Imamat 13:1-59

  • Peraturan tentang kusta (1-46)

  • Kulapuk pada pakaian (47-59)

13  Yehuwa berfirman kepada Musa dan Harun,  “Jika seseorang mempunyai bengkak, keruping, atau tompok pada kulitnya, yang mungkin menjadi penyakit kusta,*+ orang itu harus dibawa menghadap Harun atau imam keturunan Harun.+  Imam harus memeriksa bahagian kulit yang terjangkit itu. Jika bulu roma di situ sudah menjadi putih dan bahagian itu lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, maka itu ialah penyakit kusta. Imam yang memeriksa orang itu harus mengumumkan bahawa orang itu najis.  Tetapi jika bahagian pada kulitnya itu sudah menjadi putih dan tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, dan bulu romanya tidak menjadi putih, imam harus mengasingkan orang itu selama tujuh hari.+  Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa orang itu lagi. Jika imam mendapati bahawa keadaan kulit pada bahagian itu tidak berubah dan jangkitan itu tidak merebak, imam harus mengasingkan orang itu selama tujuh hari lagi.  “Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa orang itu lagi. Jika bahagian kulit yang terjangkit itu sudah mula sembuh dan jangkitan itu tidak merebak, imam harus mengumumkan bahawa orang itu sudah tahir.+ Jangkitan itu merupakan sesuatu yang tidak berbahaya. Orang itu mesti mencuci pakaiannya lalu dia akan menjadi bersih.  Tetapi jika jangkitan pada kulitnya itu merebak selepas dia menghadap imam untuk diperiksa dan diumumkan tahir, dia harus menghadap imam sekali lagi.  Imam harus memeriksa orang itu. Jika jangkitan itu sudah merebak pada kulitnya, imam harus mengumumkan bahawa orang itu najis, kerana orang itu sudah dijangkiti penyakit kusta.+  “Jika seseorang dijangkiti penyakit kusta, dia harus dibawa menghadap imam. 10  Imam harus memeriksa orang itu.+ Jika terdapat bengkak putih pada kulitnya yang menyebabkan bulu romanya menjadi putih, dan terdapat luka+ pada bengkak itu, 11  maka itu ialah penyakit kusta yang teruk. Imam harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Orang itu tidak perlu diasingkan+ untuk pemeriksaan lanjut kerana sudah nyata bahawa dia najis. 12  Jika imam melihat bahawa penyakit kusta itu telah merebak dan meliputi seluruh kulit orang itu dari kepala sampai ke kaki, 13  imam harus memeriksa orang itu lagi. Jika dia mendapati bahawa penyakit kusta itu memang sudah meliputi seluruh kulit orang itu, imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir. Seluruh kulitnya sudah menjadi putih, maka sudah nyata bahawa orang itu tahir.* 14  Tetapi jika luka kelihatan semula pada kulitnya, maka orang itu sudah najis. 15  Setelah imam melihat luka itu, dia harus mengumumkan bahawa orang itu najis+ kerana luka itu merupakan sesuatu yang najis. Itu ialah penyakit kusta.+ 16  Namun jika luka itu sembuh dan menjadi putih, orang itu harus menghadap imam. 17  Imam harus memeriksanya+ dan jika luka itu sudah menjadi putih, imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir. 18  “Jika seseorang mempunyai bisul pada kulitnya dan bisul itu sembuh, 19  tetapi kemudian pada bekas bisul itu timbul bengkak putih atau tompok putih kemerah-merahan, orang itu harus menghadap imam. 20  Imam harus memeriksa+ orang itu. Jika bulu roma di situ sudah menjadi putih dan bahagian itu lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, imam harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Itu ialah penyakit kusta yang bermula daripada bekas bisul itu. 21  Namun jika imam memeriksa orang itu dan mendapati bahawa tidak ada bulu roma putih di situ, dan bahagian itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, serta kelihatan lebih muda warnanya, imam harus mengasingkan orang itu selama tujuh hari.+ 22  Jika tompok itu sudah merebak, imam harus mengumumkan bahawa orang itu najis kerana dia sudah dijangkiti penyakit kusta. 23  Tetapi jika keadaan tompok itu tidak berubah dan tidak merebak, imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir.+ Itu hanyalah radang daripada bekas bisul tersebut. 24  “Jika kulit seseorang luka kerana terbakar dan bahagian itu menjadi tompok yang berwarna putih atau putih kemerah-merahan, 25  imam harus memeriksa orang itu. Jika bulu roma di situ sudah menjadi putih dan bahagian itu lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, itu ialah penyakit kusta yang bermula daripada luka tersebut. Imam harus mengumumkan bahawa orang itu najis kerana dia sudah dijangkiti penyakit kusta. 26  Namun jika imam memeriksa orang itu dan mendapati bahawa tidak ada bulu roma putih di situ, dan bahagian itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, serta kelihatan lebih muda warnanya, imam harus mengasingkan orang itu selama tujuh hari.+ 27  Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa orang itu lagi. Jika imam mendapati bahawa tompok itu memang sudah merebak, imam harus mengumumkan bahawa orang itu najis kerana orang itu sudah dijangkiti penyakit kusta. 28  Namun jika keadaan tompok itu tidak berubah dan tidak merebak, tetapi cuma kelihatan lebih muda warnanya, tompok itu hanya bekas daripada luka itu. Maka imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir. 29  “Jika terdapat jangkitan pada kulit kepala atau dagu seorang lelaki atau wanita, 30  imam harus memeriksa+ orang itu. Jika rambut atau janggut di situ sedikit dan berwarna kuning, dan bahagian itu lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, imam harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Kulit kepala atau janggut orang itu sudah dijangkiti penyakit. Itu ialah penyakit kusta pada kepala atau dagu. 31  Namun jika imam mendapati bahawa bahagian itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, dan tidak ada janggut atau rambut hitam di situ, imam harus mengasingkan orang itu selama tujuh hari.+ 32  Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa orang itu lagi. Jika jangkitan itu tidak merebak dan tidak ada janggut atau rambut kuning di situ, dan bahagian itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, 33  orang tersebut harus mencukur rambut atau janggutnya, tetapi dia tidak boleh mencukur rambut atau janggut pada bahagian yang dijangkiti itu. Kemudian imam harus mengasingkannya selama tujuh hari lagi. 34  “Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa orang itu sekali lagi. Jika jangkitan pada kulit kepala dan janggut orang itu tidak merebak, dan bahagian itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir. Orang itu mesti mencuci pakaiannya lalu dia akan menjadi bersih. 35  Namun jika jangkitan pada kulit kepala dan janggut orang itu ternyata merebak selepas dia diperiksa oleh imam dan diumumkan tahir, 36  imam harus memeriksa orang itu lagi. Jika jangkitan itu sudah merebak, imam tidak perlu mencari janggut atau rambut kuning kerana sudah nyata bahawa orang tersebut najis. 37  Tetapi jika imam memeriksa dan mendapati bahawa jangkitan itu tidak merebak dan janggut atau rambut hitam sudah tumbuh di situ, bahagian itu sudah sembuh. Orang itu tahir, maka imam harus mengumumkan bahawa dia tahir.+ 38  “Jika seorang lelaki atau wanita mempunyai tompokan berwarna putih pada kulitnya, 39  imam harus memeriksa+ orang itu. Jika tompokan itu berwarna putih kabur, tompokan itu hanyalah ruam pada kulit. Tompokan itu tidak berbahaya dan orang itu tahir. 40  “Jika rambut seorang lelaki gugur dan dia menjadi botak pada bahagian atas atau belakang kepalanya, dia tidak najis. 41  Jika dia menjadi botak pada bahagian depan kepalanya, dia tidak najis. 42  Tetapi jika terdapat luka yang berwarna putih kemerah-merahan pada tempat yang botak itu, sama ada pada bahagian atas atau depan kepala orang tersebut, maka itu ialah penyakit kusta yang bermula daripada bahagian botak itu. 43  Imam harus memeriksa orang itu. Jika imam mendapati bahawa orang itu mempunyai luka yang berwarna putih kemerah-merahan pada tempat yang botak itu, yang kelihatan seperti penyakit kusta pada kulitnya, 44  imam harus mengumumkan bahawa orang itu najis kerana orang itu sudah dijangkiti penyakit kusta. 45  Seseorang yang dijangkiti penyakit kusta harus memakai pakaian yang koyak dan membiarkan rambutnya kusut. Dia harus menutupi bahagian atas mulutnya dan berseru, ‘Najis! Najis!’ 46  Orang itu akan tetap najis selama dia dijangkiti penyakit kusta. Dia harus tinggal di luar perkhemahan,+ terasing daripada orang lain, kerana dia najis. 47  “Jika terdapat kulapuk* pada pakaian yang dibuat daripada bulu bebiri atau linen, 48  atau pada bebenang yang terdapat pada kain yang dibuat daripada bulu bebiri atau linen, atau pada kulit atau apa sahaja yang dibuat daripada kulit, 49  dan jika kulapuk pada pakaian, bebenang, kulit, atau apa sahaja yang dibuat daripada kulit, berwarna kuning kehijau-hijauan atau kemerah-merahan, maka benda itu harus ditunjukkan kepada imam kerana benda itu telah dicemari kulapuk. 50  Imam harus memeriksanya lalu mengasingkan benda yang dicemari kulapuk itu selama tujuh hari.+ 51  Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa benda itu lagi. Jika imam mendapati bahawa kulapuk itu sudah merebak pada pakaian, bebenang, atau kulit (tidak kira apa kegunaan kulit itu), maka benda itu merupakan sesuatu yang menajiskan kerana kulapuk itu jenis yang berbahaya.+ 52  Benda itu harus dibakar, sama ada pakaian, kain yang ditenun daripada bulu bebiri atau linen, atau apa sahaja yang dibuat daripada kulit, kerana kulapuk itu jenis yang berbahaya. Ya, benda itu mesti dibakar kerana benda itu telah dicemari kulapuk. 53  “Namun jika imam mendapati bahawa kulapuk itu tidak merebak pada pakaian, bebenang, atau apa sahaja yang dibuat daripada kulit, 54  imam harus memerintahkan agar benda yang dicemari itu dicuci dan dia harus mengasingkannya selama tujuh hari lagi. 55  Setelah benda yang dicemari itu dicuci bersih, imam harus memeriksanya sekali lagi. Jika kulapuk itu masih di situ, walaupun kulapuk itu tidak merebak, benda tersebut masih najis. Benda itu harus dibakar kerana bahagian dalam dan luar benda itu sudah terkena kulapuk. 56  “Tetapi jika imam memeriksa benda itu dan mendapati bahawa kulapuk itu sudah pudar warnanya setelah dicuci bersih, dia harus mengoyakkan bahagian tersebut daripada pakaian, atau kulit, atau kain yang ditenun itu. 57  Namun jika kulapuk itu muncul di bahagian lain pada pakaian, atau kain yang ditenun, atau apa sahaja yang dibuat daripada kulit, benda itu harus dibakar+ kerana kulapuk sudah merebak dan mencemarinya. 58  Jika kulapuk itu hilang daripada pakaian, atau kain yang ditenun, atau apa sahaja yang dibuat daripada kulit setelah dicuci, benda itu harus dicuci sekali lagi, lalu benda itu akan menjadi bersih. 59  “Demikianlah peraturan mengenai kulapuk pada pakaian yang dibuat daripada bulu bebiri atau linen, atau bebenang yang terdapat pada kain yang ditenun, atau apa-apa yang dibuat daripada kulit. Dengan itu, imam dapat menentukan sama ada sesuatu benda itu bersih atau najis.”

Nota Kaki

Perkataan Ibrani untuk “kusta” mempunyai maksud yang luas. Perkataan ini boleh merangkumi pelbagai jenis penyakit kulit yang dapat berjangkit, sama ada pada manusia, pakaian, atau dinding rumah.
Atau “bahawa penyakit itu tidak akan lagi berjangkit kepada orang lain.”
Harfiah, “kusta.” Mungkin merujuk kepada sejenis kulat atau kulapuk; namun hal ini tidak dapat dipastikan.