Kejadian 29:1-35
29 Yakub meneruskan perjalanannya dan pergi ke negeri yang terletak di Timur.
2 Dia nampak sebuah perigi di padang rumput, dan perigi itu ditutup dengan sebuah batu yang besar. Ada tiga kawanan biri-biri yang sedang berehat berdekatan perigi itu, kerana kawanan biri-biri biasanya diberi minum di situ.
3 Apabila semua kawanan itu dikumpulkan, batu itu akan digulingkan ke tepi, dan para gembala akan memberi ternakan mereka minum. Selepas itu, mereka akan meletakkan semula batu itu ke tempat asalnya.
4 Yakub bertanya kepada mereka, “Wahai saudara-saudaraku, kamu datang dari mana?” Mereka menjawab, “Kami datang dari Haran.”+
5 Dia bertanya lagi, “Kamu kenalkah Laban,+ cucu Nahor?”+ “Ya, kami kenal dia,” jawab mereka.
6 Yakub berkata, “Adakah dia sihat?” Mereka menjawab, “Ya, dia sihat. Itu dia Rahel,+ anak perempuannya, yang datang bersama biri-birinya.”
7 Yakub berkata, “Hari masih siang. Belum tiba masanya untuk memasukkan kawanan biri-biri ke dalam kandang. Berilah kawanan itu minum dan biarlah kawanan itu meragut rumput.”
8 Namun mereka berkata, “Kami tidak dibenarkan untuk berbuat demikian sehingga semua ternakan itu sudah dikumpulkan dan batu penutup perigi itu digulingkan ke tepi. Setelah itu, barulah kami boleh memberi kawanan kami minum.”
9 Sementara Yakub masih bercakap-cakap dengan mereka, Rahel tiba bersama biri-biri bapanya. Rahel ialah seorang gembala,
10 dan bapanya ialah Laban, iaitu abang kepada ibu Yakub. Apabila Yakub nampak Rahel datang bersama kawanannya, dia cepat-cepat mengalihkan batu penutup perigi itu lalu memberi biri-biri itu minum.
11 Kemudian Yakub mencium Rahel dan mula menangis dengan kuat.
12 Yakub memberitahu Rahel bahawa dia ialah anak saudara bapa Rahel, dan ibunya ialah Ribka. Selepas itu, Rahel bergegas pulang untuk memberitahu bapanya tentang hal itu.
13 Sebaik sahaja Laban+ mendengar berita tentang Yakub, anak kepada adik perempuannya, dia berlari untuk berjumpa dengan Yakub. Laban memeluk dan mencium Yakub, lalu membawa dia masuk ke dalam rumah. Kemudian Yakub memberitahunya segala yang berlaku.
14 Laban berkata kepadanya, “Kita memang ada pertalian darah.” Maka Yakub tinggal dengannya selama sebulan.
15 Laban berkata kepada Yakub, “Kamu tidak patut bekerja untukku tanpa mendapat apa-apa, hanya kerana kamu anak saudaraku.+ Beritahulah aku, apakah upah yang kamu ingini?”+
16 Laban mempunyai dua orang anak perempuan. Yang sulung bernama Lea, dan yang bongsu bernama Rahel.+
17 Mata Lea tidak cantik, tetapi Rahel pula sangat jelita dan menawan.
18 Yakub telah jatuh cinta dengan Rahel, maka dia berkata, “Demi Rahel anak bongsumu, saya sudi bekerja selama tujuh tahun untuk pak cik.”+
19 Laban menjawab, “Lebih baik dia menjadi isterimu daripada menjadi isteri orang lain. Tinggallah bersamaku.”
20 Yakub bekerja selama tujuh tahun demi Rahel,+ tetapi baginya tujuh tahun itu seperti beberapa hari sahaja kerana dia mencintai Rahel.
21 Kemudian Yakub berkata kepada Laban, “Tempoh masa saya bekerja sudah tamat. Biarlah saya mengahwini Rahel dan menjadikannya isteri saya.”*
22 Laban pun membuat kenduri dan menjemput semua orang tempatan.
23 Tetapi pada waktu malam, Lea pula yang dihantar oleh Laban kepada Yakub, maka Yakub bersetubuh dengan Lea.
24 Laban juga memberikan hamba perempuannya Zilpa kepada Lea untuk menjadi hambanya.+
25 Pada waktu pagi, barulah Yakub sedar bahawa orang yang dikahwininya itu ialah Lea! Maka dia berkata kepada Laban, “Apakah yang sudah pak cik lakukan terhadap saya? Saya sudah bekerja untuk pak cik demi Rahel. Mengapakah pak cik menipu saya?”+
26 Laban menjawab, “Menurut adat di sini, adik tidak boleh berkahwin sebelum kakaknya berkahwin.
27 Nikmatilah masa bersama isterimu sepanjang minggu ini. Kemudian Rahel akan diberikan kepadamu jika kamu sudi bekerja untukku tujuh tahun lagi.”+
28 Yakub pun menikmati masanya bersama Lea selama seminggu. Selepas itu, Laban juga memberikan Rahel kepada Yakub untuk dijadikan isterinya.
29 Selain itu, Laban memberikan hamba perempuannya Bilha+ kepada Rahel untuk dijadikan hambanya.+
30 Maka Yakub juga bersetubuh dengan Rahel. Dia lebih mengasihi Rahel daripada Lea, dan dia berkhidmat untuk Laban selama tujuh tahun lagi.+
31 Apabila Yehuwa nampak bahawa Lea tidak begitu dikasihi,* Dia mengizinkan Lea untuk melahirkan anak,+ tetapi Rahel masih mandul.+
32 Lea pun hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Lea menamakan anak itu Ruben.*+ Dia berkata, “Yehuwa telah melihat kesusahanku,+ dan kini suamiku akan mula mengasihi aku.”
33 Kemudian dia hamil lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “Yehuwa telah mendengar bahawa aku tidak dikasihi, maka Dia juga memberikan anak ini kepadaku.” Oleh itu, dia menamakan anak itu Simeon.*+
34 Dia hamil lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “Kini suamiku akan lebih terikat kepadaku, kerana aku sudah melahirkan tiga orang anak lelaki untuknya.” Maka dia menamakan anak itu Lewi.*+
35 Sekali lagi dia hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “Sekarang aku akan memuji Yehuwa.” Oleh itu, dia menamakan anak itu Yehuda.*+ Kemudian Lea tidak melahirkan anak buat suatu jangka waktu.