Kejadian 17:1-27

  • Abraham akan menjadi bapa kepada banyak bangsa (1-8)

    • Nama Abram ditukar menjadi Abraham (5)

  • Perjanjian sunat (9-14)

  • Nama Sarai ditukar menjadi Sara (15-17)

  • Anak lelaki yang dijanjikan, Ishak (18-27)

17  Semasa Abram berumur 99 tahun, Yehuwa menampakkan diri kepada Abram lalu berfirman, “Aku ialah Tuhan Yang Maha Kuasa. Hendaklah engkau sentiasa hidup selaras dengan kehendak-Ku* dan buktikan bahawa engkau tidak bercela. 2  Aku akan melaksanakan perjanjian yang telah Aku buat dengan engkau,+ dan Aku akan memberimu keturunan yang sangat banyak.”+ 3  Abram bersujud lalu Tuhan berfirman kepadanya, 4  “Aku telah membuat perjanjian dengan engkau,+ dan engkau pasti akan menjadi bapa kepada banyak bangsa.+ 5  Namamu tidak lagi disebut Abram.* Mulai sekarang, namamu ialah Abraham,* kerana Aku akan menjadikan engkau bapa kepada banyak bangsa. 6  Aku akan memberi engkau keturunan yang sangat banyak. Engkau akan menjadi bapa kepada bangsa-bangsa, dan menjadi nenek moyang kepada raja-raja.+ 7  “Aku akan melaksanakan perjanjian yang telah Aku buat denganmu+ dan dengan semua keturunanmu.* Perjanjian-Ku akan kekal buat selama-lamanya. Aku akan menjadi Tuhanmu dan Tuhan keturunanmu. 8  Negeri yang sedang engkau tinggal sebagai orang asing ini akan Aku berikan kepadamu dan keturunanmu.+ Seluruh negeri Kanaan akan sentiasa menjadi milik keturunanmu, dan Aku akan menjadi Tuhan mereka.”+ 9  Tuhan berfirman lagi kepada Abraham, “Engkau dan semua keturunanmu harus mematuhi perjanjian-Ku. 10  Inilah perjanjian antara Aku dengan engkau: Semua lelaki dalam kalangan kamu mesti disunat.+ Engkau dan keturunanmu mesti mematuhi perjanjian ini. 11  Kamu semua mesti bersunat, dan sunat ini akan menjadi tanda bagi perjanjian antara Aku denganmu.+ 12  Inilah yang harus dilakukan untuk turun-temurun: Semua bayi lelaki yang dilahirkan dalam rumah tanggamu mesti disunat apabila dia berumur lapan hari,+ dan setiap lelaki yang bukan keturunanmu atau yang dibeli daripada orang asing juga mesti disunat. 13  Tiap-tiap lelaki yang dilahirkan dalam rumah tanggamu dan tiap-tiap lelaki yang dibeli harus disunat.+ Inilah tanda jasmani yang menunjukkan bahawa perjanjian-Ku dengan engkau itu berkekalan. 14  Jika seorang lelaki enggan disunat, dia harus dibunuh, kerana dia tidak berpegang pada perjanjian-Ku.” 15  Kemudian Tuhan berfirman kepada Abraham, “Mulai sekarang, isterimu tidak lagi dipanggil Sarai,*+ tetapi akan dipanggil Sara.* 16  Aku akan memberkatinya dan memberimu seorang anak lelaki melaluinya.+ Aku akan memberkati Sara dan dia akan menjadi ibu kepada banyak bangsa dan raja.” 17  Selepas itu, Abraham sujud lalu tertawa dan berkata dalam hatinya,+ “Mana mungkin seorang lelaki yang berusia 100 tahun mendapat anak. Mana mungkin Sara, seorang wanita yang berusia 90 tahun, melahirkan anak.”+ 18  Maka Abraham berkata kepada Tuhan yang benar, “Ya Tuhan, semoga Ismael diberkati-Mu!”+ 19  Lalu Tuhan berfirman, “Isterimu Sara pasti akan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau harus menamakannya Ishak.*+ Aku akan melaksanakan perjanjian-Ku dengan Ishak dan dengan keturunannya. Perjanjian-Ku itu kekal selama-lamanya.+ 20  Tetapi Aku juga akan mengabulkan permohonan engkau mengenai Ismael. Aku akan memberkatinya dan memberinya keturunan yang sangat banyak. Dia akan mendapat 12 orang anak lelaki yang akan menjadi ketua suku, dan Aku akan menjadikan keturunannya sebuah bangsa yang besar.+ 21  Namun, Aku akan membuat perjanjian-Ku dengan anakmu Ishak.+ Tahun depan, pada masa yang sama, Sara akan melahirkan anak itu.”+ 22  Setelah berfirman kepada Abraham, Tuhan pun meninggalkannya. 23  Pada hari itu juga, Abraham menyunat anaknya Ismael, semua lelaki yang dilahirkan dalam rumah tangganya, dan setiap lelaki yang dibeli. Semua lelaki dalam rumah tangga Abraham telah disunat seperti yang diperintahkan oleh Tuhan.+ 24  Abraham berumur 99 tahun ketika dia disunat.+ 25  Anaknya Ismael pula berumur 13 tahun ketika dia disunat.+ 26  Pada hari itu juga, Abraham dan anaknya Ismael telah disunat. 27  Semua lelaki dalam rumah tangganya, tidak kira yang dilahirkan dalam rumah tangganya, ataupun yang dibeli daripada orang asing, juga disunat bersama-samanya.

Nota Kaki

Harfiah, “berjalan di hadapan-Ku.”
Maksudnya “Bapa yang Ditinggikan.”
Maksudnya “Bapa kepada Banyak Orang.”
Atau “keturunanmu turun-temurun.”
Mungkin bermaksud “Pertengkaran.”
Maksudnya “Puteri.”
Maksudnya “Gelak Ketawa.”