Kejadian 30:1-43
30 Ketika Rahel mendapati bahawa dia tidak melahirkan anak bagi Yakub, dia berasa cemburu terhadap kakaknya. Maka dia berkata kepada Yakub, “Berilah aku anak, kalau tidak aku akan mati.”
2 Yakub menjadi marah terhadap Rahel lalu berkata, “Adakah aku ini Tuhan? Adakah aku yang menyebabkan kamu tidak dapat beranak?”
3 Maka Rahel berkata, “Ini Bilha hamba perempuanku.+ Tidurlah dengannya supaya dia melahirkan anak bagiku, dan aku boleh mendapat anak melalui dia.”
4 Rahel pun memberikan hambanya Bilha kepada Yakub sebagai isteri, lalu Yakub bersetubuh dengan Bilha.+
5 Bilha pun hamil dan melahirkan seorang anak lelaki bagi Yakub.
6 Lalu Rahel berkata, “Tuhan telah bertindak sebagai hakimku dan Dia telah mendengar kata-kataku lalu memberi aku seorang anak lelaki.” Maka dia menamakan anaknya Dan.*+
7 Bilha, hamba Rahel itu, mengandung lagi dan melahirkan anak lelaki yang kedua bagi Yakub.
8 Kemudian Rahel berkata, “Aku sudah bergelut mati-matian dengan kakakku, dan aku sudah menang!” Maka dia menamakan anaknya Naftali.*+
9 Apabila Lea sedar bahawa dia tidak mendapat anak lagi, dia memberikan hamba perempuannya Zilpa kepada Yakub sebagai isteri.+
10 Maka Zilpa, hamba Lea itu, melahirkan seorang anak lelaki bagi Yakub.
11 Lea berkata, “Betapa beruntungnya aku!” Maka dia menamakan anaknya Gad.*+
12 Selepas itu, Zilpa, hamba Lea, melahirkan anak lelaki yang kedua bagi Yakub.
13 Lea berkata, “Alangkah bahagianya aku! Semua wanita akan mengatakan aku berbahagia.”+ Maka dia menamakan anaknya Asyer.*+
14 Pada musim menuai gandum, Ruben+ berjalan-jalan di ladang dan menjumpai sejenis buah* di sana. Dia membawa buah itu kepada ibunya Lea. Kemudian Rahel berkata kepada Lea, “Berilah aku beberapa biji buah yang dijumpai oleh anakmu.”
15 Lea berkata, “Belum cukupkah kamu mengambil suamiku?+ Buah yang dijumpai oleh anakku pun kamu hendak ambil?” Rahel menjawab, “Jika kamu memberiku buah yang dijumpai oleh anakmu, kamu boleh tidur dengan Yakub malam ini.”
16 Pada waktu petang, apabila Yakub pulang dari ladang, Lea menyambutnya lalu berkata, “Aku sudah memberikan buah yang dijumpai anakku sebagai bayaran, supaya aku dapat tidur denganmu.” Maka Yakub bersetubuh dengan Lea pada malam itu.
17 Tuhan mengabulkan permintaan Lea, maka Lea pun hamil dan melahirkan anak lelaki yang kelima bagi Yakub.
18 Lea berkata, “Tuhan telah membayar upahku kerana aku telah memberikan hambaku kepada suamiku.” Oleh itu, dia menamakan anaknya Isakhar.*+
19 Lea hamil lagi dan melahirkan anak lelaki yang keenam bagi Yakub.+
20 Kemudian dia berkata, “Tuhan telah mengurniakan hadiah yang indah sekali kepadaku. Sekarang suamiku tentu akan menerima aku,+ kerana aku telah melahirkan enam orang anak lelaki baginya.”+ Maka dia menamakan anaknya Zebulon.*+
21 Selepas itu, dia melahirkan seorang anak perempuan dan menamakannya Dina.+
22 Tuhan tidak melupakan Rahel. Maka Tuhan mengabulkan permintaan Rahel dan membolehkannya menjadi hamil.+
23 Lalu dia hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “Tuhan telah menghapuskan kehinaanku.”+
24 Maka dia menamakan anaknya Yusuf*+ dan berkata, “Yehuwa telah memberikan seorang anak lagi kepadaku.”
25 Selepas Rahel melahirkan Yusuf, Yakub berkata kepada Laban, “Izinkanlah saya pulang kepada keluarga saya dan ke negeri saya.+
26 Serahkanlah isteri-isteri dan anak-anak saya, yang saya peroleh dengan bekerja bagi pak cik, lalu saya akan pulang. Pak cik memang tahu bahawa saya sudah bekerja keras untuk pak cik.”+
27 Lalu Laban menjawab, “Tolonglah tinggal bersamaku. Aku sudah mendapat petanda* yang menunjukkan bahawa Yehuwa memberkati aku keranamu.”
28 Laban menambah, “Katakan sahaja berapa upah yang kamu mahu, dan aku akan membayarnya.”+
29 Yakub menjawab, “Pak cik sendiri tahu bahawa saya bekerja keras untuk pak cik, dan ternakan pak cik juga bertambah banyak di bawah jagaan saya.+
30 Sebelum saya datang, harta milik pak cik tidak seberapa. Tetapi sekarang ternakan pak cik sudah berlipat ganda dan bertambah banyak. Yehuwa telah memberkati pak cik semenjak saya datang. Jadi sampai bilakah saya harus tunggu sebelum dapat bekerja bagi keluarga saya sendiri?”+
31 Laban berkata, “Apakah yang harus aku berikan kepadamu?” Yakub menjawab, “Pak cik tidak perlu memberi saya apa-apa. Jika pak cik setuju dengan cadangan saya, saya akan terus menjaga dan memelihara ternakan pak cik.+ Inilah cadangan saya:
32 Hari ini, izinkanlah saya berjalan di antara semua ternakan pak cik. Pak cik boleh mengasingkan semua biri-biri dan kambing betina yang bertompok dan berbintik-bintik serta anak biri-biri jantan yang berwarna gelap. Mulai sekarang, saya akan mengambil binatang-binatang itu sebagai upah.+
33 Pada masa yang akan datang, pak cik boleh memeriksa ternakan yang menjadi upah saya dan melihat sama ada saya berlaku jujur atau tidak. Jika pak cik mendapati ada kambing betina yang tidak bertompok dan tidak berbintik-bintik, atau anak biri-biri jantan yang tidak berwarna gelap, pak cik akan tahu bahawa binatang itu telah saya curi.”
34 Laban menjawab, “Aku setuju! Kita akan melakukan apa yang kamu cadangkan.”+
35 Pada hari itu, Laban memisahkan kambing jantan yang berbelang dan bertompok, semua kambing betina yang berbintik-bintik dan bertompok, semua kambing yang bertompok putih, dan semua anak bebiri jantan yang berwarna gelap. Tetapi dia menyuruh anak-anak lelakinya menjaga ternakan itu.
36 Selepas itu, Laban menjauhi Yakub dengan membawa ternakan itu sejauh tiga hari perjalanan. Ternakan Laban yang tinggal dijaga oleh Yakub.
37 Yakub mengambil cabang-cabang pokok storaks, pokok badam, dan pokok platanus yang baru dikerat lalu mengupas kulitnya sehingga kelihatan bahagian putih yang bertompok-tompok.
38 Kemudian dia meletakkan cabang-cabang yang telah dikupas itu di depan kawanan ternakan, iaitu di tempat ternakan diberi minum. Dengan demikian, semasa ternakan itu datang minum, ternakan itu akan melihat cabang-cabang itu ketika mengawan.
39 Maka ternakan itu mengawan di depan cabang-cabang itu, lalu melahirkan anak yang berbelang, berbintik-bintik, dan bertompok.
40 Kemudian Yakub memisahkan anak biri-biri jantan dan menghadapkan ternakan itu ke arah ternakan Laban yang berbelang dan berwarna gelap. Selepas itu, dia mengasingkan ternakan sendiri agar tidak bercampur dengan ternakan Laban.
41 Setiap kali binatang yang kuat hendak mengawan, Yakub akan meletakkan cabang-cabang itu di depan ternakan itu, iaitu di tempat minum. Dengan ini, ternakan itu akan mengawan di depan cabang-cabang itu.
42 Tetapi dia tidak meletakkan cabang-cabang itu di hadapan binatang yang lemah. Jadi, binatang yang lemah menjadi milik Laban tetapi binatang yang kuat menjadi milik Yakub.+
43 Dengan demikian, Yakub menjadi kaya-raya. Dia mempunyai banyak ternakan, hamba lelaki, hamba perempuan, unta, dan keldai.+
Nota Kaki
^ Maksudnya “Hakim.”
^ Maksudnya “Pergelutanku.”
^ Maksudnya “Beruntung.”
^ Maksudnya “Bahagia; Kebahagiaan.”
^ Buah ini dipercayai dapat meningkatkan peluang untuk hamil.
^ Maksudnya “Dia ialah Upah.”
^ Maksudnya “Menerima.”
^ Singkatan bagi Yosifiah, yang bermaksud “Semoga Yah Memberi Lagi (Menambah).”
^ Atau “bukti.”