Imamat 11:1-47
-
Binatang haram dan tidak haram (1-47)
11 Yehuwa berfirman kepada Musa dan Harun,
2 “Beritahulah umat Israel, ‘Inilah binatang darat yang boleh dimakan:+
3 Semua binatang yang kukunya terbelah sepenuhnya dan yang memamah biak* boleh dimakan.
4 “‘Tetapi kamu tidak boleh makan binatang yang hanya memamah biak atau yang hanya mempunyai kuku yang terbelah sepenuhnya. Jangan makan unta kerana unta memamah biak tetapi tidak mempunyai kuku yang terbelah sepenuhnya. Binatang itu harus dianggap haram.+
5 Jangan makan tikus gunung*+ kerana tikus gunung memamah biak tetapi tidak mempunyai kuku yang terbelah sepenuhnya. Binatang itu harus dianggap haram.
6 Jangan makan arnab* kerana arnab memamah biak tetapi tidak mempunyai kuku yang terbelah sepenuhnya. Binatang itu harus dianggap haram.
7 Jangan makan babi+ kerana babi mempunyai kuku yang terbelah sepenuhnya tetapi tidak memamah biak. Binatang itu harus dianggap haram.
8 Jangan makan binatang-binatang itu dan jangan sentuh bangkainya. Binatang-binatang itu harus dianggap haram.+
9 “‘Inilah hidupan air yang boleh dimakan: Ikan yang mempunyai sirip dan sisik, sama ada ikan di laut atau ikan di sungai.+
10 Tetapi apa sahaja ikan dan binatang kecil yang hidup berkelompok di laut atau di sungai, yang tidak mempunyai sirip atau sisik, harus dianggap haram
11 dan menjijikkan. Jangan makan daging+ binatang-binatang itu. Bangkai binatang-binatang itu juga merupakan sesuatu yang menjijikkan.
12 Semua hidupan air yang tidak mempunyai sirip atau sisik merupakan sesuatu yang menjijikkan bagi kamu.
13 “‘Inilah makhluk terbang yang harus dianggap sebagai sesuatu yang menjijikkan dan tidak boleh dimakan: Burung rajawali,+ burung helang laut, burung nasar,+
14 burung lang merah dan semua jenis burung lang hitam,
15 semua jenis burung gagak,
16 burung unta, burung hantu, burung camar, semua jenis burung falkon,
17 burung hantu kecil, burung hantu bertelinga panjang, burung dendang air,
18 burung swan, burung undan, burung hering,
19 burung bangau, semua jenis burung pucung, burung hudhud, dan kelawar.
20 Semua jenis serangga bersayap yang boleh merayap merupakan sesuatu yang haram bagi kamu.
21 “‘Daripada segala jenis serangga bersayap yang boleh merayap, kamu hanya boleh makan serangga yang mempunyai kaki untuk melompat di atas tanah.
22 Inilah serangga yang boleh dimakan: Belalang biasa, cengkerik, dan pelbagai jenis belalang juta.+
23 Semua jenis serangga bersayap lain yang boleh merayap merupakan sesuatu yang haram bagi kamu.
24 Sesiapa yang makan serangga itu akan dianggap najis. Sesiapa yang menyentuh bangkai serangga-serangga itu akan dianggap najis sehingga matahari terbenam.+
25 Jika bangkai serangga itu terkena pada pakaian seseorang, orang itu mesti mencuci pakaiannya.+ Dia akan dianggap najis sehingga matahari terbenam.
26 “‘Semua binatang yang kukunya tidak terbelah sepenuhnya dan yang tidak memamah biak harus dianggap haram. Sesiapa yang menyentuh bangkai binatang-binatang itu akan dianggap najis.+
27 Semua makhluk hidup yang berkaki empat dan yang mempunyai cakar* harus dianggap haram. Sesiapa yang menyentuh bangkai binatang-binatang itu akan dianggap najis sehingga matahari terbenam.
28 Sesiapa yang membawa bangkai binatang-binatang itu mesti mencuci pakaiannya,+ dan dia akan dianggap najis sehingga matahari terbenam.+ Binatang-binatang itu harus dianggap haram.
29 “‘Inilah binatang kecil yang hidup berkelompok yang harus dianggap haram: Tikus mondok, tikus biasa,+ semua jenis cicak,
30 salamander, biawak, cicak pasir, sumpah-sumpah, dan cicak biasa.
31 Binatang-binatang kecil yang hidup berkelompok itu harus dianggap haram.+ Sesiapa yang menyentuh bangkai binatang-binatang itu akan dianggap najis sehingga matahari terbenam.+
32 “‘Jika bangkai itu jatuh ke atas sesuatu benda, sama ada perkakas kayu, kain, kulit, atau kain guni, benda itu akan dianggap najis. Benda itu mesti dicuci dengan air dan akan dianggap najis sehingga matahari terbenam. Selepas itu, benda tersebut akan menjadi bersih semula.
33 Jika bangkai itu jatuh ke dalam bekas tanah liat, bekas itu harus dipecahkan. Semua yang ada di dalam bekas itu akan dianggap najis.+
34 Makanan yang terkena air daripada bekas seperti itu akan dianggap najis, dan minuman di dalam bekas seperti itu juga akan dianggap najis.
35 Semua benda yang terkena bangkai binatang-binatang itu akan dianggap najis. Jika benda itu ketuhar atau dapur arang kecil, benda itu harus dipecahkan. Benda-benda itu dianggap najis dan tidak dapat menjadi bersih semula.
36 Tetapi mata air dan kolam tidak akan dianggap najis walaupun bangkai binatang-binatang itu terjatuh ke dalamnya. Namun sesiapa yang menyentuh bangkai binatang-binatang itu akan dianggap najis.
37 Jika bangkai itu terjatuh ke atas benih yang akan ditanam, benih itu tidak akan dianggap najis.
38 Tetapi jika bangkai itu terjatuh ke atas benih yang sudah disiram air, benih itu akan dianggap najis.
39 “‘Jika binatang yang boleh dimakan mati, lalu seseorang menjumpai dan menyentuh bangkainya, orang itu akan dianggap najis sehingga matahari terbenam.+
40 Sesiapa yang makan bahagian apa pun daripada bangkai binatang itu harus mencuci pakaiannya. Dia akan dianggap najis sehingga matahari terbenam.+ Sesiapa yang membawa bangkai itu harus mencuci pakaiannya dan dia akan dianggap najis sehingga matahari terbenam.
41 Semua binatang kecil di darat yang hidup berkelompok merupakan sesuatu yang menjijikkan.+ Jangan makan binatang-binatang itu.
42 Jangan makan binatang yang menjalar, binatang yang berjalan dengan empat kaki, atau binatang kecil yang mempunyai banyak kaki. Hal ini demikian kerana binatang-binatang itu merupakan sesuatu yang menjijikkan.+
43 Jangan mencemarkan dan menajiskan diri kamu dengan memakan binatang-binatang itu.+
44 Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.+ Kamu semua mesti tetap bersih dan suci+ kerana Aku suci.+ Maka jangan menajiskan diri kamu dengan memakan binatang-binatang itu.
45 Akulah Yehuwa. Aku telah membawa kamu keluar dari Mesir supaya Aku dapat menjadi Tuhan kamu.+ Kamu semua mesti suci+ kerana Aku suci.+
46 “‘Demikianlah peraturan-peraturan mengenai binatang darat, makhluk terbang, hidupan air, dan binatang kecil di darat yang hidup berkelompok.
47 Dengan itu, kamu dapat membezakan binatang yang haram daripada binatang yang tidak haram, dan binatang yang boleh dimakan daripada binatang yang tidak boleh dimakan.’”+
Nota Kaki
^ Mengunyah semula makanan yang sudah ditelan.
^ Atau “hyrax.” Sejenis binatang yang tinggal di kawasan berbatu. Rupanya seperti tikus belanda yang besar.
^ Harfiah, “kelinci.” Binatang yang menyerupai arnab tetapi mempunyai telinga dan kaki yang lebih besar.
^ Termasuk binatang seperti singa, beruang, dan serigala.