Kejadian 13:1-18
13 Kemudian Abram meninggalkan Mesir lalu pergi ke arah Negeb.+ Dia membawa isterinya dan Lot, serta segala miliknya.
2 Abram ialah seorang yang kaya-raya. Dia mempunyai banyak ternakan, perak, dan emas.+
3 Dalam perjalanannya dari Negeb ke Bethel, dia berkhemah dari satu tempat ke tempat yang lain. Akhirnya dia tiba di sebuah daerah yang terletak di antara Bethel dan Ai,+ iaitu tempat dia pernah berkhemah
4 dan membina sebuah mazbah dahulu. Di situ, Abram memuji nama Yehuwa.
5 Lot yang mengikut Abram juga mempunyai biri-biri, lembu, dan khemah-khemah.
6 Apa yang dimiliki mereka begitu banyak sehingga mereka tidak dapat tinggal bersama-sama di tempat itu.
7 Pernah sekali, para penjaga ternakan Abram bertengkar dengan para penjaga ternakan Lot. (Pada masa itu, orang Kanaan dan orang Feris masih tinggal di tanah itu.)+
8 Maka Abram berkata kepada Lot,+ “Kita ini bersaudara, janganlah kita bertengkar. Tidak baik jika penjaga ternakanmu dan penjaga ternakanku bertengkar.
9 Oleh itu, lebih baik kita berpisah. Pilihlah tempat yang ingin kamu pergi. Jika kamu pergi ke sebelah kiri, aku akan pergi ke sebelah kanan; tetapi jika kamu pergi ke sebelah kanan, aku akan pergi ke sebelah kiri.”
10 Maka Lot memandang ke sekelilingnya dan nampak bahawa seluruh daerah Yordan+ sampai ke kota Zoar+ mempunyai banyak air, seperti taman Yehuwa*+ atau seperti tanah Mesir. (Begitulah keadaannya sebelum Yehuwa memusnahkan kota Sodom dan Gomora.)
11 Lalu Lot memilih seluruh daerah Yordan, dan berpindah ke sebelah timur. Maka kedua-dua orang itu berpisah.
12 Abram tinggal di tanah Kanaan, sedangkan Lot tinggal berhampiran kota-kota di daerah Yordan.+ Akhirnya, Lot mendirikan khemahnya berdekatan Sodom.
13 Penduduk di kota Sodom sangat jahat. Mereka melakukan banyak dosa yang menjijikkan di hadapan Yehuwa.+
14 Selepas Lot berpisah dengan Abram, Yehuwa berfirman kepada Abram, “Dari tempat engkau berada, pandanglah ke arah utara dan selatan, timur dan barat.
15 Seluruh tanah yang engkau lihat itu akan Aku berikan kepadamu dan keturunanmu. Tanah itu akan sentiasa menjadi milik kamu.+
16 Aku juga akan memberi engkau keturunan yang sangat banyak. Sebagaimana orang tidak dapat menghitung debu di bumi, demikian juga keturunanmu tidak akan dapat dihitung.+
17 Sekarang, jelajahilah seluruh tanah ini, kerana Aku akan memberikannya kepada engkau.”
18 Sepanjang perjalanannya, Abram tinggal di dalam khemah. Lalu dia tiba di Hebron+ dan menetap dekat pokok-pokok besar di Mamre.+ Di sana, dia membuat sebuah mazbah untuk Yehuwa.+
Nota Kaki
^ Iaitu, Taman Eden.