan kamu yang menjadi keras hati disebabkan tipu daya dosa.
14 Kita akan menerima apa yang juga diterima oleh Kristus hanya jika kita berpegang teguh pada keyakinan yang kita miliki pada mulanya, dan berbuat demikian sampai akhir.+
15 Ada tertulis, “Hari ini, jika kamu mendengar suara-Ku, janganlah keraskan hati kamu seperti nenek moyang kamu semasa mereka membuat Aku sangat murka.”+
16 Siapakah yang mendengar kata-kata ini tetapi masih membuat Tuhan sangat murka? Bukankah mereka semua yang keluar dari Mesir di bawah pimpinan Musa?+
17 Selain itu, terhadap siapakah Tuhan berasa jijik selama 40 tahun?+ Bukankah terhadap mereka yang berdosa, iaitu mereka yang mati di padang belantara?+
18 Siapakah yang dimaksudkan oleh Tuhan ketika Dia bersumpah, “Mereka tidak akan menikmati hari rehat-Ku”? Bukankah orang yang dimaksudkan itu orang yang mengingkari-Nya?
19 Maka jelaslah bahawa mereka tidak dapat menikmati hari rehat Tuhan kerana mereka tidak beriman.+