Kejadian 27:1-46

  • Yakub mendapat berkat daripada Ishak (1-29)

  • Esau ingin mendapat berkat tetapi enggan bertaubat (30-40)

  • Esau membenci Yakub (41-46)

27  Ishak sudah tua dan dia tidak dapat melihat lagi. Dia memanggil anak sulungnya Esau+ dan berkata, “Anakku!” Esau menjawab, “Ya, ayah!”  Kemudian Ishak berkata, “Aku sudah tua, dan aku tidak tahu berapa lama lagi aku akan hidup.  Jadi sekarang, ambillah busur dan anak panahmu, dan pergilah memburu binatang liar untukku.+  Kemudian, masaklah makanan lazat yang aku sukai, dan bawalah makanan itu kepadaku, supaya aku dapat memakannya dan memberkatimu sebelum aku meninggal.”  Ribka sedang mendengar semasa Ishak bercakap dengan Esau. Apabila Esau pergi memburu binatang untuk dibawa pulang,+  Ribka berkata kepada Yakub,+ “Aku baru sahaja mendengar bapamu bercakap dengan abangmu Esau. Bapamu berkata,  ‘Bawalah binatang buruan dan masaklah makanan yang lazat untukku. Aku akan memakannya dan memberkatimu di hadapan Yehuwa sebelum aku meninggal.’+  Sekarang, hai anakku, dengarlah dan buatlah apa yang mak katakan kepadamu.+  Pergilah ke kawanan ternakan dan bawalah dua ekor anak kambing yang terbaik kepadaku, supaya mak dapat menyediakan makanan lazat yang disukai bapamu. 10  Kemudian, bawalah makanan itu kepada bapamu, supaya dia dapat memakannya dan memberkatimu sebelum dia meninggal.” 11  Yakub berkata kepada ibunya, “Tetapi badan Esau berbulu,+ sedangkan saya tidak. 12  Bagaimana pula jika ayah menyentuh saya?+ Tentu ayah akan berfikir bahawa saya mempermainkannya. Nanti ayah akan mengutuk saya, dan bukannya memberkati saya.” 13  Ibunya berkata, “Janganlah khuatir, anakku. Biarlah mak yang menanggung kutukan itu. Buat saja apa yang mak katakan. Pergilah ambil kambing-kambing itu.”+ 14  Jadi Yakub mengambil kambing-kambing itu lalu membawanya kepada ibunya. Kemudian ibunya memasak makanan lazat yang disukai bapanya. 15  Selepas itu, Ribka mengambil pakaian Esau yang terbaik, yang disimpannya di dalam khemah, lalu mengenakannya pada Yakub.+ 16  Dia menutupi tangan dan bahagian leher Yakub yang tidak berbulu dengan kulit anak kambing.+ 17  Kemudian dia memberikan makanan lazat dan roti yang dibuatnya kepada Yakub.+ 18  Yakub pun pergi kepada bapanya dan berkata, “Ayah!” Ishak menjawab, “Ya, siapakah kamu, Esau atau Yakub?” 19  Yakub berkata kepada bapanya, “Saya Esau, anak sulung ayah.+ Saya sudah melakukan apa yang ayah suruh. Duduklah dan makanlah daging binatang buruan yang saya bawa ini, supaya ayah dapat memberkati saya.”+ 20  Ishak berkata, “Hai anakku, bagaimana kamu mendapatkannya dengan begitu cepat?” Yakub menjawab, “Yehuwa, Tuhan ayah, telah membawanya kepada saya.” 21  Kemudian Ishak berkata kepada Yakub, “Anakku, marilah dekat sedikit supaya ayah dapat menyentuhmu. Benarkah kamu ini Esau?”+ 22  Maka Yakub menghampiri bapanya Ishak. Bapanya merabanya dan berkata, “Suaramu seperti suara Yakub, tetapi tanganmu seperti tangan Esau.”+ 23  Ishak tidak mengenal Yakub kerana tangannya berbulu seperti tangan Esau. Maka Ishak memberkati Yakub.+ 24  Ishak bertanya lagi, “Benarkah kamu ini Esau?” Yakub menjawab, “Ya.” 25  Oleh itu, Ishak berkata, “Anakku, bawalah daging binatang buruan itu kepadaku, supaya aku dapat makan lalu memberkatimu.” Maka Yakub membawa makanan itu dan wain kepada bapanya, lalu bapanya makan dan minum. 26  Kemudian Ishak berkata, “Anakku, marilah dekat sedikit, dan ciumlah aku.”+ 27  Semasa Yakub menghampiri bapanya dan menciumnya, Ishak menghidu pakaian anaknya,+ lalu memberkati Yakub dengan berkata, “Bau anakku seharum padang yang diberkati Yehuwa. 28  Semoga Tuhan yang benar mengurniai engkau embun dari langit+ dan tanah yang subur di bumi.+ Semoga engkau dikurniai biji-bijian dan wain baharu yang berlimpah-limpah.+ 29  Semoga orang melayanimu, dan hendaklah bangsa-bangsa bersujud kepadamu. Semoga kamu menjadi tuan kepada saudara-saudaramu, dan hendaklah keturunan ibumu bersujud kepadamu.+ Terkutuklah setiap orang yang mengutukmu, dan diberkatilah setiap orang yang memberkatimu.”+ 30  Setelah Ishak memberkati Yakub, Yakub pun beredar. Sebaik sahaja Yakub pergi, Esau pulang dari memburu.+ 31  Esau juga menyediakan makanan yang lazat dan membawanya kepada bapanya. Dia berkata, “Ayah, duduklah dan makanlah daging binatang buruan saya, supaya ayah dapat memberkati saya.” 32  Maka Ishak berkata kepada Esau, “Kamu ini siapa?” Esau menjawab, “Saya Esau, anak sulung ayah.”+ 33  Seluruh tubuh Ishak menggeletar, dan dia berkata, “Jadi siapakah yang memburu binatang dan membawanya kepadaku tadi? Aku sudah makan sebelum kamu sampai, dan aku sudah memberkatinya. Kini berkat itu akan menjadi miliknya!” 34  Setelah mendengar kata-kata bapanya, Esau meraung-raung dengan penuh kepedihan. Dia merayu kepada bapanya, “Berkatilah saya juga ayah!”+ 35  Ishak berkata, “Adikmu sudah datang dan menipu aku, supaya dia mendapat berkat yang hendak aku berikan kepadamu.” 36  Maka Esau berkata, “Memang padanlah namanya Yakub,* kerana sudah dua kali dia mengambil alih tempat saya.+ Dahulu dia telah mengambil hak saya sebagai anak sulung,+ dan sekarang dia telah mengambil berkat saya!+ Tidakkah ayah mempunyai berkat lain untuk saya?” 37  Ishak menjawab, “Aku telah menjadikannya tuanmu,+ dan saudara-saudaranya telah aku jadikan hambanya. Aku juga telah memberikan biji-bijian dan wain baharu untuk dinikmatinya.+ Apa lagi yang dapat aku lakukan untukmu, nak?” 38  Esau berkata kepada bapanya, “Ayah, berkatilah saya! Tidak bolehkah ayah memberkati saya juga?” Maka Esau meraung-raung dan menangis teresak-esak.+ 39  Bapanya menjawab, “Lihatlah, kamu tidak akan tinggal di tanah yang subur di bumi, dan kamu tidak akan menerima embun dari langit.+ 40  Kamu harus menggunakan pedang seumur hidupmu,+ dan kamu akan melayani adikmu.+ Tetapi apabila kamu tidak tahan diperhamba lagi, kamu akan mematahkan kuk* yang diletakkannya di atas tengkukmu.”+ 41  Esau memendam perasaan benci terhadap Yakub kerana bapanya sudah memberkati Yakub.+ Esau asyik berkata dalam hatinya, “Ayah akan meninggal tidak lama lagi.+ Selepas itu, aku akan membunuh Yakub.” 42  Ada orang memberitahu Ribka apa yang dikatakan oleh Esau, maka Ribka segera memanggil Yakub dan berkata kepadanya, “Dengarlah, abangmu Esau merancang untuk membalas dendam dan membunuhmu. 43  Sekarang anakku, lakukanlah apa yang mak katakan. Larilah ke Haran. Carilah abangku Laban+ 44  dan tinggallah bersamanya untuk beberapa lama, sehingga kemarahan abangmu reda. 45  Tunggulah sehingga dia tidak lagi marah terhadapmu dan melupakan apa yang sudah kamu lakukan terhadapnya. Selepas itu, aku akan menghantar orang ke situ untuk memanggilmu. Aku tidak mahu kehilangan kedua-dua orang anakku dalam sehari.” 46  Selepas itu, Ribka selalu berkata kepada Ishak, “Aku sudah muak dengan hidupku kerana gadis-gadis Het.+ Jika Yakub mengahwini gadis di tempat ini yang seperti gadis-gadis Het, lebih baik aku mati sahaja!”+

Nota Kaki

Maksudnya “Pemegang Tumit; Pengambil Alih.”
Lihat Kamus.