Kejadian 26:1-35
26 Kebuluran berlaku lagi di negeri itu seperti yang terjadi pada zaman Abraham.+ Oleh itu, Ishak pergi ke Gerar untuk menghadap Abimelekh, iaitu raja orang Filistin.
2 Yehuwa menampakkan diri kepada Ishak dan berfirman, “Janganlah pergi ke Mesir. Tinggallah di negeri yang Aku tunjukkan kepadamu.
3 Tinggallah di sini sebagai orang asing,+ dan Aku akan terus menyertai engkau dan memberkati engkau. Aku akan memberimu dan keturunanmu seluruh negeri ini,+ dan Aku akan menepati janji-Ku kepada bapamu Abraham. Aku telah bersumpah kepadanya,+
4 ‘Aku akan melipatgandakan keturunanmu sehingga mereka menjadi banyak seperti bintang-bintang di langit.+ Seluruh negeri ini akan Aku berikan kepada keturunanmu.+ Melalui keturunanmu, semua bangsa di bumi akan meraih berkat.’*+
5 Aku akan berbuat demikian kerana Abraham telah mendengar kata-kata-Ku dan melakukan apa yang Aku kehendaki. Dia juga mematuhi arahan, perintah, dan hukum-Ku.”+
6 Oleh itu, Ishak terus menetap di Gerar.+
7 Apabila orang di situ bertanya tentang isterinya, Ishak akan berkata, “Dia ialah adikku.”+ Oleh sebab Ribka seorang wanita yang cantik,+ Ishak takut untuk berkata, “Dia ialah isteriku,” kerana dia berfikir, “Mungkin mereka akan membunuh aku kerana Ribka.”
8 Beberapa lama kemudian, Abimelekh raja orang Filistin memandang ke luar jendelanya dan ternampak Ishak bermesra dengan* isterinya Ribka.+
9 Abimelekh segera memanggil Ishak dan berkata kepadanya, “Dia memang isterimu! Mengapa kamu kata dia itu adikmu?” Ishak menjawab, “Hamba takut dibunuh jika hamba mengatakan bahawa dia isteri hamba.”+
10 Abimelekh berkata lagi, “Apakah yang telah kamu lakukan terhadap kami?+ Bila-bila sahaja salah seorang daripada rakyat beta mungkin meniduri isterimu. Jika hal itu berlaku, kamu akan menyebabkan kami berdosa!”+
11 Kemudian Abimelekh memberikan perintah berikut kepada semua rakyatnya: “Sesiapa pun yang menyentuh lelaki ini dan isterinya pasti akan dibunuh!”
12 Ishak mula menyemai benih di negeri itu, dan pada tahun itu, dia mendapat hasil seratus kali ganda kerana Yehuwa memberkatinya.+
13 Ishak menjadi seorang yang kaya. Dia terus makmur dan menjadi kaya-raya.
14 Biri-biri, lembu, dan hamba yang dimilikinya begitu banyak+ sehingga orang Filistin mula berasa cemburu terhadapnya.
15 Maka orang Filistin menimbus semua perigi yang telah digali oleh hamba-hamba Abraham ketika Abraham masih hidup.+
16 Abimelekh berkata kepada Ishak, “Tinggalkanlah negeri ini, kerana kamu sudah menjadi lebih berkuasa daripada kami.”
17 Maka Ishak meninggalkan negeri itu dan berkhemah di sebuah lembah* di Gerar.+ Dia menetap di situ
18 dan menggali semula perigi-perigi yang telah digali semasa bapanya Abraham masih hidup, kerana perigi-perigi itu telah ditimbus oleh orang Filistin selepas kematian Abraham.+ Ishak menamakan perigi-perigi itu menurut nama yang diberikan oleh bapanya dahulu.+
19 Semasa hamba-hamba Ishak menggali tanah di lembah itu, mereka menjumpai sebuah perigi.
20 Gembala-gembala dari Gerar bertengkar dengan gembala-gembala Ishak dan berkata, “Air ini kepunyaan kami!” Oleh itu, Ishak menamakan perigi itu Esek* kerana mereka telah bertengkar dengannya.
21 Hamba-hamba Ishak menggali sebuah perigi lagi, tetapi di situ juga pertengkaran berlaku. Maka Ishak menamakan perigi tersebut Sitna.*
22 Kemudian dia berpindah dari situ dan menggali sebuah perigi lagi. Kali ini pertengkaran tidak berlaku, maka Ishak menamakannya Rehobot.* Dia berkata, “Kini Yehuwa sudah memberi kita tempat yang luas, dan memberi kita banyak anak cucu di negeri ini.”+
23 Ishak pun berangkat dari situ dan pergi ke Beer-syeba.+
24 Pada malam itu, Yehuwa menampakkan diri kepada Ishak dan berfirman, “Akulah Tuhan bapamu Abraham.+ Janganlah berasa takut,+ kerana Aku menyertaimu. Aku akan memberkatimu dan melipatgandakan keturunanmu demi hamba-Ku Abraham.”+
25 Maka Ishak mendirikan sebuah mazbah di situ dan mula memuji nama Yehuwa.+ Kemudian dia memasang khemahnya di situ,+ dan hamba-hambanya menggali sebuah perigi lagi.
26 Beberapa waktu kemudian, Abimelekh datang dari Gerar bersama Ahuzat penasihatnya dan Pikhol ketua tenteranya untuk berjumpa dengan Ishak.+
27 Maka Ishak bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu datang untuk berjumpa denganku, sedangkan kamu membenciku dan mengusirku dari negeri kamu?”
28 Mereka menjawab, “Kami nampak dengan jelas bahawa Yehuwa menyertai kamu.+ Oleh itu, kami berkata, ‘Lebih baik kami membuat perjanjian damai denganmu,+ dan meminta kamu bersumpah
29 bahawa kamu tidak akan berbuat jahat terhadap kami, sebagaimana kami tidak berbuat jahat terhadap kamu. Kami hanya berbuat baik terhadapmu dan membiarkan kamu pergi dengan damai. Sekarang, Yehuwa telah memberkati kamu.’”
30 Kemudian Ishak mengadakan jamuan untuk mereka, lalu mereka pun makan dan minum.
31 Keesokan paginya, mereka bangun awal dan membuat perjanjian yang disahkan dengan sumpah.+ Selepas itu, Ishak membiarkan mereka pergi dengan damai.
32 Pada hari itu juga, hamba-hamba Ishak datang dan memberitahunya tentang perigi yang telah digali.+ Mereka berkata, “Kami sudah menjumpai air!”
33 Maka dia menamakan perigi itu Shiba. Itulah sebabnya kota itu dipanggil Beer-syeba+ sampai hari ini.
34 Semasa Esau berumur 40 tahun, dia berkahwin dengan dua orang gadis berbangsa Het, iaitu Yudit anak Beeri dan Basmat anak Elon.+
35 Mereka membuat Ishak dan Ribka berasa sangat sedih.+