Imamat 6:1-30
6 Yehuwa berfirman kepada Musa,
2 “Jika seseorang berdosa dan bertindak tidak setia terhadap Aku, Yehuwa,+ kerana dia menipu saudaranya tentang sesuatu yang diberikan kepadanya untuk disimpan,+ atau mencuri barang saudaranya, atau berlaku tidak jujur terhadap saudaranya,
3 atau menjumpai sesuatu yang hilang tetapi menafikannya, atau mengangkat sumpah palsu dan berkata bahawa dia tidak melakukan dosa-dosa sebegini,+ inilah yang harus dilakukannya:
4 Jika dia memang berdosa, dia harus mengembalikan barang yang dicurinya, barang yang dirampasnya, barang yang diambilnya secara tidak jujur, barang yang diberikan kepadanya untuk disimpan, barang yang telah dijumpainya,
5 atau barang yang diperolehnya dengan mengangkat sumpah palsu. Pada hari dia didapati bersalah, dia harus membayar pampasan+ kepada pemilik itu, ditambah lagi dengan 20 peratus daripada jumlah itu.
6 Selain itu, dia harus membawa seekor bebiri jantan yang tidak ada kecacatan kepada imam untuk dipersembahkan sebagai korban ganti rugi kepada Aku, Yehuwa. Nilai bebiri yang dipersembahkan sebagai korban ganti rugi+ itu harus ditentukan oleh imam.
7 Kemudian imam akan menghadap Aku, Yehuwa, untuk memohon pengampunan dosa bagi pihak orang itu. Dengan demikian dosa orang itu akan diampunkan.”+
8 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa,
9 “Beritahulah Harun dan anak-anak lelakinya, ‘Inilah perintah mengenai korban bakar:+ Korban bakar harus ditinggalkan di atas mazbah dari malam sampai pagi, dan api di atas mazbah harus terus menyala.
10 Imam harus mengenakan pakaian rasmi dan seluar pendek+ yang dibuat daripada kain linen.+ Kemudian imam harus mengambil abu*+ daripada korban yang dibakar itu lalu meletakkannya di tepi mazbah.
11 Selepas itu dia harus menukar pakaiannya+ dan membawa abu itu ke tempat yang bersih di luar perkhemahan.+
12 Api di atas mazbah mesti sentiasa menyala dan tidak boleh padam. Setiap pagi, imam mesti membakar kayu+ di atas mazbah dan menyusun korban bakar di atasnya. Dia harus membakar semua lemak daripada korban pendamaian di atas api sehingga asap naik dari mazbah.+
13 Api di atas mazbah mesti sentiasa menyala dan tidak boleh padam.
14 “‘Inilah perintah mengenai korban bijirin:+ Anak-anak lelaki Harun harus mempersembahkannya kepada Aku, Yehuwa, di hadapan mazbah.
15 Salah seorang daripada mereka akan mengambil segenggam tepung yang terbaik, yang dituangi minyak dan dibubuhi kemenyan putih, lalu membakar semuanya sehingga asap naik dari mazbah. Dia akan berbuat demikian sebagai tanda bahawa keseluruhan korban bijirin itu sudah dipersembahkan kepada Aku, Yehuwa. Bau daripada korban itu menyenangkan hati-Ku.+
16 Lebihan daripada korban itu harus dijadikan roti yang tidak beragi dan dimakan oleh Harun dan anak-anak lelakinya+ di tempat yang suci, iaitu di halaman khemah pertemuan.+
17 Roti itu tidak boleh dibuat dengan apa-apa yang beragi.+ Aku sudah memberikannya kepada mereka sebagai bahagian mereka daripada korban yang dibakar untuk Aku.+ Seperti korban dosa dan korban ganti rugi, korban bijirin itu sangat suci.+
18 Setiap anak lelaki keturunan Harun harus memakan bahagian itu+ yang diambil daripada korban yang dibakar untuk Aku, Yehuwa.+ Bahagian itu akan sentiasa menjadi milik mereka secara turun-temurun. Segala sesuatu yang menyentuh korban-korban itu harus dianggap suci.’”
19 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa,
20 “Pada hari Harun diurapi+ sebagai imam agung, dia dan anak-anak lelakinya harus mempersembahkan korban bijirin kepada Aku, Yehuwa. Mereka harus sentiasa mempersembahkan satu persepuluh efa*+ tepung yang terbaik sebagai korban bijirin.+ Separuh daripada korban itu harus dipersembahkan pada waktu pagi dan separuh lagi pada waktu petang.
21 Tepung itu harus dicampuri minyak dan dipanggang di atas pemanggang.+ Kemudian roti yang sudah dipanggang itu mesti dipecah-pecahkan dan dituangi minyak semasa dipersembahkan sebagai korban bijirin kepada Aku, Yehuwa. Bau daripada korban itu menyenangkan hati-Ku.
22 Setiap anak lelaki Harun yang menjadi imam agung+ juga akan mempersembahkan korban itu. Mereka semua mesti sentiasa mematuhi peraturan ini: Seluruh korban bijirin mesti dibakar untuk Aku, Yehuwa, sehingga asap naik dari mazbah.
23 Setiap korban bijirin yang dipersembahkan bagi pihak imam tidak boleh dimakan. Seluruh korban itu mesti dibakar.”
24 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa,
25 “Beritahulah Harun dan anak-anak lelakinya, ‘Inilah perintah mengenai korban dosa:+ Binatang untuk korban dosa harus disembelih+ di hadapan Aku, Yehuwa, iaitu di tempat menyembelih binatang untuk korban bakar. Korban ini merupakan sesuatu yang sangat suci.
26 Imam yang mempersembahkan korban dosa ini harus memakannya+ di tempat yang suci, iaitu di halaman khemah pertemuan.+
27 “‘Segala sesuatu yang terkena daging korban yang dipersembahkan akan menjadi suci. Jika darah korban itu terkena pakaian seseorang, orang itu mesti mencuci pakaiannya di halaman khemah suci.
28 Periuk tanah liat yang digunakan untuk merebus daging korban itu mesti dipecahkan. Jika periuk itu diperbuat daripada tembaga, periuk itu harus digosok dan dicuci dengan air.
29 “‘Setiap lelaki yang menjadi imam akan memakan daging korban itu.+ Korban itu merupakan sesuatu yang sangat suci.+
30 Namun jika sebahagian daripada darah binatang untuk korban dosa dibawa masuk ke tempat suci, iaitu di dalam khemah pertemuan,+ lalu digunakan untuk memohon pengampunan dosa, daging binatang itu tidak boleh dimakan. Daging itu mesti dibakar.