Imamat 12:1-8
-
Penyucian selepas bersalin (1-8)
12 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa,
2 “Beritahulah umat Israel, ‘Apabila seorang wanita mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki, wanita itu dianggap najis selama tujuh hari, sama seperti keadaannya yang tidak suci pada masa haidnya.+
3 Pada hari kelapan, anaknya mesti disunat.+
4 Wanita itu mesti terus menyucikan diri daripada pendarahannya selama 33 hari lagi. Dia tidak boleh menyentuh apa-apa yang suci, dan dia tidak boleh masuk ke tempat yang suci sehingga masa penyuciannya selesai.
5 “‘Jika wanita itu melahirkan seorang anak perempuan, wanita itu dianggap najis selama 14 hari, sama seperti keadaannya yang tidak suci pada masa haidnya. Wanita itu mesti terus menyucikan diri daripada pendarahannya selama 66 hari lagi.
6 Apabila masa penyuciannya selesai, baik untuk kelahiran anak lelaki mahupun kelahiran anak perempuan, dia harus membawa korban ke hadapan pintu masuk khemah pertemuan dan menyerahkannya kepada imam. Dia harus membawa seekor bebiri jantan yang berumur satu tahun untuk korban bakar,+ dan seekor burung tekukur atau burung merpati yang muda untuk korban dosa.
7 Imam akan mempersembahkan korban itu kepada Yehuwa dan memohon pengampunan dosa bagi pihak wanita itu. Dengan itu wanita tersebut akan disucikan daripada pendarahannya. Demikianlah peraturan mengenai wanita yang melahirkan anak lelaki atau anak perempuan.
8 Namun jika wanita itu tidak mampu mempersembahkan seekor bebiri, dia harus mempersembahkan dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati yang muda,+ seekor untuk korban bakar dan seekor lagi untuk korban dosa. Imam akan memohon pengampunan dosa bagi pihak wanita itu lalu dia akan menjadi suci.’”