Kejadian 24:1-67

  • Mencari isteri untuk Ishak (1-58)

  • Ribka berjumpa Ishak (59-67)

24  Abraham sudah tua dan lanjut usia, dan Yehuwa telah memberkatinya dalam segala hal.+  Pada suatu hari, Abraham berkata kepada hamba yang paling tua dalam rumah tangganya, iaitu hamba yang mengurus segala hartanya,+ “Letakkanlah tanganmu di bawah pahaku*  dan bersumpahlah di hadapan Yehuwa, Tuhan yang berkuasa atas syurga dan bumi, bahawa kamu tidak akan mencari seorang gadis dari negeri yang aku tinggal ini, iaitu gadis Kanaan, untuk dijadikan isteri kepada anakku.+  Sebaliknya, pergilah ke negeri asalku dan carilah seorang isteri untuk anakku Ishak dalam kalangan saudara-maraku.”+  Tetapi hamba itu bertanya, “Bagaimana pula jika gadis itu enggan mengikut aku ke negeri ini? Haruskah aku menghantar anak tuan kembali ke negeri asal tuan?”+  Abraham menjawab, “Tidak. Pastikan kamu tidak membawa anakku ke sana.+  Tuhan Yehuwa yang berkuasa atas syurga telah membawa aku ke sini dari rumah bapaku dan dari tempat saudara-maraku.+ Dia telah bersumpah kepadaku dan berfirman,+ ‘Aku akan memberikan negeri ini+ kepada keturunanmu.’+ Dia akan mengutus malaikat-Nya di hadapanmu,+ dan kamu pasti dapat mencari seorang isteri untuk anakku di sana.+  Sekiranya gadis itu enggan mengikut kamu, kamu bebas daripada sumpah ini. Tetapi janganlah sekali-kali membawa anakku ke sana.”  Hamba itu pun meletakkan tangannya di bawah paha tuannya Abraham dan bersumpah untuk melakukan apa yang disuruhnya.+ 10  Maka hamba itu mengambil 10 ekor unta dan bermacam-macam hadiah daripada tuannya lalu bertolak ke kota Nahor di Mesopotamia. 11  Setelah dia tiba di sebuah perigi yang terletak di luar kota itu, dia berhenti agar unta-untanya dapat berehat. Hari sudah petang dan itulah waktunya kaum wanita keluar untuk menimba air. 12  Dia berdoa, “Yehuwa, Tuhan kepada tuanku Abraham, tolonglah aku supaya aku berjaya hari ini. Tunjukkanlah kasih setia-Mu kepada tuanku Abraham. 13  Aku sedang berdiri dekat sebuah perigi, dan gadis-gadis dari kota akan datang untuk menimba air. 14  Aku akan berkata kepada seorang gadis muda, ‘Tolong turunkan tembikar airmu agar aku dapat minum.’ Jika dia menjawab, ‘Minumlah, dan aku juga akan memberi unta-unta tuan minum,’ maka dialah orang yang Engkau pilih untuk hamba-Mu Ishak. Dengan demikian, aku akan tahu bahawa Engkau telah menunjukkan kasih setia-Mu kepada tuanku.” 15  Sebelum hamba itu selesai berdoa, Ribka keluar dari kota sambil membawa tembikar air di atas bahunya. Dialah anak perempuan Betuel. (Betuel+ ialah anak kepada Nahor+ dan Milkah.+ Nahor pula ialah abang Abraham.) 16  Gadis muda itu sangat cantik, dan dia masih dara. Dia pergi ke perigi itu, mengisi tembikar airnya, lalu kembali. 17  Dengan segera, hamba itu berlari untuk menemuinya dan berkata, “Tolong beri aku sedikit air daripada tembikarmu.” 18  Maka dia berkata, “Minumlah tuan.” Kemudian dia segera menurunkan tembikar airnya dari bahu, dan sambil memegang tembikar itu, dia memberi hamba itu minum. 19  Selepas hamba itu minum, gadis itu berkata, “Aku akan menimba air untuk unta-unta tuan juga, supaya semua binatang itu dapat minum sampai puas.” 20  Gadis itu cepat-cepat menuang air daripada tembikarnya ke dalam tempat minum unta. Kemudian, dia berlari ulang-alik ke perigi untuk mengambil air bagi semua unta itu. 21  Sepanjang waktu itu, hamba itu memperhatikannya dengan kagum tanpa mengucapkan sepatah kata pun. Hamba itu tertanya-tanya sama ada Yehuwa telah memberkati perjalanannya atau tidak. 22  Selepas semua unta selesai minum, hamba Abraham memberi gadis itu anting-anting hidung yang dibuat daripada emas, yang beratnya setengah syekel,* dan dua gelang emas yang beratnya 10 syekel. 23  Kemudian dia bertanya, “Tolong beritahu aku: Kamu anak siapa? Adakah tempat untuk kami bermalam di rumah bapamu?” 24  Gadis itu menjawab, “Bapaku Betuel,+ anak kepada Milkah dan Nahor.”+ 25  Gadis itu juga berkata, “Kami ada jerami dan banyak makanan ternakan, dan juga tempat untuk bermalam.” 26  Hamba itu berlutut dan sujud menyembah Yehuwa 27  lalu berkata, “Terpujilah Yehuwa, Tuhan kepada tuanku Abraham, kerana Dia sentiasa menunjukkan kesetiaan dan kebaikan hati* kepada tuanku. Yehuwa telah memimpin aku ke rumah saudara-saudara tuanku.” 28  Gadis itu pun berlari ke rumah ibunya dan menceritakan apa yang berlaku. 29  Ribka mempunyai seorang abang yang bernama Laban.+ Laban berlari keluar untuk menemui hamba Abraham yang berada dekat perigi. 30  Dia berbuat demikian setelah melihat anting-anting hidung dan gelang pada tangan adiknya Ribka, dan setelah mendengar Ribka menceritakan apa yang dikatakan oleh hamba itu. Semasa dia menemui hamba Abraham, hamba itu masih berdiri dekat perigi bersama unta-untanya. 31  Laban segera berkata, “Hai kamu yang diberkati Yehuwa, mengapakah kamu masih berdiri di sini? Aku sudah mempersiapkan tempat untukmu dan unta-untamu.” 32  Maka hamba itu mengikutnya masuk ke dalam rumah. Dia* menurunkan muatan unta, lalu memberikan jerami dan makanan kepada unta-unta. Kemudian, dia membawa air untuk membasuh kaki hamba itu dan semua orang yang datang bersamanya. 33  Apabila makanan dihidangkan, hamba itu berkata, “Aku tidak akan makan sebelum menyampaikan pesanan yang aku bawa.” Maka Laban berkata, “Sila katakan.” 34  Kemudian hamba itu berkata, “Aku hamba Abraham.+ 35  Yehuwa telah memberkati tuanku dengan melimpah. Tuhan sudah menjadikannya sangat kaya dengan memberinya biri-biri, lembu, perak, emas, hamba lelaki, hamba perempuan, unta, dan keldai.+ 36  Sara, iaitu isteri tuanku, telah melahirkan seorang anak lelaki semasa dia sudah tua.+ Tuanku akan mewariskan segala-gala yang dimilikinya kepada anak itu.+ 37  Tuan aku menyuruh aku bersumpah lalu dia berkata kepadaku, ‘Janganlah cari seorang gadis dari negeri yang aku tinggal ini, iaitu gadis Kanaan, untuk dijadikan isteri kepada anakku.+ 38  Sebaliknya, pergilah ke rumah bapaku dan carilah seorang isteri untuk anakku dalam kalangan saudara-maraku.’+ 39  Tetapi aku bertanya, ‘Bagaimana pula jika gadis itu enggan mengikutku?’+ 40  Dia menjawab, ‘Yehuwa yang aku sembah+ akan mengutus malaikat-Nya+ untuk menyertaimu, dan Dia pasti memberkati perjalananmu. Kamu mesti mencari seorang isteri untuk anakku dalam kalangan saudara-maraku dan rumah bapaku.+ 41  Kamu akan bebas daripada sumpahmu jika kamu pergi kepada saudara-maraku. Biarpun mereka enggan membiarkan gadis itu mengikut kamu, kamu sudah bebas daripada sumpahmu.’+ 42  “Hari ini, semasa aku sampai di perigi, aku berdoa, ‘Yehuwa, Tuhan kepada tuanku Abraham, berkatilah perjalananku. 43  Sekarang aku berdiri dekat sebuah perigi. Aku akan berkata kepada seorang gadis muda+ yang datang untuk menimba air, “Tolong beri aku sedikit air daripada tembikar airmu.” 44  Jika dia menjawab, “Minumlah, dan aku juga akan menimba air untuk unta-unta tuan,” maka gadis itulah yang telah dipilih oleh Yehuwa untuk anak tuanku.’+ 45  “Sebelum aku selesai berdoa dalam hati, Ribka pun datang sambil membawa tembikar di atas bahunya, lalu dia pergi ke perigi untuk menimba air. Kemudian aku berkata kepadanya, ‘Tolong beri aku minum.’+ 46  Dia cepat-cepat menurunkan tembikar airnya dari bahu dan berkata, ‘Minumlah,+ dan aku akan menimba air untuk unta-unta tuan juga.’ Maka aku pun minum, dan dia juga memberi unta-untaku minum. 47  Selepas itu, aku bertanya kepadanya, ‘Kamu anak siapa?’ Dia menjawab, ‘Bapaku Betuel, anak kepada Milkah dan Nahor.’ Maka aku mengenakan anting-anting pada hidungnya dan gelang pada tangannya.+ 48  Lalu aku berlutut dan sujud menyembah Yehuwa. Aku memuji Yehuwa, Tuhan kepada tuan aku Abraham,+ kerana Dia memimpin aku sehingga menemui anak perempuan kepada abang tuan aku untuk dijadikan sebagai isteri anaknya. 49  Sekarang, beritahulah aku jika kamu sudi menunjukkan kesetiaan dan kebaikan hati* kepada tuan aku. Jika tidak, beritahulah aku juga, supaya aku tahu apa yang harus aku lakukan.”+ 50  Kemudian Laban dan Betuel menjawab, “Memandangkan hal ini berasal daripada Yehuwa, kami tidak boleh menjawab ya atau tidak kepadamu. 51  Ini dia Ribka, bawalah dia dan pergilah. Biarlah dia menjadi isteri kepada anak lelaki tuanmu, seperti yang difirmankan oleh Yehuwa.” 52  Sebaik sahaja hamba Abraham mendengar kata-kata mereka, dia bersujud di hadapan Yehuwa. 53  Kemudian, dia mengeluarkan perhiasan perak dan emas serta pakaian, lalu memberikan semuanya kepada Ribka. Dia juga memberikan hadiah yang berharga kepada abang dan ibunya. 54  Selepas itu, dia dan orang yang datang bersamanya makan dan minum, serta bermalam di sana. Apabila hamba itu bangun pada keesokan harinya, dia berkata, “Izinkanlah aku pulang kepada tuan aku.” 55  Abang dan ibu Ribka berkata, “Biarlah Ribka tinggal bersama kami untuk sekurang-kurangnya 10 hari. Selepas itu, dia boleh pergi.” 56  Tetapi hamba itu berkata, “Janganlah halang aku. Yehuwa sudah membuat perjalananku berjaya. Izinkanlah aku pulang kepada tuan aku.” 57  Maka mereka berkata, “Mari kita panggil Ribka dan menanyakan pendapatnya.” 58  Mereka memanggil Ribka dan bertanya, “Sudikah kamu pergi bersama lelaki ini?” Dia menjawab, “Ya, aku sudi.” 59  Jadi saudara-mara Ribka+ mengizinkan Ribka dan pengasuhnya*+ pergi bersama hamba Abraham dan orang yang mengikutnya. 60  Mereka memberkati Ribka dan berkata, “Ya adik kami, semoga kamu menjadi ibu kepada berjuta-juta orang. Semoga keturunanmu menguasai kota-kota orang yang membenci mereka.”+ 61  Kemudian Ribka dan pelayan-pelayannya bersiap sedia, menaiki unta-unta, lalu mengikut hamba Abraham. Demikianlah hamba itu membawa Ribka dan meneruskan perjalanannya. 62  Pada masa itu, Ishak tinggal di Negeb,+ dan dia baru datang dari arah Beer-lahai-roi.+ 63  Pada waktu senja, Ishak berjalan di padang untuk membuat perenungan.+ Apabila dia melihat ke hadapan, dia nampak unta-unta datang! 64  Apabila Ribka ternampak Ishak, dia cepat-cepat turun dari untanya. 65  Dia bertanya kepada hamba Abraham, “Siapakah lelaki di padang yang sedang berjalan ke arah kita?” Hamba itu berkata, “Dialah tuan aku.” Maka Ribka mengambil selendangnya dan menudung kepalanya. 66  Hamba itu memberitahu Ishak segala yang dilakukannya. 67  Kemudian, Ishak membawa Ribka masuk ke dalam khemah ibunya Sara.+ Dengan demikian Ribka menjadi isteri Ishak, dan Ishak jatuh cinta dengannya.+ Sejak ibunya meninggal, Ishak bersedih, tetapi sekarang hatinya terhibur.+

Nota Kaki

Cara orang pada zaman kuno memberikan kepastian bahawa sumpahnya tidak akan berubah.
Atau “dan kasih setia.”
Mungkin merujuk kepada Laban.
Atau “dan kasih setia.”
Iaitu, pengasuhnya yang kini bekerja sebagai pelayannya.