Imamat 14:1-57

  • Penyucian daripada kusta (1-32)

  • Penyucian bagi rumah yang terkena kulapuk (33-57)

14  Yehuwa berfirman lagi kepada Musa,  “Inilah peraturan yang harus dipatuhi oleh pesakit kusta pada hari penyuciannya. Orang itu mesti dibawa menghadap imam.+  Imam harus pergi ke luar perkhemahan dan memeriksa orang itu. Jika orang itu sudah sembuh daripada penyakit kusta,  imam akan menyuruhnya untuk membawa dua ekor burung yang tidak haram, sepotong kayu sedar, benang merah, dan seikat rumput hisop untuk upacara penyuciannya.+  Imam akan memerintahkan agar seekor burung disembelih di atas bekas tanah liat yang berisi air bersih.  Imam akan mengambil burung yang satu lagi bersama kayu sedar, benang merah, dan rumput hisop, lalu mencelup semuanya ke dalam darah burung yang telah disembelih itu.  Kemudian imam akan memercikkan darah itu sebanyak tujuh kali pada orang yang hendak disucikan daripada penyakit kusta, lalu imam akan mengumumkan bahawa orang itu tahir. Selepas itu, imam akan melepaskan burung yang hidup itu ke padang.+  “Orang yang menjalani upacara penyucian mesti mencuci pakaiannya, mencukur seluruh badannya, dan mandi. Dengan itu dia akan menjadi tahir. Kemudian dia boleh masuk ke dalam perkhemahan, tetapi dia mesti tinggal di luar khemahnya selama tujuh hari.  Pada hari ketujuh, dia mesti mencukur semua rambut, janggut, dan bulu keningnya. Selepas dia habis mencukur semua bulu yang ada pada badannya, dia mesti mencuci pakaiannya dan mandi. Dengan itu dia pasti akan menjadi tahir. 10  “Pada hari kelapan, orang itu harus membawa seekor bebiri betina+ yang berumur satu tahun dan dua ekor bebiri jantan, yang semuanya tidak ada kecacatan. Dia juga harus membawa tiga persepuluh efa* tepung terbaik yang bercampur minyak sebagai korban bijirin+ dan satu log* minyak.+ 11  Imam yang mengumumkan bahawa orang itu tahir harus membawa orang itu berserta semua persembahannya ke hadapan Yehuwa, di depan pintu masuk khemah pertemuan. 12  Imam akan mempersembahkan seekor bebiri jantan bersama minyak itu sebagai korban ganti rugi.+ Dia akan mengayunkan semua itu ke depan dan belakang sebagai korban kepada Yehuwa.+ 13  Selepas itu, imam akan menyembelih bebiri jantan itu di tempat yang suci, iaitu di tempat menyembelih binatang bagi korban dosa dan korban bakar.+ Sama seperti korban dosa, korban ganti rugi akan menjadi milik imam+ dan merupakan sesuatu yang sangat suci.+ 14  “Kemudian imam akan mengambil sedikit darah binatang bagi korban ganti rugi itu lalu menyapukannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan ibu jari kaki kanan orang yang menjalani upacara penyucian. 15  Imam akan mengambil sedikit minyak+ dan menuangkannya pada telapak tangan kirinya sendiri. 16  Imam akan mencelup jari tangan kanannya ke dalam minyak yang ada di telapak tangan kirinya, lalu memercikkan minyak itu sebanyak tujuh kali di hadapan Yehuwa. 17  Selepas itu, imam akan menyapukan sedikit minyak yang ada di telapak tangannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan ibu jari kaki kanan orang tersebut, iaitu di tempat yang sama dia menyapukan darah itu. 18  Imam akan melumurkan baki minyak yang ada di telapak tangannya itu pada kepala orang tersebut. Dengan cara ini, imam akan memohon pengampunan bagi pihak orang itu di hadapan Yehuwa.+ 19  “Imam akan mempersembahkan korban dosa+ untuk memohon pengampunan bagi orang yang menjalani upacara penyucian itu. Kemudian imam akan menyembelih binatang untuk korban bakar. 20  Imam akan mempersembahkan korban bakar dan korban bijirin+ tersebut di atas mazbah. Dengan cara ini, imam akan memohon pengampunan bagi pihak orang itu,+ lalu orang itu akan menjadi tahir.+ 21  “Namun, jika orang itu miskin dan tidak berkemampuan, dia harus membawa seekor bebiri jantan untuk korban ganti rugi. Korban itu akan diayunkan ke depan dan belakang sebagai korban untuk memohon pengampunan bagi dirinya. Dia juga harus membawa satu persepuluh efa tepung terbaik yang dicampuri minyak sebagai korban bijirin dan satu log minyak. 22  Selain itu, dia juga harus membawa dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati muda, menurut kemampuannya. Seekor burung akan dipersembahkan sebagai korban dosa dan seekor lagi sebagai korban bakar.+ 23  Pada hari kelapan,+ dia harus membawa semua persembahan itu kepada imam untuk menjalani upacara penyuciannya. Dia harus membawa semuanya ke hadapan Yehuwa, di depan pintu masuk khemah pertemuan.+ 24  “Imam akan mengambil bebiri jantan untuk korban ganti rugi+ bersama minyak itu, lalu mengayunkannya ke depan dan belakang sebagai korban kepada Yehuwa.+ 25  Kemudian imam akan menyembelih bebiri itu, lalu mengambil sedikit darahnya dan menyapukannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan ibu jari kaki kanan orang yang menjalani upacara penyucian.+ 26  Imam akan menuangkan sedikit minyak itu pada telapak tangan kirinya sendiri.+ 27  Kemudian dengan jari tangan kanannya, imam akan memercikkan sedikit daripada minyak yang ada di telapak tangan kirinya sebanyak tujuh kali di hadapan Yehuwa. 28  Selepas itu, imam akan menyapukan sedikit minyak yang ada di telapak tangannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan ibu jari kaki kanan orang tersebut, iaitu di tempat yang sama dia menyapukan darah untuk korban ganti rugi itu. 29  Imam akan melumurkan baki minyak yang ada di telapak tangannya itu pada kepala orang tersebut. Dengan cara ini, imam akan memohon pengampunan bagi pihak orang itu di hadapan Yehuwa. 30  “Bergantung pada apa yang mampu diberikan+ oleh orang tersebut, imam akan mempersembahkan seekor daripada burung tekukur atau burung merpati muda itu 31  sebagai korban dosa dan seekor lagi sebagai korban bakar.+ Imam harus mempersembahkan apa yang mampu diberikan oleh orang tersebut bersama dengan korban bijirin. Dengan cara ini, imam akan memohon pengampunan bagi pihak orang itu di hadapan Yehuwa.+ 32  “Itulah peraturan untuk orang yang menghidap penyakit kusta tetapi tidak mampu memberikan apa yang diperlukan bagi upacara penyucian.” 33  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa dan Harun, 34  “Kamu akan masuk ke tanah Kanaan,+ yang akan Aku berikan kepada kamu sebagai milik kamu.+ Jika kamu mendapati bahawa Aku telah membiarkan sebuah rumah di situ dicemari kulapuk,+ 35  pemilik rumah itu mesti berjumpa dengan imam dan berkata, ‘Terdapat tompokan pada dinding rumahku yang kelihatan seperti kulapuk.’ 36  Sebelum imam datang untuk memeriksa rumah yang dicemari itu, dia akan memerintahkan agar rumah itu dikosongkan. Jika tidak, segala yang ada di dalam rumah itu akan diumumkan sebagai najis. Selepas itu, barulah imam akan datang untuk memeriksa rumah itu. 37  Imam akan memeriksa tempat yang dicemari kulapuk. Jika tompokan pada dinding rumah itu berwarna hijau kekuning-kuningan atau kemerah-merahan, dan kelihatan sudah meresap ke dalam dinding rumah, 38  imam akan keluar dari rumah itu dan menutupnya selama tujuh hari.+ 39  “Pada hari ketujuh, imam akan kembali untuk memeriksa rumah itu. Jika tompokan itu sudah merebak ke bahagian lain dinding rumah tersebut, 40  imam akan memerintahkan agar batu-batu pada dinding yang dicemari kulapuk dikeluarkan dan dibuang di luar kota, iaitu di tempat benda-benda najis dibuang. 41  Dia akan memerintahkan agar seluruh bahagian dalam rumah itu dikikis. Tanah liat yang sudah dikikis itu harus dibuang di luar kota, iaitu di tempat benda-benda najis dibuang. 42  Kemudian batu-batu yang baharu harus digunakan untuk menggantikan batu-batu yang sudah dikeluarkan. Tanah liat yang baharu juga harus digunakan untuk melapisi dinding rumah itu. 43  “Namun jika tompokan muncul kembali di dalam rumah itu selepas batu-batu dikeluarkan dan selepas dinding rumah dikikis dan dilapisi semula, 44  imam akan masuk untuk memeriksa rumah itu. Jika tompokan itu sudah merebak ke bahagian lain rumah itu, maka kulapuk itu jenis yang berbahaya.+ Rumah itu sudah menjadi najis. 45  Imam akan mengarahkan agar rumah itu dirobohkan. Kemudian semua batu, kayu, dan tanah liat rumah itu harus dibawa ke luar kota, ke tempat benda-benda najis dibuang.+ 46  Jika ada orang yang masuk ke dalam rumah itu semasa rumah itu ditutup,+ orang itu akan dianggap najis sehingga matahari terbenam.+ 47  Sesiapa yang berbaring atau makan di dalam rumah itu mesti mencuci pakaiannya. 48  “Namun jika imam datang dan melihat bahawa tompokan itu tidak muncul kembali selepas dinding rumah dilapisi semula, imam akan mengumumkan bahawa rumah itu tahir. Hal ini demikian kerana tompokan itu sudah hilang. 49  Dia akan mengambil dua ekor burung, sepotong kayu sedar, benang merah, dan seikat rumput hisop,+ untuk upacara penyucian rumah itu. 50  Imam akan menyembelih salah seekor burung itu di atas bekas tanah liat yang berisi air bersih. 51  Selepas itu, imam akan mengambil burung yang satu lagi bersama kayu sedar, rumput hisop, dan benang merah, lalu mencelup semuanya ke dalam darah burung yang telah disembelih itu. Kemudian imam akan memercikkan darah itu sebanyak tujuh kali ke arah rumah tersebut.+ 52  Dia akan menjalankan upacara penyucian untuk rumah itu dengan menggunakan darah burung yang disembelih, air yang bersih, burung yang masih hidup, kayu sedar, rumput hisop, dan benang merah. 53  Selepas itu imam akan melepaskan burung yang hidup itu ke padang di luar kota. Dengan cara ini, imam akan melakukan upacara penyucian untuk rumah itu, lalu rumah itu akan menjadi tahir. 54  “Demikianlah peraturan mengenai semua jenis penyakit kusta, jangkitan pada kulit kepala atau janggut,+ 55  kulapuk pada pakaian+ atau rumah,+ 56  dan mengenai bengkak, keruping, atau tompok.+ 57  Dengan itu, seseorang dapat menentukan sama ada seseorang atau sesuatu benda itu tahir atau najis.+ Ya, demikianlah peraturan mengenai penyakit kusta.”+

Nota Kaki

Tiga persepuluh efa = 6.6 L.