Imamat 19:1-37

  • Hukum-hukum tentang kesucian (1-37)

    • Cara menuai hasil (9, 10)

    • Bertimbang rasa terhadap orang pekak dan orang buta (14)

    • Fitnah (16)

    • Jangan berdendam (18)

    • Amalan sihir dikutuk (26, 31)

    • Dilarang membuat tatu (28)

    • Menghormati orang tua (32)

    • Cara memperlakukan orang asing (33, 34)

19  Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, 2  “Beritahulah seluruh umat Israel, ‘Kamu mesti suci kerana Aku suci.+ Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. 3  “‘Setiap orang mesti menghormati ibu bapanya.+ Kamu mesti mematuhi hukum-Ku untuk menyambut hari Sabat.+ Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. 4  Jangan menyembah berhala kerana berhala tidak berguna.+ Jangan membuat patung berhala daripada logam.+ Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. 5  “‘Apabila kamu mempersembahkan korban pendamaian+ kepada Aku, Yehuwa, kamu harus mempersembahkannya dengan cara yang betul supaya mendapat perkenan-Ku.+ 6  Daging korban itu harus dimakan pada hari korban itu dipersembahkan atau pada keesokan harinya. Tetapi daging yang tertinggal sehingga hari ketiga mesti dibakar.+ 7  Jika daging yang tertinggal itu dimakan pada hari ketiga, korban itu sudah tercemar dan Aku tidak akan menerimanya. 8  Orang yang memakan daging itu mesti menanggung akibatnya kerana dia sudah menghina sesuatu yang suci bagi Aku, Yehuwa. Orang itu mesti dihukum mati. 9  “‘Apabila kamu menuai hasil di ladang kamu, jangan tuai hasil tanaman yang tumbuh di tepi ladang kamu sampai habis. Jangan kembali untuk mengumpulkan hasil tuaian yang tertinggal.+ 10  Jangan kumpulkan sisa tuaian dari ladang anggur kamu. Jangan pungut anggur yang terjatuh di ladang anggur kamu. Biarkanlah semua itu untuk orang miskin+ dan orang asing. Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. 11  “‘Jangan mencuri,+ jangan menipu,+ dan jangan memperlakukan orang lain secara tidak jujur. 12  Jangan angkat sumpah palsu atas nama-Ku,+ kerana perbuatan itu menghina nama-Ku. Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. 13  Jangan memperdaya orang lain+ dan jangan merompak+ sesiapa pun. Jangan menahan upah pekerja kamu sampai keesokan hari.+ 14  “‘Jangan kutuk orang pekak dan jangan letakkan batu sandungan di hadapan orang buta.+ Kamu harus takut akan Aku.+ Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. 15  “‘Jangan berlaku tidak adil semasa kamu menjalankan penghakiman. Jangan berat sebelah, sama ada terhadap orang miskin ataupun orang kaya.+ Kamu mesti menghakimi orang lain dengan adil. 16  “‘Jangan sebarkan fitnah tentang orang lain.+ Jangan sengaja melakukan sesuatu yang akan menyebabkan seseorang mati.*+ Akulah Yehuwa. 17  “‘Jangan simpan rasa benci terhadap saudara kamu dalam hati.+ Kamu mesti menasihati saudara kamu,+ supaya kamu tidak turut menanggung dosanya. 18  “‘Jangan balas dendam+ dan jangan menaruh dendam terhadap orang yang sebangsa dengan kamu. Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi diri kamu sendiri.+ Akulah Yehuwa. 19  “‘Kamu harus mematuhi perintah-Ku. Jangan kacukkan dua ekor binatang ternakan yang berlainan jenis. Jangan tabur dua jenis benih di ladang kamu.+ Jangan pakai pakaian yang ditenun daripada dua jenis benang.+ 20  “‘Jika seorang lelaki melakukan hubungan seks dengan seorang hamba wanita yang sudah dijanjikan untuk lelaki lain, tetapi wanita itu belum ditebus atau dibebaskan, mereka berdua harus dihukum. Namun, mereka tidak patut dihukum mati, kerana wanita itu belum dibebaskan. 21  Lelaki itu harus membawa seekor bebiri jantan sebagai korban ganti rugi kepada Aku, Yehuwa, di hadapan pintu masuk khemah pertemuan.+ 22  Imam akan mempersembahkan bebiri itu sebagai korban ganti rugi di hadapan Aku, Yehuwa. Dengan cara ini, imam akan memohon pengampunan dosa bagi pihak lelaki itu, lalu lelaki itu akan diampuni. 23  “‘Apabila kamu masuk ke tanah yang akan Aku berikan kepada kamu, lalu menanam pokok buah-buahan, kamu tidak boleh memakan buah pokok itu selama tiga tahun yang pertama. Kamu harus menganggap buah pokok itu tidak suci dan haram. 24  Namun, pada tahun keempat, semua buah pokok itu akan dianggap suci. Itulah masanya bagi kamu untuk bersukacita di hadapan Aku, Yehuwa.+ 25  Pada tahun kelima, barulah kamu boleh memakan buah pokok itu. Dengan demikian pokok itu akan menghasilkan buah yang berlimpah-limpah. Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. 26  “‘Jangan makan apa-apa yang mengandungi darah.+ “‘Jangan amalkan ilmu sihir dan jangan cari petanda.+ 27  “‘Jangan cukur jambang kamu dan jangan gunting bahagian hujung janggut kamu.*+ 28  “‘Jangan lukai tubuh kamu semasa kamu berkabung untuk orang mati.+ Jangan buat tatu pada kulit kamu. Akulah Yehuwa. 29  “‘Jangan memalukan anak perempuan kamu dengan menjadikannya pelacur.+ Jika kamu berbuat demikian, negeri kamu akan dicemari oleh pelacur dan dipenuhi dengan perbuatan yang tidak bermoral.+ 30  “‘Kamu mesti mematuhi hukum-Ku untuk menyambut hari Sabat.+ Kamu mesti menghormati tempat suci-Ku. Akulah Yehuwa. 31  “‘Jangan cari bomoh+ dan jangan minta nasihat daripada tukang tilik.+ Jika kamu berbuat demikian, kamu akan menjadi najis. Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. 32  “‘Kamu mesti menghormati orang yang sudah beruban+ dan kamu mesti memuliakan orang yang sudah tua.+ Kamu mesti takut akan Aku.+ Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. 33  “‘Jangan menindas orang asing yang tinggal di negeri kamu.+ 34  Kamu harus memperlakukan orang asing yang tinggal dalam kalangan kamu seperti kamu memperlakukan orang kamu sendiri.+ Kasihilah mereka sepertimana kamu mengasihi diri kamu sendiri. Ingatlah bahawa dahulu kamu pun orang asing di Mesir.+ Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. 35  “‘Jangan menipu orang dengan menggunakan ukuran, timbangan, atau sukatan yang salah.+ 36  Kamu harus menggunakan alat pengukur dan alat penimbang yang tepat. Kamu juga harus menggunakan alat penyukat yang tepat, sama ada untuk menyukat cecair atau bahan kering.+ Akulah Yehuwa, Tuhan kamu, yang telah membawa kamu keluar dari Mesir. 37  Turutilah semua perintah-Ku dan patuhilah semua ketetapan-Ku.+ Akulah Yehuwa.’”

Nota Kaki

Atau mungkin, “Jangan berdiam diri apabila melihat orang lain berada dalam bahaya.”
Mungkin merujuk kepada kebiasaan orang kafir.