Imamat 5:1-19
5 “‘Jika seseorang mengetahui atau melihat perbuatan dosa orang lain, sebagai seorang saksi, dia harus melaporkan perbuatan itu. Jika dia mendengar pengumuman* bahawa saksi diminta untuk memberikan keterangan+ tentang salah laku itu dan dia enggan berbuat demikian, dia sudah berdosa dan mesti menanggung akibatnya.
2 “‘Jika seseorang tersentuh sesuatu yang najis, misalnya bangkai binatang yang haram, baik binatang liar, binatang jinak, mahupun binatang kecil yang hidup berkelompok,+ maka dia menjadi najis dan bersalah walaupun dia tidak sedar akan perbuatannya itu.
3 Jika seseorang dengan tidak sengaja menyentuh sesuatu yang membuatnya najis,+ sama ada orang yang najis, benda yang najis, atau apa sahaja yang najis daripada manusia, maka dia bersalah setelah dia menyedari perbuatannya itu.
4 “‘Jika seseorang bersumpah secara terburu-buru untuk melakukan sesuatu, sama ada untuk berbuat baik atau berbuat jahat, tetapi kemudian dia sedar bahawa dia tidak dapat melakukan hal yang dikatakannya, maka dia sudah bersalah.+
5 “‘Jika seseorang melakukan salah satu perkara yang telah disebutkan, dia sudah bersalah dan dia harus mengakui dosanya.+
6 Dia harus membawa korban ganti rugi kepada Aku, Yehuwa, bagi dosa yang dilakukannya.+ Dia harus mempersembahkan seekor anak bebiri betina atau seekor anak kambing betina sebagai korban dosa. Kemudian imam akan memohon pengampunan dosa bagi pihaknya.
7 “‘Jika dia tidak mampu memberikan seekor bebiri, dia harus mempersembahkan dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati muda+ kepada Aku, Yehuwa, sebagai korban ganti rugi: Seekor bagi korban dosa dan seekor lagi bagi korban bakar.+
8 Dia harus membawa burung-burung itu kepada imam. Mula-mula imam harus mempersembahkan burung yang dikhaskan bagi korban dosa. Imam harus menggentas* bahagian depan leher burung itu, tetapi tidak sampai kepala burung tersebut terputus sepenuhnya.
9 Kemudian imam harus memercikkan sebahagian daripada darah burung itu pada sisi mazbah. Darah selebihnya harus dituang di bahagian bawah mazbah.+ Itulah korban dosa yang harus dipersembahkan.
10 Selepas itu, imam harus mempersembahkan burung yang seekor lagi sebagai korban bakar, mengikut peraturan yang telah ditetapkan.+ Dengan cara ini, imam akan memohon pengampunan dosa bagi pihak orang itu, lalu orang itu akan diampuni.+
11 “‘Jika orang itu tidak mampu memberikan dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati muda, dia harus mempersembahkan satu persepuluh efa*+ tepung yang terbaik sebagai korban dosa. Tepung itu tidak boleh dicampuri minyak atau kemenyan putih kerana korban itu merupakan korban dosa.
12 Dia harus membawa tepung itu kepada imam. Kemudian imam akan mengambil segenggam tepung itu lalu membakarnya di atas mazbah sebagai tanda bahawa keseluruhan korban itu sudah dipersembahkan kepada Aku. Imam akan membakar korban dosa itu bersama korban yang telah dibakar di atas api untuk Aku, Yehuwa. Dia harus membakar semua itu sehingga asap naik dari mazbah.
13 Demikianlah caranya imam akan memohon pengampunan dosa bagi pihak orang yang telah melakukan salah satu dosa yang sudah disebutkan. Dengan demikian, orang tersebut akan diampuni.+ Sama seperti korban bijirin,+ lebihan korban itu akan menjadi milik imam.’”+
14 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa,
15 “Jika seseorang bertindak tidak setia dan berdosa dengan tidak sengaja terhadap benda-benda suci milik Aku, Yehuwa,+ dia harus mempersembahkan seekor bebiri jantan yang tidak ada kecacatan kepada Aku, Yehuwa, sebagai korban ganti rugi.+ Nilai bebiri itu harus ditentukan oleh imam dalam bentuk mata wang perak menurut sukatan yang biasa digunakan di khemah suci.+
16 Orang itu akan membayar ganti rugi untuk dosa yang dilakukannya terhadap tempat suci. Dia juga harus menambah 20 peratus daripada nilai itu+ lalu memberikan semuanya kepada imam. Kemudian imam akan memohon pengampunan dosa+ baginya dengan mempersembahkan bebiri jantan itu sebagai korban ganti rugi, lalu dosanya akan diampunkan.+
17 “Jika seseorang berdosa kerana melanggar perintah Aku, Yehuwa, dengan tidak sengaja, dia masih bersalah walaupun dia tidak menyedari perbuatannya, dan dia harus menanggung akibat daripada perbuatannya itu.+
18 Orang itu harus membawa seekor bebiri jantan yang tidak ada kecacatan kepada imam sebagai korban ganti rugi.+ Nilai bebiri itu haruslah sama dengan nilai yang sudah ditentukan oleh imam. Kemudian imam akan memohon pengampunan bagi dosa orang itu, yang telah dilakukannya tanpa disedari dan secara tidak sengaja, lalu dosa orang itu akan diampunkan.
19 Itulah korban ganti rugi yang harus dipersembahkan oleh orang yang bersalah itu kerana dia memang sudah berdosa terhadap Aku, Yehuwa.”