Imamat 10:1-20
10 Tidak lama kemudian, anak-anak Harun, iaitu Nadab dan Abihu,+ mengambil bekas perbaraan masing-masing, mengisinya dengan bara api, dan membubuh kemenyan+ ke atas bara api itu. Mereka mempersembahkannya kepada Yehuwa, walaupun mereka tidak diperintahkan untuk berbuat demikian. Oleh itu, persembahan yang diberikan oleh mereka itu haram.+
2 Maka Yehuwa menurunkan api untuk membinasakan mereka.+ Dengan itu mereka berdua mati di hadapan Yehuwa.+
3 Kemudian Musa berkata kepada Harun, “Inilah firman Yehuwa: ‘Orang yang mendekati Aku mesti menghormati kesucian-Ku.+ Aku mesti dimuliakan di hadapan semua orang.’” Tetapi Harun diam sahaja.
4 Musa memanggil Misael dan Elsafan, iaitu anak-anak Uziel,+ bapa saudara Harun, lalu berkata kepada mereka, “Datanglah ke sini dan bawalah mayat saudara kamu ini keluar dari halaman khemah suci, lalu letakkan mayat mereka di luar perkhemahan.”
5 Oleh itu, mereka pun datang dan membawa mayat-mayat yang masih memakai jubah itu ke luar perkhemahan, seperti yang diperintahkan oleh Musa.
6 Kemudian Musa berkata kepada Harun dan anak-anaknya, Eleazar dan Itamar, “Jangan biarkan rambut kamu kusut dan jangan koyakkan pakaian kamu.+ Dengan demikian, kamu tidak akan mati dan Tuhan tidak akan menjadi murka terhadap seluruh umat. Tetapi semua orang Israel yang lain akan meratapi kematian mereka berdua yang telah dibinasakan oleh api yang diturunkan oleh Yehuwa.
7 Kamu mesti berada di hadapan pintu masuk khemah pertemuan agar kamu tidak mati. Hal ini demikian kerana kamu sudah diurapi dengan minyak suci Yehuwa.”+ Mereka melakukan segala yang diperintahkan oleh Musa.
8 Yehuwa berfirman kepada Harun,
9 “Janganlah engkau dan anak-anak lelakimu masuk ke dalam khemah pertemuan setelah meminum wain atau minuman keras yang lain.+ Jika kamu masuk, kamu akan mati. Engkau dan keturunanmu harus sentiasa mematuhi peraturan ini.
10 Dengan demikian kamu dapat membezakan apa yang suci daripada apa yang tidak suci, dan apa yang najis daripada apa yang tidak najis.+
11 Selain itu, kamu juga dapat mengajar umat Israel tentang semua perintah yang telah Aku, Yehuwa, berikan kepada mereka melalui Musa.”+
12 Kemudian Musa berkata kepada Harun dan anak-anaknya yang masih hidup, iaitu Eleazar dan Itamar, “Daripada korban-korban yang dibakar untuk Yehuwa, ambillah lebihan korban bijirin dan jadikannya roti yang tidak beragi. Makanlah roti itu dekat mazbah+ kerana korban itu merupakan sesuatu yang sangat suci.+
13 Kamu harus memakannya di halaman khemah suci+ kerana bahagian itu telah diberikan kepada kamu dan anak-anak lelaki kamu. Bahagian itu diambil daripada korban-korban yang dibakar untuk Yehuwa. Semua itu merupakan perintah Tuhan kepadaku.
14 Tetapi kamu dan anak-anak kamu, baik lelaki mahupun perempuan, boleh memakan dada binatang yang telah diayunkan sebagai korban dan kaki binatang yang dikhaskan untuk para imam,+ di tempat yang suci. Hal ini demikian kerana itulah bahagian yang telah diberikan kepada kamu dan anak-anak kamu+ semasa orang Israel mempersembahkan korban pendamaian.
15 Bersama dengan lemak binatang yang akan dibakar, umat Israel harus membawa kaki binatang yang dikhaskan untuk para imam dan dada binatang yang akan diayunkan sebagai korban. Mereka harus mengayunkan semua itu ke depan dan belakang sebagai korban untuk Yehuwa. Dada dan kaki binatang itu akan sentiasa menjadi milik kamu dan anak-anak lelaki kamu,+ seperti yang telah diperintahkan oleh Yehuwa.”
16 Selepas itu, Musa mencari kambing yang dipersembahkan sebagai korban dosa,+ tetapi dia mendapati bahawa kambing itu sudah habis dibakar. Oleh itu dia marah terhadap Eleazar dan Itamar, anak-anak lelaki Harun yang masih hidup. Dia berkata kepada mereka,
17 “Mengapa kamu tidak memakan korban dosa itu di tempat yang suci?+ Korban itu merupakan sesuatu yang sangat suci. Korban itu sudah diberikan kepada kamu supaya kamu akan menanggung dosa umat Israel dan memohon pengampunan dosa bagi pihak mereka di hadapan Yehuwa.
18 Darah binatang itu tidak dibawa ke dalam khemah suci.+ Maka kamu seharusnya memakan korban itu di halaman khemah suci, seperti yang telah diperintahkan kepadaku.”
19 Harun menjawab, “Hari ini, mereka telah mempersembahkan korban dosa dan korban bakar mereka kepada Yehuwa.+ Namun perkara buruk ini telah berlaku kepadaku. Jika aku memakan korban itu pada hari ini, adakah hal itu akan menyenangkan hati Yehuwa?”
20 Apabila Musa mendengar jawapan itu, dia berpuas hati.