Ibrani 7:1-28

  • Melkisedek, raja dan imam yang istimewa (1-10)

  • Kristus ialah imam yang lebih agung (11-28)

    • Kristus pasti dapat menyelamatkan orang (25)

7  Melkisedek ialah raja Salem, dan dia ialah imam Tuhan Yang Maha Tinggi. Dia bertemu dengan Abraham dan memberkatinya ketika Abraham kembali setelah menewaskan raja-raja.+  Kemudian Abraham memberinya satu persepuluh daripada segala harta rampasan perang. Nama Melkisedek diterjemahkan sebagai “Raja yang Berbuat Benar.” Dia ialah raja Salem, dan raja Salem bermaksud “Raja Kedamaian.”  Tidak ada catatan tentang ibu bapanya ataupun salasilah nenek moyangnya, dan tidak ada catatan tentang kelahiran dan kematiannya. Dia dijadikan seperti Anak Tuhan dan merupakan imam untuk selama-lamanya.+  Lihatlah betapa pentingnya kedudukan Melkisedek sehingga Abraham, bapa bangsa* kita, telah memberi dia satu persepuluh daripada harta rampasan perang yang terbaik.+  Menurut Hukum, keturunan Lewi+ yang dilantik sebagai imam diperintahkan untuk memungut persepuluhan daripada umat Israel,+ iaitu saudara-saudara mereka, walaupun saudara-saudara mereka itu juga keturunan Abraham.  Melkisedek bukan keturunan Lewi, tetapi dia menerima persepuluhan daripada Abraham, dan dia telah memberkati lelaki yang telah menerima janji-janji Tuhan itu.+  Memang tidak dapat dinafikan bahawa orang yang berkedudukan rendah diberkati oleh orang yang berkedudukan tinggi.  Orang Lewi yang menerima persepuluhan merupakan manusia yang akan mati. Tetapi Ayat-Ayat Suci membuktikan bahawa Melkisedek yang telah menerima persepuluhan terus hidup.+  Boleh dikatakan bahawa Lewi, iaitu dia yang menerima persepuluhan, juga telah membayar persepuluhan melalui Abraham. 10  Hal ini demikian kerana Lewi sudah berada dalam* Abraham, nenek moyangnya, semasa Melkisedek berjumpa dengan Abraham.+ 11  Imam-imam Lewi merupakan suatu aturan yang disediakan dalam hukum yang diberikan kepada umat Israel. Andai kata imam-imam daripada keturunan Lewi+ dapat membawa kesempurnaan, adakah kita masih memerlukan seorang imam seperti Melkisedek?+ Bukankah imam seperti Harun sudah memadai? 12  Tetapi memandangkan aturan tersebut sudah diubah, Hukum juga mesti diubah.+ 13  Lelaki yang dimaksudkan di sini berasal daripada suku yang lain, dan tidak ada seorang pun daripada sukunya yang pernah bertugas di mazbah.+ 14  Jelaslah bahawa Tuan kita berasal daripada keturunan Yehuda.+ Namun Musa tidak pernah mengatakan bahawa imam-imam akan datang daripada suku itu. 15  Hal-hal ini akan menjadi lebih jelas semasa seorang imam lain+ seperti Melkisedek+ muncul. 16  Dia menjadi imam, bukan menurut syarat yang ditetapkan dalam hukum atau berdasarkan keturunannya, tetapi melalui kuasa yang membolehkannya mendapat kehidupan yang tidak dapat musnah.+ 17  Mengenainya, salah satu ayat menyatakan, “Engkau ialah seorang imam seperti Melkisedek,+ dan engkau akan menjadi imam untuk selama-lamanya.” 18  Oleh itu, peraturan sebelum ini telah dibatalkan kerana peraturan itu lemah dan tidak berkesan.+ 19  Hukum tidak dapat menyempurnakan apa-apa pun.+ Tetapi Tuhan telah membawa satu harapan yang lebih baik,+ yang dapat menyempurnakan segala sesuatu. Melalui harapan ini, kita sedang mendekati Tuhan.+ 20  Tambahan pula, Tuhan telah bersumpah semasa melantik Yesus sebagai imam. 21  (Memang, Tuhan tidak bersumpah semasa sesetengah orang menjadi imam. Tetapi Tuhan telah bersumpah semasa melantik Yesus menjadi imam. Mengenainya, Tuhan berfirman, “Aku, Yehuwa,* telah bersumpah, dan Aku tidak akan mengubah fikiran-Ku,* ‘Engkau ialah imam buat selama-lamanya.’”)+ 22  Dengan demikian, Yesus menjadi jaminan bagi satu perjanjian yang lebih baik.+ 23  Selain itu, para imam akan mati dan tidak dapat meneruskan tugas mereka.+ Oleh sebab itu, orang lain harus menggantikan mereka dan menjalankan tugas mereka. 24  Tetapi memandangkan Yesus hidup untuk selama-lamanya,+ tugasnya sebagai imam tidak akan digantikan oleh orang lain. 25  Maka, dia pasti dapat menyelamatkan orang yang mendekati Tuhan melaluinya, kerana dia sentiasa hidup dan dapat membuat permohonan bagi mereka.+ 26  Memang sesuai bagi kita untuk mempunyai imam agung sebegini: Dia setia, tidak bersalah, tidak tercemar,+ terasing daripada pendosa, dan diangkat lebih tinggi daripada langit.+ 27  Dia tidak seperti imam-imam agung lain yang harus mempersembahkan korban setiap hari,+ mula-mula untuk dosa sendiri dan kemudian untuk dosa umat.+ Dia mempersembahkan korban sekali sahaja, iaitu semasa dia mempersembahkan dirinya sebagai korban, dan korbannya telah membawa manfaat kepada orang buat selama-lamanya.+ 28  Orang yang dilantik menjadi imam agung menerusi Hukum mempunyai kelemahan.+ Tetapi anak yang dilantik itu dijadikan sempurna untuk selama-lamanya.+ Dia dilantik menerusi janji Tuhan yang disertai sumpah,+ yang diberikan selepas Hukum.

Nota Kaki

Atau “kepala keluarga.”
Iaitu, dia bakal dilahirkan sebagai keturunan Abraham.
Atau “tidak akan menyesal.”