Imamat 17:1-16

  • Khemah suci, tempat mempersembahkan korban (1-9)

  • Dilarang makan darah (10-14)

  • Peraturan tentang bangkai binatang yang dijumpai (15, 16)

17  Yehuwa berfirman kepada Musa, 2  “Beritahulah Harun dan anak-anak lelakinya serta semua orang Israel, ‘Inilah yang Aku, Yehuwa, perintahkan: 3  “‘“Jika orang Israel menyembelih lembu, bebiri, atau kambing di dalam atau di luar kawasan perkhemahan 4  untuk dipersembahkan sebagai korban kepada Aku, Yehuwa, orang itu sudah berhutang darah. Orang itu telah menumpahkan darah dan mesti dihukum mati. Hal ini demikian kerana dia sepatutnya membawa binatang itu ke hadapan pintu masuk khemah pertemuan, iaitu khemah suci milik Aku, Yehuwa. 5  Dengan demikian orang Israel akan tahu bahawa mereka tidak lagi dibenarkan untuk menyembelih binatang di padang. Mereka mesti membawa binatang itu kepada imam di hadapan pintu masuk khemah pertemuan untuk dipersembahkan kepada Aku, Yehuwa. Mereka harus mempersembahkan binatang-binatang itu sebagai korban pendamaian kepada Aku, Yehuwa.+ 6  Imam harus memercikkan darah binatang itu pada mazbah milik Aku, Yehuwa, di hadapan pintu masuk khemah pertemuan. Imam juga harus membakar lemak binatang itu untuk Aku, Yehuwa. Bau daripada korban itu menyenangkan hati-Ku.+ 7  Oleh itu, orang Israel tidak boleh lagi menyembah+ dan mempersembahkan korban kepada roh-roh jahat yang berupa kambing.*+ Kamu semua harus sentiasa mematuhi perintah ini secara turun-temurun.”’ 8  “Beritahulah mereka, ‘Jika kamu atau orang asing yang tinggal dalam kalangan kamu mempersembahkan korban bakar atau korban-korban lain, 9  tetapi tidak membawa korban itu ke hadapan pintu masuk khemah pertemuan untuk dipersembahkan kepada Aku, Yehuwa, orang itu mesti dihukum mati.+ 10  “‘Jika kamu atau orang asing yang tinggal dalam kalangan kamu makan darah sebarang makhluk,+ Aku pasti tidak akan menerima orang sedemikian. Aku akan membinasakan orang itu kerana dia makan darah. 11  Hal ini demikian kerana nyawa setiap makhluk hidup terkandung dalam darahnya.+ Aku sudah menentukan bahawa darah harus dicurahkan di atas mazbah+ bagi memohon pengampunan dosa+ untuk diri kamu sendiri. Darah itulah yang dapat menebus dosa, kerana nyawa terkandung dalam darah. 12  Itulah sebabnya Aku berfirman kepada orang Israel, “Kamu semua tidak boleh makan darah dan orang asing yang tinggal dalam kalangan kamu+ juga tidak boleh makan darah.”+ 13  “‘Jika kamu atau orang asing yang tinggal dalam kalangan kamu sedang memburu dan menangkap seekor binatang liar atau burung yang boleh dimakan, dia mesti mencurahkan darah+ binatang tersebut lalu menutupi darah itu dengan tanah. 14  Hal ini demikian kerana nyawa setiap makhluk hidup terkandung dalam darahnya. Itulah sebabnya Aku berfirman kepada orang Israel, “Kamu semua tidak boleh makan darah sebarang makhluk kerana nyawa setiap makhluk hidup terkandung dalam darahnya. Sesiapa yang makan darah mesti dihukum mati.”+ 15  Sesiapa sahaja, baik orang Israel mahupun orang asing, yang makan daging binatang yang mati biasa atau yang mati diterkam binatang buas,+ mesti mencuci pakaiannya dan membasuh diri dengan air. Dia akan dianggap najis sehingga matahari terbenam.+ Selepas itu, dia akan dianggap bersih semula. 16  Tetapi jika dia tidak mencuci pakaiannya dan tidak membasuh diri dengan air, dia mesti menanggung akibatnya.’”+

Nota Kaki

Harfiah, “kepada kambing.”