Imamat 22:1-33
22 Yehuwa berfirman kepada Musa,
2 “Beritahulah Harun dan anak-anak lelakinya supaya berhati-hati semasa mengendalikan korban suci yang dipersembahkan oleh orang Israel kepada-Ku.+ Beritahulah mereka agar tidak menghina nama suci-Ku.+ Akulah Yehuwa.
3 Katakanlah kepada mereka, ‘Peraturan ini harus dipatuhi oleh keturunan kamu secara turun-temurun. Sesiapa daripada keturunan kamu yang menghampiri korban suci yang dipersembahkan oleh orang Israel kepada Aku, Yehuwa, semasa dia berada dalam keadaan yang najis, mesti dihukum mati.+ Akulah Yehuwa.
4 Semua keturunan Harun yang berpenyakit kusta+ atau yang mengeluarkan lelehan+ tidak boleh memakan korban suci sebelum dia menjadi tahir.+ Demikian juga dengan orang yang menyentuh orang lain yang najis kerana terkena mayat,+ orang yang mengeluarkan mani,+
5 orang yang menyentuh binatang yang haram,+ atau orang yang menyentuh sesiapa sahaja yang najis kerana sebab-sebab lain.+
6 Orang yang menyentuh semua itu akan dianggap najis sehingga matahari terbenam. Orang itu tidak boleh memakan korban suci dan mesti mandi.+
7 Selepas matahari terbenam, dia akan dianggap tahir semula. Dia boleh memakan korban suci itu kerana itulah makanannya.+
8 Namun dia tidak boleh memakan daging binatang yang mati biasa atau yang mati diterkam binatang buas kerana hal itu akan membuatnya najis.+ Akulah Yehuwa.
9 “‘Mereka mesti mematuhi semua perintah-Ku agar mereka tidak berdosa lalu mati kerana mencemari korban suci itu. Akulah Yehuwa, yang telah menjadikan mereka suci.
10 “‘Orang biasa* tidak boleh memakan korban suci.+ Orang asing yang tinggal bersama imam atau pekerja upahan imam juga tidak boleh memakan korban suci.
11 Tetapi hamba yang telah dibeli oleh imam atau hamba yang lahir di dalam rumah imam boleh memakan korban suci.+
12 Jika anak perempuan imam berkahwin dengan seorang lelaki yang bukan imam, dia tidak boleh memakan korban suci yang telah dipersembahkan.
13 Tetapi jika anak perempuan imam itu menjadi balu, atau dia sudah bercerai dan tidak mempunyai anak, lalu dia kembali tinggal di rumah bapanya, dia boleh memakan korban suci.+ Namun orang biasa tidak boleh memakan korban suci.
14 “‘Jika seorang lelaki dengan tidak sengaja makan korban suci, dia mesti memberikan korban lain sebagai ganti kepada imam, ditambah lagi dengan 20 peratus daripada nilai korban itu.+
15 Dengan demikian, para imam tidak akan mencemari korban suci yang telah dipersembahkan oleh umat Israel kepada Aku, Yehuwa.+
16 Mereka juga tidak akan menyebabkan umat Israel berdosa lalu dihukum kerana memakan korban suci. Akulah Yehuwa, yang telah menjadikan mereka suci.’”
17 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa,
18 “Beritahulah Harun dan anak-anak lelakinya serta semua orang Israel, ‘Apabila kamu atau orang asing yang tinggal dalam kalangan kamu mempersembahkan korban bakar+ secara sukarela atau kerana ingin menunaikan ikrar kepada Aku, Yehuwa,+
19 dia harus mempersembahkan seekor lembu jantan, atau bebiri jantan, atau kambing jantan, yang tidak ada kecacatan.+ Dengan demikian orang itu akan mendapat perkenan-Ku.
20 Jangan persembahkan binatang yang ada kecacatan+ kerana Aku tidak akan menerima korban sebegitu.
21 “‘Jika seseorang mempersembahkan korban pendamaian+ secara sukarela atau kerana ingin menunaikan ikrar kepada Aku, Yehuwa, dia harus mempersembahkan seekor lembu, bebiri, atau kambing, yang tidak ada kecacatan. Dengan demikian orang itu akan mendapat perkenan-Ku.
22 Jangan persembahkan binatang seperti ini kepada Aku, Yehuwa: Binatang yang buta, binatang yang patah tulang, atau binatang yang mempunyai luka atau kutil atau kudis atau kurap. Jangan persembahkan binatang sebegitu di atas mazbah sebagai korban kepada Aku, Yehuwa.
23 Lembu atau bebiri yang kakinya tidak sama panjang boleh dipersembahkan sebagai korban sukarela, tetapi korban itu tidak akan diterima jika dipersembahkan sebagai korban untuk menunaikan ikrar.
24 Jangan persembahkan binatang yang buah zakarnya cacat atau hancur atau sudah dipotong. Di negeri kamu, jangan sekali-kali mempersembahkan binatang seperti itu kepada Aku, Yehuwa.
25 Kamu tidak boleh mengambil binatang yang mempunyai kecacatan-kecacatan sebegitu daripada orang asing untuk dipersembahkan sebagai korban kepada Aku. Hal ini demikian kerana binatang-binatang itu tercemar dan cacat. Aku tidak akan menerima binatang seperti itu.’”
26 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa,
27 “Anak lembu atau anak bebiri atau anak kambing yang baru lahir mesti dibiarkan bersama induknya selama tujuh hari.+ Tetapi mulai hari kelapan, binatang itu boleh dipersembahkan sebagai korban yang dibakar untuk Aku, Yehuwa. Aku akan menerima korban itu.
28 Namun jangan menyembelih induk lembu atau bebiri atau kambing bersama anaknya pada hari yang sama.+
29 “Jika kamu mempersembahkan korban kesyukuran kepada Aku, Yehuwa,+ kamu harus mempersembahkannya dengan cara yang betul supaya mendapat perkenan-Ku.
30 Kamu harus memakan korban tersebut pada hari itu juga. Jangan tinggalkan apa-apa sehingga keesokan hari.+ Akulah Yehuwa.
31 “Patuhilah semua perintah-Ku.+ Akulah Yehuwa.
32 Jangan menghina nama suci-Ku.+ Aku mesti dimuliakan dalam kalangan umat Israel.+ Akulah Yehuwa, yang telah menjadikan kamu suci.+
33 Aku telah membawa kamu keluar dari Mesir supaya Aku dapat menjadi Tuhan kamu.+ Akulah Yehuwa.”
Nota Kaki
^ Iaitu, orang yang bukan keturunan Harun.